Isnin, 16 Julai 2018 | 11:45am
HISHAMUDDIN Rais (dua dari kanan) pada forum memperkasakan DBP menuju Malaysia Baharu di Dewan Bankuet, DBP. Turut sama Eddin Khoo (kiri), Dr Muhaimin Sulam dan Che Shamsudin Othman. - Foto Rohanis Shukri
HISHAMUDDIN Rais (dua dari kanan) pada forum memperkasakan DBP menuju Malaysia Baharu di Dewan Bankuet, DBP. Turut sama Eddin Khoo (kiri), Dr Muhaimin Sulam dan Che Shamsudin Othman. - Foto Rohanis Shukri

DBP diminta tidak pencilkan diri

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai peranan penting melangkaui aspek bahasa, tidak boleh lagi terus memencilkan dirinya.

Isu interaksi itu antara yang diulang-ulang dalam perbincangan pada Forum Memperkasa DBP Menuju Malaysia Baharu di Menara DBP di sini yang terus hangat diperkatakan terutama di media sosial hingga kini.

Sebagai badan yang sebelum ini ditunjangi nasionalis dan pemikir tanah air, DBP dikatakan sudah semakin lemah kerana pengasingannya bukan saja daripada masyarakat, bahkan pengarang, seniman dan intelektual.

Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA), Eddin Khoo, berkata DBP perlu kembali berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas dan tidak lagi memulaukan diri dengan hanya menjalankan aktiviti yang memperlihatkan badan itu saja.

Khoo berkata, DBP masih mempunyai peranan yang sangat penting sebagai pentadbir bahasa dan disebabkan itu juga ia perlu mula berinteraksi mengenai persoalan bahasa yang besar termasuk soal masa depan sesuatu bahasa itu.

Katanya, persoalan mengenai sama ada sesuatu bahasa itu akan terus mempunyai nilai falsafah dan sastera serta akan wujud dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, kini menjadi isu yang mencengkam setiap bahasa di dunia.

"Cabaran DBP sangat besar. Justeru, mereka perlu terus serius dan dedikasi. Jangan lagi bergelut dengan isu misi kerana ia makin membosankan.

"Bagi saya isu memperkasa institusi ini berkait dengan isu interaksi. Justeru, DBP harus risau adakah ia akan menjadi sebuah badan yang tidak relevan? Atau masih lagi diambil peduli oleh masyarakat.

"Soal itu bagi saya mengatasi perihal peranan sesuatu badan kerana jika sesuatu institusi itu tidak lagi dipedulikan, ia mungkin boleh hidup tetapi apa lagi pengaruh yang dimilikinya?" katanya dalam forum dikendalikan Pensyarah Universiti Teknologi PETRONAS, Dr Muhaimin Sulam.

Turut serta sebagai panelis ialah aktivis teater, Che Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman dan aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Sementara itu, Dinsman meminta DBP 'mengekori' langkah diambil Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Usman Awang dalam mendekatkan hubungan dengan seniman, penulis dan intelektual ketika zaman sastera ulung itu bersama-sama DBP.

Katanya, Usman mewujudkan sudut penulis dan ini menyebabkan golongan penulis, seniman dan intelektual berasa seolah DBP juga menjadi tempat buat mereka.

"Kemesraan sebeginilah yang perlu dihidupkan kembali oleh DBP. Orang berbakat seperti SN, Datuk Seri A Samad Said tidak mesra dengan DBP mengapa? Beliau manusia boleh merajuk tetapi DBP sebagai institusi takkanlah mahu merajuk juga," katanya.

Dinsman turut memberi saranan supaya Bahagian Buku Teks dipisahkan daripada badan bahasa itu seperti dilakukan pada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang dahulunya ditempatkan di bawah DBP.

Beliau berkata, pemisahan itu dapat mengurangkan 'bebanan' terpaksa ditanggung DBP dalam menjalankan tugas hakikinya bagi memajukan bahasa Melayu dan persuratan.

"Biar mereka tumpukan kepada perihal memajukan sastera, penerbitan karya persuratan besar dan memajukan ilmu dalam bahasa Melayu yang saya lihat kini tidak begitu diberi perhatian oleh DBP.

"Malah, apabila bercakap mengenai bahasa Melayu, ada ramai profesor yang menemui ilmu baru tetapi DBP nampaknya tidak menjadi penampung bagi menerbitkan karya berkenaan," katanya.

Dinsman berkata, hari ini orang Melayu sendiri sudah tidak segan silu mengakui yang mereka tidak boleh berbahasa Melayu dan ini berlaku disebabkan penjajahan bahasa yang menyebabkan hanya bahasa Inggeris dilihat sebagai yang terbaik.

Hishamuddin pula berkata, beliau masih belum melihat adanya pencerahan yang nyata terhadap perkembangan bahasa dan budaya tanah air pasca 9 Mei.

"Kegelapan masih ada walaupun kini kita dalam Malaysia Baharu kerana pemain utama dalam gerbang politik sekarang tidak melihat seni budaya dan sastera sebagai satu perkara yang sama penting dengan falsafah perjuangan mereka.

"Justeru, saya harapkan DBP bangun dan hidupkan semula semangat untuk berinteraksi bersama-sama dengan masyarakat luaran. Jika kita senada dan satu gerakan, maka ada perubahan yang akan dapat kita lakukan," katanya.

Berita Harian X