Sabtu, 7 Julai 2018 | 1:03pm
MENTERI Pelajaran, Dr Maszlee Malik. - Foto Halim Salleh
MENTERI Pelajaran, Dr Maszlee Malik. - Foto Halim Salleh

Bahasa Melayu tidak mustahil jadi rujukan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perjuangan bahasa dan sastera perlu selari dengan sejarah yang sudah dilakar pada 9 Mei lalu.

Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik, berkata tarikh 9 Mei membuktikan tidak ada lagi yang mustahil di negara ini.

"Justeru, tidak mustahil untuk bahasa Melayu Malaysia diangkat sebagai bahasa antarabangsa yang mampu dijadikan rujukan pembelajaran bahasa Melayu.

"Hasrat saya dalam tempoh lima tahun ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mampu setaraf dengan British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute.

"Hal ini boleh dimulakan dengan membuka kelas pembelajaran bahasa Melayu di setiap kedutaan Malaysia di luar negara," katanya pada Majlis Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)-ITBM-DBP di Rumah PENA di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Pengurus Besar Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan DBP Dr Hanafi Ibrahim.

Tegas Dr Maszlee, DBP juga boleh memikirkan untuk melantik duta bahasa Melayu dari kalangan orang bukan Melayu bagi memperkenalkan bahasa kebangsaan itu di peringkat antarabangsa.

Bahasa Melayu tegasnya berpotensi untuk menjadi bahasa antarabangsa selain menjadikan ia sebagai bahasa utama dan bahasa pilihan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah antarabangsa.

Berita Harian X