Isnin, 26 Februari 2018 | 10:45pm
LOKASI manuskrip di seluruh dunia. - Grafik BH
LOKASI manuskrip di seluruh dunia. - Grafik BH
ANTARA Manuskrip Melayu yang di pamerkan di program "Wacana Manuskrip Melayu" yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad
ANTARA Manuskrip Melayu yang di pamerkan di program "Wacana Manuskrip Melayu" yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad
DI Leiden kos untuk mendigitalkan selembar naskhah adalah 1 euro (RM4.83) dengan tambahan RM72 bagi tempahan baharu. - Foto Google
DI Leiden kos untuk mendigitalkan selembar naskhah adalah 1 euro (RM4.83) dengan tambahan RM72 bagi tempahan baharu. - Foto Google
HALAMAN awal Hidayat al-salikin fi suluk maslak al-muttaqin, terjemahan Sheikh Abdul Samad daripada karya Bidayat al-Hidaya oleh al-Ghazali yang dimiliki British Library.
HALAMAN awal Hidayat al-salikin fi suluk maslak al-muttaqin, terjemahan Sheikh Abdul Samad daripada karya Bidayat al-Hidaya oleh al-Ghazali yang dimiliki British Library.
TIMBALAN Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching ditemani Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library, Datuk Dr Annabel Teh Gallop melihat pameran Seminar Bahasa Melayu di Putrajaya, pada Mei 2017. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Miliki semula manuskrip Melayu berharga di Belanda

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 manuskrip Melayu yang kini tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden di Belanda, tidak mustahil boleh dimiliki semula Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura jika semua negara itu bekerjasama mendigitalkannya.

Sehingga kini belum ada kerjasama membabitkan semua negara terbabit, sebaliknya hanya melalui usaha persendirian seperti dikelolakan Indonesia dengan kerjasama Universiti Hamburg di Jerman dan Singapura bersama British Library di Britain.

Pensyarah Leiden Institute for Area Studies (LIAS) di Universiti Leiden, Dr Surya Suryadi, berkata jika semua negara berkepentingan mampu dan mahu bekerjasama, pemilikan semula manuskrip Melayu di Leiden tidak mustahil walaupun bukan dalam bentuk asalnya.

"Kiraan kos untuk mendigitalkan semua manuskrip itu belum pernah dilakukan, namun sebagai pedoman di Leiden kos untuk mendigitalkan selembar naskhah adalah 1 euro (RM4.83) dengan tambahan RM72 bagi tempahan baharu.

PENSYARAH Leiden Institute for Area Studies (LIAS) di Universiti Leiden, Dr Surya Suryadi. - Foto fail NSTP/Mahzir Mat Isa
PENSYARAH Leiden Institute for Area Studies (LIAS) di Universiti Leiden, Dr Surya Suryadi. - Foto fail NSTP/Mahzir Mat Isa

"Justeru, untuk naskhah 500 halaman, andaian kos diperlukan adalah kira-kira RM2,485. Jadi, kalau kita andaikan 20,000 naskhah itu katalah ada sejuta halaman, jadi kos digitalnya juga cukup besar," katanya kepada BH di sini.

Sebelum ini British Library terbabit dengan projek digital keseluruhan manuskrip Melayu dalam simpanannya yang mencecah kos sekitar RM686,180.

Koleksi digital manuskrip Melayu

Projek itu mendapat dana daripada pasangan Amerika yang menetap di Singapura, William and Judith Bollinger dan mengambil masa lima tahun bermula 2013.

British Library turut bekerjasama dengan Perbadanan Muzium Kebangsaan Singapura dengan mendigitalkan manuskrip berkaitan Singapura yang tersimpan di British Library.

Suryadi berkata, perkembangan teknologi masa kini membolehkan salinan digital dibuat, malah pangkalan data boleh menghimpunkan banyak salinan. Kajian menggunakan naskhah fizikal pula perlu dikendalikan dengan penuh cermat kerana sifat 'rapuh' naskhah lama.

Di Leiden, katanya genre manuskrip Melayu yang paling banyak disimpan adalah cerita rakyat yang kaya dengan kandungan kearifan tempatan puak yang mendiami wilayah Nusantara.

"Ia dirakam sama ada dalam bentuk historiografi tradisional seperti chronicle (kronikel) dan annal (babad), undang-undang atau cerita panji. Selain itu, tersimpan juga warkah raja-raja dan manuskrip ilmu agama," katanya.

Dr Suryadi berkata, walaupun hampir 20,000 manuskrip itu dirujuk sebagai manuskrip Melayu, ada juga naskhah ditulis dalam tulisan selain jawi.

Minat sarjana Melayu kaji manuskrip menurun

Antaranya tulisan rencong, Bugis, Bali, Sunda dan Jawa, tetapi manuskrip bertulisan jawi tetap menjadi bahagian paling banyak dan naskhah berkenaan adalah koleksi diperoleh Belanda ketika zaman penjajahan dan ia datang dari pelbagai daerah di alam Melayu.

ANTARA Manuskrip Melayu yang di pamerkan di program "Wacana Manuskrip Melayu" yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad
ANTARA Manuskrip Melayu yang di pamerkan di program "Wacana Manuskrip Melayu" yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Walaupun pelbagai usaha boleh dibuat untuk memudahkan kajian terhadap manuskrip Melayu, Suryadi berkata hal utama perlu disedari adalah minat di kalangan sarjana Melayu untuk mengkaji teks berkenaan sudah menurun.

"Di Malaysia, tidak ramai orang muda berminat. Walaupun generasi sarjana dahulu masih ada misalnya Dr Wan Ali Wan Mamat, Prof Dr Jelani Harun, Dr Harun Mat Piah, Kamariah Abu Samah, Prof Madya Dr Ab Razak Ab Karim, Prof Madya Zahir Ahmad, sekitar lima tahun ke hadapan kebanyakan dari generasi sarjana ini akan memasuki usia persaraan.

"Dalam keadaan demikian, saya belum melihat munculnya generasi pelapis yang akan menggantikan mereka," katanya sambil mengakui keadaannya lebih baik di Indonesia dengan masih terdapat generasi muda yang mahu mengambil kajian filologi.

Suryadi berkata, pengkaji naskhah di Indonesia juga tergabung dalam organisasi yang disebut Masyarakat Pernaskahan Nusantara (MANASSA) dan organisasi ini aktif mengadakan diskusi, seminar, simposium seputar dunia pernaskhahan Nusantara," katanya.

INFO

  • 20,000 - Manuskrip Melayu tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden, Belanda.
  • 1 euro (RM4.83) - Kos anggaran mendigitalkan manuskrip sehalaman.
Berita Harian X