Jumaat, 26 Januari 2018 | 7:34am

Politik Melayu dari perspektif orang putih

BENARKAH orang Melayu tidak suka melihat orang Melayu lain lebih kaya daripadanya? Benarkah kehebatan seorang Raja Melayu pula diukur daripada berapa ramai jumlah penduduknya.

Atau apakah kajian sarjana asing yang berdasarkan hikayat sastera lama boleh menjadi petunjuk yang boleh dipercayai dalam memahami budaya politik orang Melayu?

Kerajaan, karya sarjana Australia, Anthony Milner ini bukan naskhah baharu, tetapi ia baru diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Naskhah asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan dianggap sebagai karya klasik dalam konteks kajian sejarah Malaysia.

Kerajaan ditulis berdasarkan hikayat lama antaranya Hikayat Pahang, Hikayat Siak, Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah.

Ia dianggap sebagai karya provokatif, tetapi sangat menarik untuk ditelaah. Satu konsep menarik didedahkan Milner ialah orang Melayu menurutnya tidak berhajat mencari kekayaan untuk menjadi kaya.

Kuasa politik

Namun berdasarkan sumber naskhah sastera klasik, konsep kekayaan itu dikaitkan dengan kuasa politik.

Pada satu peringkat pembacaan, terasa menusuk benar penemuan yang diungkap Milner. Apakah sebegitu tingkah orang Melayu atau ia hanya satu lagi provokasi sarjana asing terhadap orang Melayu?

Apapun, kajian akademik sebenarnya sangat diperlukan bagi mengkaji budaya, pemikiran dan falsafah kehidupan orang Melayu. Tambahan pula kajian ini menyorot budaya politik Melayu di ambang pemerintahan kolonial.

Naskhah ini menarik satu daripada sebabnya ia bersumberkan khazanah sastera klasik Melayu yang orang Melayu sendiri tidak sudi menelaah.

Sebelum ini, sarjana Russia, Dr Tatiana Denisova turut menyandarkan kajian beliau, Refleksi Historiografi Alam Melayu juga berdasarkan naskhah sastera Melayu klasik.

Berita Harian X