Rabu, 24 Januari 2018 | 6:55am

Pago Pago bakal temui khalayak seni Eropah

KUALA LUMPUR: Catan Pago Pago karya Abdul Latiff Mohidin atau juga dikenali sebagai A Latiff Mohidin, sudah mencecah usia 53 tahun sejak dihasilkan pada 1964.

Bagaimanapun, keistimewaan siri catan itu terus diperkatakan hinggakan tidak lengkap untuk bercakap mengenai A Latiff Mohidin tanpa menyebut Pago Pago.

Terbaru, Siri Pago Pago bakal dipamerkan di Centre Pompidou, Paris, bermula 28 Februari ini. Pameran dinamakan Pameran Pago Pago: Latiff Mohidin (1960-1969) itu diadakan hasil kerjasama dengan Galeri Kebangsaan Singapura membabitkan lebih 70 karya.

Abdul Latiff banyak dipengaruhi gaya ekspresionisme Jerman kerana pernah menuntut di Berlin Barat dari 1961 hingga 1964. Hari ini beliau dikenali sebagai antara artis utama di Asia Tenggara. Malah, Abdul Latiff juga pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1984.

Perspektif baharu seni Asia Tenggara

Presiden Centre Pompidou, Serge Lasvignes, berkata Pameran Latiff Mohidin: Pago Pago (1960-1969) dianggap sebagai acara utama muzium seni moden terbesar di Eropah.

"Kami menawarkan perspektif baharu terhadap seni dari Asia Tenggara, selain Eropah.

"Kerjasama dengan Galeri Kebangsaan Singapura ini memberi peluang tidak ternilai kepada khalayak di sini untuk melihat karya antara artis terpenting Asia Tenggara di dunia," katanya dalam kenyataan, di sini.

Pengarah Galeri Kebangsaan Singapura, Dr Eugene Tan, berkata pameran ini memaparkan karya Abdul Latiff pada 1960-an, yang menanda perubahan signifikan pada seni Asia Tenggara.

"Abdul Latiff disifatkan antara artis pertama di Asia Tenggara yang memaparkan imej Asia Tenggara dalam bentuk artistik," katanya.

Pago Pago: Latiff Mohidin (1960-1969) bukan hanya menyerlahkan keunikan Abdul Latiff tetapi juga sebenarnya dialog beliau dengan artis seangkatan dari Barat. Pameran ini juga boleh dilihat sebagai rakaman perjalanan beliau merentas Eropah sebelum kembali ke Asia Tenggara.

Konsep ekspresionisme

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Zahuri Khairani, menyifatkan Siri Pago Pago adalah buah tangan artis terawal Malaysia dalam pengolahan abstrak terhadap visualisasi serantau.

"Pago Pago ialah siri terpenting yang memaparkan bentuk ekspresionisme dan simbolisme yang dianggap lahir daripada jiwa dan mata hati sang pelukis," katanya.

"Selain daripada penafsiran bentuk dan makna, Pago Pago ditafsir sebagai satu penghasilan karya daripada artis yang benar-benar memahami konsep ekspresionisme dalam karya seni yang dikonstruk dalam bentuk abstrak," katanya.

Mohd Zahuri juga menyifatkan kajian dan ulasan sarjana terhadap siri Pago Pago ini menjelaskan lagi peri pentingnya sumbangan Abdul Latiff terhadap pembangunan seni visual di Malaysia.

Selain Siri Pago Pago, Abdul Latiff juga dikenali dengan siri catan Langkawi dan Mindscape.

Abdul Latiff turut terkenal sebagai penyair dengan kumpulan sajak Sungai Mekong (1972), Kembara Malam (1974), Wayang Pak Dalang (1977), Garis: Dari Titik ke Titik (1998) dan Rawa-Rawa (1992).

Berita Harian X