Jumaat, 17 November 2017 | 12:01pm

Malam Puisi Riong malam ini

KUALA LUMPUR: Acara Malam Puisi Riong BH-Permodalan Nasional Berhad (PNB): BH 60 Tahun Merentas Generasi yang akan berlangsung di Balai Berita, jam 8 malam ini, menyediakan ruang besar bagi menonjolkan kekuatan jati diri melalui ungkapan puisi.

Penerima Anugerah Karyawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Siti Jasmina Ibrahim yang akan menyertai acara itu buat pertama kalinya berkata beliau sentiasa menyokong usaha diambil BH melalui penganjuran acara malam puisi itu.

"Saya berbesar hati turut menjadi sebahagian daripada acara ini apatah lagi Malam Puisi Riong sudah menyokong perkembangan kesusasteraan melalui acara sebegini sejak sekian lama sepertimana dilakukan BH melalui pengisian bahan maklumat dan ilmu di ruangan Sastera & Budaya.

Perjuangan kemanusiaan

"Malam Puisi Riong mengutamakan keberanian suara puisi sekitar kekuatan jati diri masyarakat negara ini dan ia menjadi nilai penting untuk memahami perjuangan kemanusiaan dari aspek kesenian dan kesusasteraan," katanya kepada Sastera & Budaya, di sini.

Siti Jasmina yang akan menyertai pentas Malam Puisi Riong buat pertama kalinya, akan membawakan puisi Sudahkah Nanti Setelah Sejahtera, Kita Enggan Lagi Menabur Tekun Dan Percaya Tanah Ini Tidak Diganggu Duka? yang dicipta Dr Hani Salwah Yaakup.

Selain Siti Jasmina, Malam Puisi Riong malam ini akan turut disertai pengarang prolifik, Zainal Rashid Ahmad, iaitu nama yang tidak lagi asing dikalangan peminat sastera.

Tidak ketinggalan membuat kemunculan ialah pelakon hebat tanah air, Khir Rahman yang baru saja diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), baru-baru ini.

Mengambil alih pentas kemudiannya ialah Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman yang akan membawakan puisi bagi mengingati penderitaan masyarakat Rohingya selain Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad serta Presiden Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Dr Ghazali Taib.

Menjanjikan persembahan memukau ialah pelakon, pemuisi serta pelukis, Pyanhabib serta pakar muzik tradisional dan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) Dr Lawrence Ross.

Hadirin juga dibawa menikmati deklamasi puisi daripada bekas wartawan BH, Zinitulniza Abdul Kadir yang juga penulis buku Peranakan Cina Kelantan serta Ahmad Shukri Abdullah, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan Ke-29 dan wakil Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Buck Lee Pik Seng.

Tidak ketinggalan memeriahkan Malam Puisi Riong malam ini nyanyian lagu puisi oleh penyanyi lagu puisi, Syed Amran yang terkenal dengan lagu Selamat Malam Rohingya.

Bertemakan BH 60 Tahun Merentas Generasi, Malam Puisi Riong kendalian personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya itu dibuka secara percuma kepada hadirin.

Berita Harian X