Khamis, 2 November 2017 | 10:04am
MOHAMAD Hasan menyampaikan Anugerah Kewartawanan Rencana Cemerlang kepada Ifwan Tun Tuah sempena Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017 di Klana Resort Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
MOHAMAD Hasan menyampaikan Anugerah Kewartawanan Rencana Cemerlang kepada Ifwan Tun Tuah sempena Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017 di Klana Resort Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengarang bentuk jiwa masyarakat, tidak jadi robot

SEREMBAN: Pengarang dan penulis berperanan dalam membentuk jiwa masyarakat supaya tidak menjadi seperti robot.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pengkarya berperanan memberi nasihat kepada masyarakat menerusi tulisan supaya mesej yang ingin disampaikan dapat diterima dengan baik.

Beliau berkata, tidak mudah untuk menjadi pengkarya kerana perlu sentiasa memberi fokus dalam menghasilkan sesuatu penulisan yang berkualiti.

Namun katanya, setiap karya itu pada akhirnya dapat membentuk jiwa masyarakat, apabila menggunakan bahasa yang baik dan mudah difahami.

"Sekarang ini ramai sudah jadi seperti robot, robot tiada jiwa. Tidak guna negara maju tetapi masyarakat tiada jiwa sebagai contoh alam sekitar tidak dipedulikan hanya untuk pembangunan.

"Di sini pentingnya pengkarya yang menghasilkan penulisan yang dapat memberi nasihat dan kesedaran kepada masyarakat," katanya pada majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017 di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, anugerah utama sastera iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Sembilan (Anugerah Za'ba) menjadi milik Prof Dr Zakaria Ali yang membawa pulang wang tunai RM10,000, plak, sijil dan buku.

Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin pula memenangi Anugerah Tokoh Seni Negeri Sembilan, manakala Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Budaya Negeri Sembilan.

Sementara itu, Siti Jasmina Ibrahim cemerlang apabila memenangi empat daripada 18 kategori Anugerah Sastera yang dipertandingkan iaitu dalam kategori Buku: Cerpen; kategori Karya Eceren: Cerpen Terbaik dan Skrip Drama Terbaik (Drama Pentas dan Drama Televisyen). Khairil Idham Ismail memenangi tiga anugerah, iaitu kategori Karya Eceran: Cerpen Terbaik dan Esei/Kritikan Terbaik serta Anugerah Sastera Penulis Harapan Negeri.

Ratna Laila Shahidan memenangi kategori Buku: Puisi dan kategori Karya Eceran: Puisi Terbaik, manakala Nisah Haron menenangi kategori karya eceran: Cerpen Terbaik dan Esei/Kritikan Terbaik.

Juriyati Mat Jalil dan Zalila Isa pula memenangi kategori Karya Eceran: Puisi Terbaik, manakala Anugerah Sesi Perpatih dimenangi oleh Allahyarham Profesor Norhalim Ibrahim.

Bagi anugerah media pula, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) memenangi empat daripada 13 anugerah yang dipertandingkan.

Wartawan sambilan Harian Metro, Abnor Hamizam Abd Manap memenangi Anugerah Kewartawanan Sri Sembilan iaitu anugerah yang dinilai terbaik oleh panel hakim, melalui laporan bertajuk Burung Hantu Jaga Ladang, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, plak dan sijil.

Wartawan BH, Ifwan Tun Tuah, menerima Anugerah Rencana Cemerlang melalui laporan bertajuk Kelah Merah Diancam Kepupusan, RM500 Sekilo Gram Punca Spesies Diburu dan Jeram Berungut Jadi Santuari Elak Spesies Pupus.

Wartawan The New Straits Times, Nur Aqidah Azizi pula memenangi Anugerah Wartawan Cemerlang Bahasa Inggeris menerusi laporan bertajuk Sergeant Hassan a True Patriot, manakala jurufoto NSTP, Hazreen Mohamad memenangi Anugerah Jurufoto Cemerlang.

Ifwan, Nur Aqidah dan Hazreen, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, plak dan sijil.

Berita Harian X