Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:11pm

Ayuh sertai Hadiah Cerpen Komanwel 2018

KUALA LUMPUR: Hadiah Cerpen Komanwel 2018 yang menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai RM85,000 (STG15,000) dibuka kepada karya terjemahan termasuk daripada bahasa Melayu.

Inisiatif Penulis Komanwel, Yayasan Komanwel dalam kenyataannya berkata, hadiah bakal dianugerahkan kepada karya terbaik yang belum pernah diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

"Pemenang peringkat wilayah akan menerima hadiah bernilai kira-kira RM14,200 (STG2,500), manakala pemenang keseluruhan mendapat RM28,300 (STG5,000).

"Penyertaan dalam bentuk terjemahan juga diterima, iaitu karya yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu, Benggali, Kiswahili, Mandarin, Portugis, Samoa dan Tamil," kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, hadiah merangkumi lima wilayah Komanwel iaitu Afrika, Asia, Kanada dan Eropah, Caribbean serta Pasifik.

"Lima pemenang akan dipilih iaitu satu dari setiap wilayah. Seorang akan dipilih sebagai pemenang keseluruhan.

"Sekiranya cerpen yang menang ialah karya terjemahan ke bahasa Inggeris, penterjemah akan mendapat hadiah wang tambahan," kata kenyataan itu.

Selain Malaysia, negara yang terbabit dalam kategori Asia ialah Bangladesh, Brunei, India, Maldives, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka.

Penyertaan dibuka mulai 1 September hingga 1 November ini, manakala maklumat lanjut lawati laman web http://www.commonwealthwriters.org.

Berita Harian X