Khamis, 20 Julai 2017 | 7:00pm
DR Farouk Yahya. - Foto Zunnur Al Shafiq
DR Farouk Yahya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Melayu, magis, bomoh tak boleh dipisahkan

KUALA LUMPUR: Ilmu magis dan amalan khidmat bomoh masih menjadi pilihan orang Melayu dalam kehidupan harian meskipun sains dan teknologi semakin berkembang.

Bagaimanapun, orang Melayu semakin beralih kepada rawatan Islam walaupun masih ada amalan berkenaan yang tidak bercanggah dengan agama.

Pembantu Penyelidik Muzium Ashmolen, Universiti Oxford, Dr Farouk Yahya, berkata meskipun kadar kebergantungan kepada ilmu magis ini semakin kurang, ia menjadi pilihan jika sesuatu masalah itu gagal diselesaikan oleh sains dan teknologi.

"Penggunaan ilmu magis ini sudah lama digunakan seperti direkodkan dalam manuskrip Melayu sejak abad ke-18.

"Magis digunakan untuk meramal masa depan, pelaris, kasih dan mengetahui punca penyakit, membuka kota juga sebagai strategi politik.

"Hari ini meskipun orang Melayu beralih kepada rawatan Islam tetapi masih ada amalan magis atau bomoh yang tidak bercanggah dengan Islam diamalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya, Malay Magic and Divination: Royal Patronage and State Magicians di Muzium Diraja di sini, hari ini.

Farouk yang mengkaji mengenai ilmu magis atau amalan bomoh untuk ijazah doktor falsafah di Universiti Oxford berkata, dalam satu daripada manuskrip yang dikajinya ada tulisan mengenai azimat yang digunakan untuk membantu perempuan bersalin selain azimat yang digunakan perlagaan lembu.

"Azimat laga lembu ini ditemui dalam manuskrip tidak bertajuk milik Raja Muda Kelantan. Ia berlangsung antara tahun 1838 hingga 1887," katanya.

Berita Harian X