X
Isnin, 17 Julai 2017 | 12:04am
PROFESOR linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin. - Foto Saifullizan Tamadi
PROFESOR linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin. - Foto Saifullizan Tamadi

Kerajaan perlu utamakan pemartabatan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Keutamaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dapat elakkan jati diri generasi muda terhakis ekoran gembar-gembur kepentingan penggunaan bahasa Inggeris.

Profesor linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin, berkata sekiranya kerajaan tidak memberi perhatian kepada usaha memperkasa bahasa Melayu, lama-kelamaan bahasa itu akan dianggap tidak mempunyai nilai.

"Kita akan menjadi bangsa yang membuang bahasa sendiri sedangkan bahasa Melayu itu bahasa saintifik yang di dalamnya mengandungi banyak metafora, pepatah dan peribahasa, sekali gus memerlukan kita berfikir.

"Bahasa Inggeris pula sebenarnya hanya bahasa romantis yang asalnya bahasa pasar sebelum diangkat sebagai bahasa standard.

"Disebabkan itu bahasa Inggeris kurang dengan metafora dan peribahasa berbanding dengan bahasa Melayu," katanya Sastera&Budaya BH di sini.

Nor Hashimah berkata, sikap kerajaan mengutamakan usaha memartabatkan bahasa itu penting ekoran penguasaan bahasa Melayu yang teruk di kalangan generasi muda.

"Ia termasuklah mereka yang sempat mengikuti dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Generasi itu juga tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik seperti diinginkan ketika kerajaan melaksanakan PPSMI pada tahun 2003," katanya.

Nor Hashimah yang kesal terhadap perkembangan itu berkata, penguasaan bahasa Melayu standard yang lemah di kalangan pelajar juga dapat disaksikan terutamanya ketika melihat pembentangan dilakukan mereka semasa di universiti.

"Saya pernah membuat kajian pada tahun 2009 dan mendapati penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar Malaysia tidak baik.

"Selepas beberapa tahun, keadaan kini lebih teruk terutamanya dengan penggunaan pelbagai singkatan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp," katanya.

Beliau berkata, masalahnya bukan saja dasar PPSMI sudah digantikan dengan Program Dwibahasa (DLP), malah seawal persekolahan peringkat tadika lagi bahasa Inggeris dan Arab lebih diutamakan.

"Hal ini menyebabkan bahasa Melayu tidak mendapat tempat langsung.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, tidak mustahil bahasa Melayu standard akan pupus dalam tempoh 30 tahun lagi dan kemudian digantikan dengan bahasa rojak," katanya.

Berita Harian X