Selasa, 28 Jun 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bentuk kerjasama MARA, FELDA, MAIN majukan industri makanan

Kemampuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkasakan ekonomi negara, khususnya Bumiputera tidak dapat dinafikan sejak ia ditubuhkan pada 1966. MARA dipertanggungjawab untuk mempertingkatkan kualiti hidup orang Melayu serta Bumiputera, terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Perkhidmatan institusi di bawah MARA bukan lagi perkara asing seperti menyediakan premis perniagaan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), pinjaman pelajaran, Kolej Profesional MARA (KPM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Kolej MARA antara sumbangan agensi ini meningkatkan kualiti hidup orang Melayu dan Bumiputera.

Persoalannya, bagaimanakah MARA dapat memainkan peranannya dengan lebih bersepadu bagi membantu memulihkan sektor pertanian dan penternakan negara yang dirundung pelbagai masalah ketika ini?

Umum mengetahui, krisis makanan melanda negara hari ini kerana dasar meminggirkan pertanian dan penternakan sejak 1980-an. Fokus negara ketika itu tertumpu pada perindustrian dengan tidak menyeimbangkan pembangunan sektor pertanian, mengakibatkan krisis harga makanan tidak menentu yang akhirnya menjerat negara kembali.

Justeru, kerjasama strategik antara MARA dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta FELDA dicadangkan untuk membangunkan sektor pertanian serta penternakan negara.

Oleh kerana MARA, FELDA dan MAIN mempunyai objektif institusi hampir sama, maka titik persamaan lebih bersepadu dapat dibentuk bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan negara.

Ada pihak bertanya, mengapa MAIN perlu dilibatkan dalam kerjasama strategik ini kerana persoalan yang berbangkit adalah daripada mana datangnya sumber kewangan MAIN nanti?

Oleh kerana MAIN adalah pemegang amanah tunggal menguruskan banyak sumber zakat dan wakaf di bawah negeri, maka ia boleh dicaturkan untuk keperluan sektor pertanian dan penternakan.

Hal ini bersangkutan dengan konsep makanan berkualiti bukan sahaja dilihat dalam aspek fizikal semata-mata, malah perlu bermula daripada aspek pengurusan halal dan toyyiban untuk membentuk kehidupan masyarakat yang baik.

FELDA memiliki pengalaman luas mengendalikan sektor pertanian dan kepakarannya mampu memberi satu lagi nilai tambah dalam kerjasama MARA, FELDA dan MAIN.

Sumber tanah wakaf dan baitulmal dimiliki MAIN boleh menjadi antara sumber pengeluaran bagi memulakan projek pertanian dan penternakan. Dana zakat serta wakaf yang menjadi sumber utama MAIN pula boleh digunakan untuk pembangunan sektor ini.

Kerjasama strategik antara institusi dalam sektor awam ini bukan perkara baharu, malah jika dapat disepadukan dalam bentuk pelbagai boleh membantu pemulihan sektor pertanian dan penternakan negara.

Persoalannya, pihak manakah harus membawa kerjasama strategik ini ke meja rundingan untuk direalisasikan?

Kebergantungan negara kita dalam sektor pertanian dan penternakan dari negara luar dalam membekalkan sektor makanan, benar-benar memberi kesan jangka panjang yang tidak baik untuk ekosistem sesebuah negara.

Jika berlaku peperangan misalnya, mampukah negara bertahan, sedangkan sumber

makanan, tidak dapat disediakan? Sektor perindustrian dan sektor pembinaan penting sebagai sumber ekonomi dagangan mampan namun sektor pertanian jelas sekali tidak boleh dipinggirkan.

Sektor pertanian dan penternakan perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku, seperti krisis kebuluran.

Sejarah membuktikan, kehebatan sesebuah negara mampu mengendalikan sektor pertanian dan penternakan mampu mengharungi isu sumber makanan dengan jaya.

Kisah pemerintahan Nabi Yusuf AS di Mesir ketika diuji dengan kemarau, menjadi catatan sejarah yang harus kita ambil perhatian untuk mengambil tindakan pantas.

Isu krisis makanan pada 2008 akibat kebergantungan kita kepada beras import seharusnya dijadikan pengajaran. Kini selepas 14 tahun, krisis makanan masih menjadi isu hangat dibincangkan.

Ketidakcukupan bekalan makanan tertentu dalam pasaran menunjukkan seolah-olah kita tidak serius memikirkan nasib rakyat yang mungkin tidak mampu mendapatkan bekalan makanan halal dan toyyiban.

Walaupun sektor ekonomi lain penting untuk pembangunan negara, kerajaan patut membangunkan juga sektor pertanian dan penternakan demi memenuhi keperluan domestik.

Memang terdapat banyak cabaran untuk merealisasikan idea kerjasama ini, terutama input pengeluaran seperti tanah, modal dan buruh, namun matlamat ini tidak mustahil untuk diangkat pada perbincangan mesyuarat Kabinet.

Selain itu, dicadangkan kerajaan mewartakan beberapa kawasan strategik yang dilihat berpotensi untuk dijenamakan sebagai kawasan pertanian serta penternakan mampan.

Seperti Kedah diberi jolokan 'negeri jelapang padi', mengapa tidak kita jenamakan lebih banyak komoditi pertanian dan penternakan mewakili daerah mempunyai potensi pelbagai?

Nyata sekali usaha sebegini perlu diperkasakan melalui perkongsian sumber dan kepakaran supaya sektor makanan negara melalui pertanian serta penternakan mampu memberikan makanan halal dan toyyiban kepada umat Islam dan rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X