Isnin, 20 Jun 2022 | 12:26pm
Dengan pelaksanaan BDR lapan hari sebulan contohnya, ia dapat menjimatkan perbelanjaan pekerja sebanyak RM240. - Foto hiasan
Dengan pelaksanaan BDR lapan hari sebulan contohnya, ia dapat menjimatkan perbelanjaan pekerja sebanyak RM240. - Foto hiasan

Majikan wajar pertimbang bekerja dari rumah ringankan kos pekerja

Oleh Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed

[email protected]

Sejak akhir-akhir ini terdapat pelbagai pihak mengutarakan pandangan berkenaan bekerja dari rumah (BDR). Ada pihak bersetuju cadangan BDR dan sebahagian lagi tidak bersetuju serta memilih berkerja dan hadir di pejabat secara fizikal.

Umum mengetahui BDR mula dilaksanakan secara meluas bukan sahaja di dalam negara bahkan di seluruh dunia sejak penularan COVID-19.

Di negara ini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan COVID-19 menyebabkan BDR mula dilaksanakan di kebanyakan sektor. Pada satu ketika, 80 peratus pekerja kerajaan dan 40 peratus pekerja di sektor swasta BDR.

Namun, persoalan timbul ketika ini adalah sama ada BDR perlu diteruskan ketika negara memasuki fasa peralihan ke endemik atau semua pekerja perlu hadir ke pejabat secara bersemuka seperti sebelum COVID-19 mengganas.

Kaedah pelaksanaan BDR ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan ia bergantung kepada perspektif pekerja serta majikan. Bagi pekerja, pada peringkat awal pelaksanaan BDR, mereka melihat ia sebagai satu pendekatan baharu dan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

Rutin harian berubah secara mendadak apabila BDR menyebabkan timbul beberapa isu dihadapi pekerja serta majikan termasuk tekanan mental dan emosi.

Ia dipengaruhi faktor tertentu sehingga mengganggu pekerjaan seperti masalah liputan dan internet lemah di kawasan kediaman. Ketika itu banyak isu berbangkit berkisar kemudahan dalam pelaksanaan BDR.

Namun dari sehari ke sehari minat dan kecenderungan pekerja untuk BDR meningkat secara signifikan. Kajian Cisco, agensi menyelidik berkaitan pekerjaan global menunjukkan 86 peratus pekerja di Malaysia lebih gembira apabila majikan membenarkan mereka melakukan kerja di mana-mana tempat termasuk BDR.

Kira-kira 74 peratus pekerja di Malaysia menginginkan model kerja hibrid menggabungkan kerja jarak jauh dan di pejabat, berbanding kerja jarak jauh sepenuhnya dan di pejabat sepenuhnya.

Bahkan 86 peratus pekerja di Malaysia juga melihat penjimatan bahan api atau perjalanan ulang alik dan 82 peratus responden menunjukkan BDR lebih menjimatkan wang pada tahun lalu.

Kira-kira dua pertiga daripada responden dapat menjimatkan sekurang-kurangnya empat jam seminggu apabila mereka BDR, manakala lebih satu perempat mengakui dapat menjimatkan lapan jam atau lebih dalam seminggu.

Sebanyak 60 peratus pekerja di Malaysia percaya kualiti kerja mereka bertambah baik dan 55 peratus lagi menyatakan produktiviti mereka meningkat.

Sekitar 75 peratus responden juga berpendapat tugas mereka boleh dilaksanakan dengan baik walaupun bekerja pada jarak jauh, sama juga dengan kemampuan ketika bekerja di pejabat.

Data ini menjadi petunjuk jelas majoriti pekerja di Malaysia ingin meneruskan BDR dengan mengambil kira faktor keluwesan tinggi dan situasi semasa pada ketika ini yang memberikan tekanan yang lebih banyak kepada pekerja. Sekurang-kurangnya terdapat dua isu semasa dilihat memberikan impak kepada kumpulan pekerja untuk BDR.

Pertama adalah faktor kesesakan jalan raya terutama di ibu kota. Terdapat trend begitu ketara ketika pasca COVID-19 ini iaitu peningkatan jumlah kenderaan di Lembah Klang selepas pembukaan semula sektor ekonomi mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk. Jumlah kenderaan berdaftar juga turut meningkat dan turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan kerajaan akan membina tiga lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur iaitu Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway, Putrajaya–Bangi Expressway dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway.

Namun, dalam jangka panjang alternatif lain perlu dikenal pasti dan dengan meneruskan pelaksanaan BDR maka ia membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama ke ibu kota ketika ini.

Kedua adalah kenaikan kos sara hidup. Kenaikan harga kebanyakan barang keperluan harian pada ketika ini memberikan tekanan kepada pekerja khususnya golongan B40 dan M40.

Perbelanjaan harian mereka meningkat disebabkan terpaksa mengeluarkan wang lebih membeli barang keperluan harian. Kos ini juga bertambah akibat kos perjalanan ulang alik ke tempat kerja dan membeli makanan.

Antara langkah boleh diambil sektor awam dan juga sebahagian pekerja sektor swasta bagi mengurangkan tanggungan kos ini adalah dengan membenarkan pekerja BDR sekurang-kurangnya satu atau dua hari dalam seminggu.

Langkah ini dijangka membantu pekerja meringankan beban mereka ketika ini. Sebagai contoh, anggaran kos bagi seorang pekerja B40 ke tempat kerja setiap hari membabitkan kos perjalanan ulang alik ke tempat kerja, membeli makanan dan lain-lain adalah sekitar RM30 sehari.

Dengan pelaksanaan BDR selama lapan hari sebulan contohnya, ia dapat menjimatkan perbelanjaan pekerja sebanyak RM240 sebulan, sekali gus membantu mereka menggunakannya untuk membeli makanan dan keperluan harian isi rumah.

Dalam konteks majikan pula, kajian daripada Cisco mendapati hanya 20 peratus pekerja Malaysia berpendapat syarikat mereka 'sangat bersedia' untuk bekerja secara hibrid pada masa depan dan ia lebih rendah daripada purata global sebanyak 23 peratus.

Data ini menjadi petunjuk jelas kesediaan majikan jika ingin melaksanakan BDR sekurang-kurangnya satu atau dua hari seminggu masih rendah.

Sebahagian majikan lebih suka pekerjanya datang ke pejabat dan melihat mereka di depan mata serta lebih yakin pekerja mampu menyiapkan tugas diberikan dengan sempurna apabila berada di tempat kerja setiap hari.

Namun, sekiranya tugas dipertanggungjawabkan kepada pekerja dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa mengira BDR atau di pejabat, mungkin tiada keperluan untuk pekerja berada di tempat kerja.

Ia tetap bergantung kepada keputusan majikan sama ada mahu membenarkan pekerja BDR atau perlu masuk ke pejabat untuk bekerja seperti sebelum pandemik melanda.

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Penulis adalah Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X