Ahad, 19 Jun 2022 | 10:47am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Amalan parti kuasai kerajaan tidak boleh belakangi kepentingan rakyat

Kerajaan dibentuk parti politik sewajarnya meletakkan kepentingan rakyat melangkaui batas politik kepartian. Apabila parti politik ini menjadi parti pemerintah, mereka perlu bersikap inklusif dan meletakkan kepentingan awam melebihi kepentingan politik.

Dalam kata lain, mereka perlu menjadi parti pemerintah bagi semua rakyat sama ada kepada pengundi memberi undi atau tidak kepadanya dalam pilihan raya.

Namun, setiap parti membentuk kerajaan, sudah tentu akan memastikan dasar dan matlamat perjuangan mereka menjadi garis panduan dalam pembuatan keputusan kerajaan. Amalan parti menguasai kerajaan pernah subur suatu masa dahulu apabila dasar dan keputusan parti politik menjadi asas kepada keputusan kerajaan.

Konsep parti menguasai kerajaan semakin jelas apabila wujud parti dominan atau tonggak dalam kerajaan. Sebelum ini, UMNO mempunyai kelebihan bertindak menguasai kerajaan atas beberapa faktor seperti Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta jumlah menteri paling besar dalam Kabinet.

Selain itu, amalan parti menguasai kerajaan juga boleh berlaku melalui keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Keputusan majlis ini sering dirujuk sebagai asas keputusan kerajaan dalam perkara tertentu.

Malah, MKT UMNO dilihat sebagai kumpulan semak dan imbang juga pendesak kepada kerajaan dalam pembuatan keputusan khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu serta Islam di negara.

Jika diamati, amalan parti menguasai kerajaan berpunca dan berlaku dalam beberapa kaedah. Pertama, melalui janji atau ikrar parti politik terkandung dalam manifesto pilihan raya. Apabila parti politik memenangi pilihan raya, janji dan ikrar ini dikotakan dalam bentuk dasar serta keputusan kerajaan.

Namun, tidak semua janji dapat dikotakan. Ada janji pilihan raya tidak dapat ditunaikan kerana tidak realistik dan di luar kemampuan kerajaan. Ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2018, mereka dikritik kerana gagal menunaikan janji pilihan raya termasuk memberikan pendidikan percuma.

Malah, ada menteri ketika itu mengakui secara terbuka janji manis sengaja dimasukkan dalam manifesto pilihan raya kerana tidak yakin boleh menang dalam PRU-14. Ternyata janji dalam manifesto hanya memancing undi semata-mata.

Kedua, melalui keputusan dicapai dalam mesyuarat parti politik, kemudian dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dipertimbangkan menjadi dasar dan keputusan mesyuarat kerajaan. Sudah tentu parti politik membentuk kerajaan akan berusaha sedaya upaya memastikan agar matlamat dan agenda parti mereka menjadi asas serta diambil pertimbangan kerajaan sebagai dasar dan keputusan penting.

Ada juga ketika pemimpin kerajaan sama ada di Persekutuan dan negeri perlu merujuk parti politik masing-masing sebelum menyatakan sokongan dalam membuat keputusan terutama bagi perkara baharu dan tidak terdapat 'precedent'. Langkah ini tidak mahu bercanggah dengan dasar dan polisi parti.

Ketiga, melalui penubuhan jawatankuasa pemandu oleh parti politik bagi memantau perjalanan pentadbiran kerajaan. Jawatankuasa ini pernah ditubuhkan PAS Kedah ketika parti itu memerintah Negeri Jelapang Padi itu. Bagaimanapun, tindakan ini dikritik banyak pihak kerana ia memperlihatkan campur tangan parti politik dalam kerajaan secara berlebihan.

Urusan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan negeri sewajarnya dipertanggungjawabkan kepada seorang Menteri Besar, bukan jawatankuasa ditubuhkan parti politik. Ia akan memanjangkan budaya politiking merugikan banyak pihak.

Tidak dinafikan, amalan parti menguasai kerajaan bukan mudah berlaku terutama melihat perkembangan politik semasa. Amalan parti menguasai kerajaan semakin pudar apabila tiada lagi parti dominan dalam kerajaan.

Sebaliknya, setiap parti bergantung kekuatan antara satu sama lain, sekali gus mengambil langkah lebih berhati-hati. Sebarang keputusan perlu mengambil kira pandangan semua pihak.

Apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu dominasi parti Melayu seperti UMNO, BERSATU dan PAS ditubuhkan pada Mac 2020, banyak pihak melihat naratif kepemimpinan negara pada waktu itu menjurus kepada kepentingan Melayu dan Islam.

Ironinya, kerajaan ketika di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga berkesinambungan daripada kerajaan PN memperkenalkan gagasan Keluarga Malaysia, iaitu dasar inklusif, bukan dasar eksklusif kepada satu-satu kaum.

Hal ini dapat difahami kerana kerajaan perlu bersikap adil dan saksama kepada semua pihak walaupun Perdana Menteri datang daripada sebuah parti mewakili kepentingan orang Melayu. Kepentingan negeri Persekutuan dan negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak mesti diambil perhatian oleh kerajaan secara adil dan saksama.

Amalan parti menguasai kerajaan bukanlah baharu. Ia pernah berlaku dan mungkin sedang berlangsung dalam pelbagai peringkat. Setiap pemimpin dalam kerajaan mewakili 'topi' dan kepentingan parti politik masing-masing. Namun, jika kepentingan parti ini hendak dimajukan, ia perlu diseimbangkan dengan kepentingan awam lebih besar. Ia mesti memberi kebaikan dan manfaat kepada semua rakyat.

UMNO yang selama ini mempunyai kelebihan melaksanakan amalan parti menguasai kerajaan, kini tidak lagi sebebas dahulu. Oleh itu, UMNO meminta PRU lebih awal diadakan agar boleh menang selesa, sekali gus kembali menjadi parti tonggak kerajaan kuat.

Menurut UMNO, kelebihan mereka selama ini sebagai parti tonggak kerajaan tidak meminggirkan kepentingan kaum lain malah mewujudkan kestabilan politik. Justeru, kestabilan politik di bawah teraju UMNO inilah mahu dipasakkan kembali dalam PRU-15.

Bagi rakyat tidak terikat dengan mana-mana parti politik, amalan parti menguasai kerajaan sukar diterima. Ia dianggap parti politik mencampuri urusan pemerintahan negara mencetuskan politiking berpanjangan. Namun, parti politik sudah tentu mahu dasar dan matlamat parti menjadi asas serta garis panduan dalam pembuatan keputusan kerajaan.

Jika berlaku amalan parti menguasai kerajaan sekalipun, ia tidak boleh membelakangi kepentingan rakyat dan tidak menjejaskan integriti kerajaan dipertanggungjawabkan.

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X