Satu demi satu keputusan Pemilihan PKR diumumkan mengikut negeri semalam, sekali gus memberikan gambaran bentuk kepemimpinan baharu parti itu, terutama pemimpin nombor dua yang bakal bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding.
Bagaimanapun di sebalik arah dan corak agenda parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menjadi antara isu utama, kekecohan di beberapa negeri perlu dimuhasabah kerana jarang sekali kita dapat melihat suasana pemilihan parti berkenaan berlangsung dengan persekitaran kondusif.
Dalam sejarah politik tanah air, PKR dikenali sebagai parti diilhamkan hasil gerakan reformasi lewat 1990-an. Sejak penubuhannya, parti itu kekal konsisten bergerak sebagai pembangkang hingga berjaya membentuk kerajaan negeri pada 2008, kemudian menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun, naratif politik PKR tidak pernah terhenti, sebaliknya sentiasa menarik perhatian umum kerana parti berbilang kaum itu tidak pernah lepas daripada pelbagai jenis ujian politik.
Ketika Langkah Sheraton pada 2020, sebahagian besar ahli Parlimen meninggalkan Pakatan Harapan (PH) adalah daripada PKR, sekali gus meletakkan parti itu ke dalam situasi begitu kompleks dan rumit.
Amat mustahil untuk dihujahkan perbuatan meninggalkan parti itu sengaja direncanakan tanpa mempunyai rasional boleh diterima pakai. Apakah Anwar tidak lagi memegang 'kunci' mengikat tali penyatuan dalam kalangan penyokongnya?
Ketika ini, PKR dibelenggu krisis keyakinan amat kritikal dalam kalangan ahli selepas gagal mencatatkan prestasi memuaskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Walaupun PKR dalam PRU-14 menjadi pilihan pengundi tidak berpuas hati dengan BN, keyakinan dan kesetiaan sedemikian dipamerkan rakyat hanyalah pinjaman sementara.
Sudah tiba waktunya untuk PKR menggunakan peluru baharu bagi mengukuhkan naratif perjuangan dalam konteks persaingan kepartian yang dilihat semakin sengit. Tambahan pula desas-desus tarikh PRU-15 menguatkan lagi andaian pengundi bakal menentukan siapakah mandat untuk memerintah akan diserahkan.
Jika hala tuju baharu sekalipun ditetapkan, dipersetujui secara prinsip dan sebulat suara, namun tidak menyantuni permasalahan identiti politik dilihat semakin meruncing, PKR akan sentiasa terperangkap dalam bayang-bayang sendiri.
Oleh itu, untuk kekal relevan dalam politik tanah air, PKR perlu menilai kembali epistemologi penubuhan mereka dengan menjadikan identiti kepartian sebagai sesuatu perlu diolah dengan lebih baik.
Signifikan di sebalik identiti ini membentuk kepada penyampaian umum jelas terutama mengenai apakah perlu difokuskan dan keutamaan perlu dijadikan sandaran.
Ketika kebanyakan negara dihimpit implikasi global seperti krisis antara Russia-Ukraine mengakibatkan implikasi secara tidak langsung terhadap rantaian sumber makanan hingga beberapa negara seperti India, Indonesia dan Malaysia mula beralih kepada kesedaran nasionalisme makanan.
Mungkin ini waktu sesuai untuk PKR menjenamakan semula ideologi dan identiti kepartiannya agar dilihat setara dengan tuntutan semasa dengan beberapa isu berkaitan boleh diberikan perhatian menyeluruh.
Sekiranya kita melihat semula kepada debat antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia menjadi perkembangan sihat yang prinsip demokrasi dalam konteks kepartian diraikan agar orang ramai boleh melihat siapakah mampu mengemudi parti itu pada masa akan datang berdasarkan idea, hujah dan perspektif dibentangkan.
Pastinya pemenang jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR 2022 memberikan implikasi mendalam ke atas ruang lingkup identiti parti itu, seterusnya bakal menjawab persoalan kelangsungannya dalam PRU-15.
Pada peringkat serantau, PKR juga perlu melihat kepada pengalaman luar, terutama dalam Pilihan Raya Presiden Filipina 2022 apabila majoriti pengundi memberikan mandat kepada anak bekas pemimpin pernah digulingkan.
Ini menimbulkan tanda tanya masa hadapan demokrasi di Filipina. Adakah orang ramai sudah bersedia secara psikologi untuk kembali kepada pemerintahan ala dinasti kekeluargaan seperti berlaku di Filipina?
Justeru, fenomena pendemokrasian ini tidak semestinya berlaku dalam konteks rejim politik bersifat umum, namun dari sudut yang lebih kecil seperti kepartian juga boleh dicetuskan.
Ketika negara sedang berteka-teki mengenai perjalanan PRU-15, adalah lebih baik jika permasalahan identiti itu boleh diubati terlebih dahulu.
Pascapemilihan ini memberikan isyarat kritikal bahawa PKR memerlukan integrasi dalaman kepartian. Dari sudut sejarah, PKR berjaya mengharungi zaman semiautoritarianisme di bawah beberapa pemimpin negara yang kejayaan itu berpaksikan kekuatan politik akar umbi diolah dengan intonasi mengimbangi keperluan hakiki.
Sama ada kewujudan PKR masih dibayangi Anwar atau tidak dan persoalan tuntas seperti pengukuhan identiti perlu dimurnikan dengan kadar segera agar naratif kerajaan 22 bulan tidak lagi bergema dalam minda orang ramai.
Setiap parti mempunyai kekuatan politik tersendiri. Politik kepartian tanpa identiti jelas bukan satu jaminan kepada kelangsungan kerana identiti menjadi pemberat kualitatif terhasil di atas keterangkuman nilai diusahakan secara kolektif.
Oleh itu, identiti kukuh mampu untuk merangsang identifikasi kepartian berskala besar dan ini menjadi tanggungjawab utama perlu digalas semua pemimpin terutama yang memenangi pemilihan kali ini.
Jika sebelum ini PKR dikenali sebagai parti sarat dengan idea membangun, pada pemilihan kali ini sudah tiba masa agar aktor tertentu merealisasikannya selepas ahli parti memilih antara 'idea dan otot.'
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)