Kelmarin, UMNO genap berusia 76 tahun. Saya berasakan penubuhan UMNO dan matlamatnya perlu disorot kembali generasi muda hari ini.
Ia perlu diimbau bagaimana pahit getirnya zaman datuk nenek mereka merancang kemerdekaan dan meneroka era lebih gemilang untuk mereka hari ini.
Setua umurnya menjadikan UMNO antara parti tertua di dunia yang mampu bertahan sehingga hari ini.
Banyak parti lain tidak mempunyai rekod secemerlang parti ini, seperti mana dilakar UMNO tetapi tidak lepas daripada pelbagai peristiwa pahit terpaksa ditanganinya dengan penuh sabar dan bijaksana.
Bagaimanapun, sejarah kegemilangan UMNO tercalar apabila gagal mempertahankan kerajaan yang dipimpinnya melalui BN apabila tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Titik hitam ini pada awalnya menenggelamkan sedikit UMNO yang memimpin BN apabila ramai ahli Parlimennya berpaling tadah menyertai parti membentuk kerajaan.
Lebih menyedihkan, daripada 13 parti komponen menganggotai BN, hanya UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan GERAKAN yang tinggal.
GERAKAN turut meninggalkan BN tidak lama selepas itu.
Selepas tewas PRU-14, UMNO dan sebuah parti Islam bersepakat dalam Muafakat Nasional (MN) pada September 2019.
Namun, piagam penubuhannya dikhianati selepas beberapa pemimpin parti Islam ini dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. MN terpaksa dilupakan.
Kini UMNO harus menyusun rencana masa depan dalam kerangka pengaruh globalisasi, kepesatan perkembangan dunia siber dan capaian maklumat di tapak tangan, serta pengharapan rakyat mendesak mahukan semuanya cepat.
Pengalaman rakyat dan khususnya UMNO melalui zaman gelap pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan dan Perikatan Nasional (PN), mengukuhkan keazaman hanya UMNO benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat.
UMNO dan BN terlalu lemah pada waktu awal pemerintahan PH berikutan pengkhianatan sesetengah ahli Parlimennya.
Ia juga terlalu lemah untuk menggugat kerajaan PH kerana dilemahkan kerajaan yang membuat pendakwaan terpilih ke atas pemimpin UMNO, tetapi membebaskan pemimpin PH bermasalah dengan undang-undang.
Namun, mereka di dalam PH melemahkan dan merungkai kerajaan PH sehingga Perdana Menteri kelapan terpaksa meletak jawatan.
Ia bukan perancangan UMNO. Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Dia tahu apa dilakukan pemimpin PH dalam kerajaan. Yang kita tahu, mereka tidak utamakan rakyat dalam skema pemerintahan mereka.
Apa sebab pun UMNO/BN tewas, memang kita tewas, sama ada kerana kekuatan lawan atau kelemahan kita. Kita tidak boleh mengawal perancangan dan strategi lawan tetapi boleh mengawal perancangan dan strategi kita.
Maka, apapun strategi dan taktik lawan, kita harus mempunyai strategi dan taktik boleh mengatasi mereka.
Malaysia yang stabil di bawah UMNO/BN pernah memberi peluang dan nikmat kepada semua rakyat daripada semua keturunan dan agama.
Yang membanggakan kita ialah apabila tidak ada satu pun cawangan UMNO dibubarkan sewaktu tekanan hebat dikenakan terhadapnya.
Malah, ia terus berdiri teguh biarpun ada usaha melemahkannya dari segi kewangan dan gerakan mengharamkannya.
Ini adalah bukti amat hebat UMNO sebuah parti tahan uji, ugut, fitnah dan lompat. Hanya sebuah parti yang kuat dan stabil mampu membentuk Malaysia stabil.
Sesungguhnya UMNO adalah satu 'brand' atau simbol perjuangan paling dikenali rakyat Malaysia.
Apabila ia dikotorkan fitnah lawan, maka kita perlu buang kotoran itu dan gilap semula supaya penampilannya kembali memberi kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat.
Sebagai sebuah parti politik, UMNO lebih bersifat mengutarakan penawaran perkhidmatan kepada pemegang taruhnya, khususnya pengundi, maka UMNO perlu fokus kepada tatacara penawaran perkhidmatan.
Sesuatu perkhidmatan tidak boleh dipisahkan daripada penyampai perkhidmatan. Dalam konteks UMNO, pemimpin pada setiap peringkat mewakili parti.
Pada mata masyarakat, merekalah UMNO, apa yang mereka buat, itulah idea, pegangan, sikap dan polisi UMNO.
Maka, demi menjana pandangan baik terhadap UMNO daripada rakyat, khususnya pengundi, pemimpin UMNO bertanggungjawab memberi gambaran baik mengenai UMNO kepada masyarakat.
UMNO harus berterusan memberi peringatan kepada golongan yang menerima khidmat bahawa mereka pernah mendapat khidmat itu. Benar, dalam dunia perkhidmatan, manusia mudah lupa.
Sungguhpun UMNO banyak berjasa membina negara dan bangsa, namun sebagai penawar perkhidmatan, UMNO harus menerima hakikat ia hendaklah terus dinamik, membuat anjakan kemampuan dan melebarkan ruang perkhidmatan.
Walaupun kita sering menyalahkan lawan mengguna strategi menyerang secara berpusat dan taktik pembohongan, itu bukan cara untuk menang semula.
UMNO harus sentiasa berada di hadapan lawan dalam hal perancangan dan pelaksanaan strategi serta tindakan taktikal.
Perbuatan melompat parti demi kepentingan politik peribadi, mesti dicegah. Sebab itu UMNO menyokong kuat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Dewan Rakyat.
Perbuatan melompat parti ini satu pengkhianatan kepada pengundi dan parti. Menang di atas tiket UMNO/BN pada PRU-14, mereka berpaling tadah apabila diancam kerajaan baharu atau inginkan jawatan.
UMNO tidak akan melupakan perbuatan mereka. Namun, UMNO tiada dendam. Bukan cara kita memusuhi sesiapa. Apapun, once bitten twice shy. Cukuplah sekali.
Satu lagi penyakit dalam parti ialah wujudnya warlord yang mesti diatasi segera. Selagi penyakit ini tidak diubati, selagi itulah UMNO akan rosak dan hancur dari dalam.
Percayalah, UMNO akan bangkit pada PRU-15 nanti. Saya menjangka PRU akan berlangsung dalam masa terdekat, malah tidak akan melepasi 2022.
Oleh itu, saya menyeru semua UMNO Bahagian supaya terus bersiap-siaga. Jangan leka.
Saya seru agar semua kita meletakkan kepentingan parti dan negara melebihi kepentingan diri sendiri.
Kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor mencerminkan betapa rakyat mahu parti ini menunjangi kerajaan semula.
Penulis adalah Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Bagan Datuk