Pembayaran gaji minimum RM1,500 sebulan mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu, namun wujud kebimbangan dasar itu akan mempengaruhi perjawatan pekerja berkemahiran rendah dan menyekat peluang kerjaya pekerja mahir.
Secara kebetulan, peningkatan kos pengambilan pekerja ini berlaku apabila ekonomi Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan selepas dua tahun terperangkap dalam ancaman COVID-19.
Ia diburukkan pula dengan bencana banjir beberapa bulan lalu serta konflik antara Russia dengan Ukraine dan penutupan beberapa bandar utama di China akibat COVID-19 yang menjejaskan rantaian bekalan global.
Kajian terkini dari Jerman terhadap kesan peningkatan upah minimum antara 1997 hingga 2008 dalam negara berpendapatan tinggi mengesahkan kebimbangan ini.
Menurut kajian itu, kadar kenaikan upah minimum terlalu tinggi ketika negara dibelenggu kegawatan ekonomi mengakibatkan kejatuhan kadar upah dan guna tenaga dalam kalangan pekerja mahir.
Matlamat gaji minimum ditingkatkan untuk mempercepatkan pelaburan firma dalam proses pengeluaran, seterusnya diharapkan merangsang penggantian pekerja kurang mahir dengan pekerja mahir.
Namun, penguncupan ekonomi yang berlaku menghambat peningkatan keluaran negara, sekali gus menjejaskan keupayaan firma dalam penciptaan peluang pekerjaan mahir.
Walaupun pekerja mahir dilimpahi rezeki dengan kenaikan gaji minimum ini, manfaat ekonomi diperoleh mungkin kurang memberangsangkan memandangkan peranan pekerja kurang mahir belum pasti dapat digantikan pekerja mahir.
Akibatnya, kenaikan gaji minimum menyebabkan kejatuhan kadar upah dan guna tenaga dalam kalangan pekerja mahir, seterusnya menjejaskan pulangan pelaburan modal manusia mereka serta penawaran kemahiran dalam pasaran buruh.
Namun, dari sudut positif, dasar ini mencipta peluang pekerjaan dalam kategori separuh mahir.
Menurut kajian dari Jerman, kenaikan gaji minimum bukan saja meningkatkan kebajikan kewangan pekerja kurang mahir, malah mencetuskan peralihan strategi pengambilan buruh kepada pekerja separuh mahir yang selama ini dibayar gaji sedikit melebihi gaji minimum.
Perubahan strategi ini dapat dijangkakan sekiranya produktiviti dan pengalaman kerja mereka dibandingkan antara satu sama lain.
Kadar upah dan guna tenaga pekerja separuh mahir dijangka meningkat, manakala hasil pasaran buruh berkurangan bagi pekerja mahir.
Keadaan perjawatan pekerja mahir akan bertambah genting sekiranya darjah kebolehpindahan kemahiran khusus mereka antara industri adalah rendah.
Kesan negatif ini belum lagi mengambil kira kesan sampingan peningkatan bilangan pekerja gig berkemahiran tinggi dalam era ekonomi digital.
Justeru, kadar upah dan guna tenaga pekerja mahir dikhuatiri akan terus terjejas. Adakah keadaan guna tenaga mengikut tahap kemahiran di Malaysia mengikut jejak langkah Jerman selepas gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Mengikut statistik terkini Jabatan Perangkaan (DOSM), walaupun kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku ketiga dan keempat tahun lalu kebanyakannya direkodkan untuk kategori profesional dan kategori juruteknik dan profesional bersekutu.
Namun kejatuhan berlaku pada suku keempat dalam kedua-dua kategori pekerjaan mahir ini, dengan kejatuhan terbesar dicatatkan pada kategori profesional, iaitu 14.3 peratus, manakala pengurangan sebanyak 3.4 peratus direkodkan pada kategori yang lain.
Sebaliknya, kekosongan jawatan dalam kategori pekerjaan separuh mahir pula mengalami peningkatan dalam suku keempat tahun lalu.
Contohnya, peningkatan 35.1 peratus dicatatkan dalam kategori Pekerja Perkhidmatan dan Jualan, diikuti dengan 14.2 peratus dalam kategori Pekerja Kemahiran dan Pekerja Pertukangan Yang Berkaitan dan 12.5 peratus dalam kategori Pekerja Sokongan Perkeranian.
Kalau kadar perubahan kekosongan jawatan dibandingkan antara pekerja mahir dengan pekerja separuh mahir, mungkin ada yang bertanya mengenai keberadaan pekerja mahir selepas mengalami pengurangan dalam peluang pekerjaan pada suku keempat tahun lalu.
Mungkinkah mereka mencari rezeki dalam ekonomi gig? Statistik terkini DOSM memaparkan bilangan guna tenaga dalam kategori bekerja sendiri meningkat seramai 18,600 orang kepada 2,674,800 pada Februari tahun ini berbanding bulan sebelumnya. Bilangan ini meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Soalnya adakah kenaikan gaji minimum sebanyak 25 peratus tahun ini merangsang peralihan strategi rekrut firma daripada pekerja mahir kepada pekerja separuh mahir, seperti yang berlaku di Jerman sebelum ini.
Laporan Kaji Selidik Gaji dan Upah 2020 dari DOSM menunjukkan kejatuhan gaji penengah terbesar bagi pekerja separuh mahir antara 2019 dan 2020, iaitu 16 peratus, manakala kejatuhan 10 peratus dicatatkan dalam kategori pekerja mahir dan pekerja berkemahiran rendah.
Tambahan lagi, gaji penengah sebanyak RM1,593 bagi pekerja separuh mahir pada 2020 tidak terlalu tinggi berbanding gaji minimum RM1,500 ditetapkan tahun ini.
Sekiranya kadar kenaikan gaji dalam dua tahun kebelakangan ini tidak terlalu besar berikutan keadaan ekonomi sedunia yang lembap akibat ancaman COVID-19, adakah pekerja separuh mahir diutamakan dalam landskap permintaan buruh di Malaysia.
Pada tahun lalu, Malaysia dikejutkan dengan berita julat gaji rendah diterima sebahagian besar graduan universiti sejak satu dekad lalu, iaitu antara RM1,001 dan RM1,500.
Isu diperdebatkan tahun lalu berkenaan keadaan ini bukan berasaskan kepada ancaman COVID-19, tetapi lebih kepada keupayaan negara dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti untuk merangsang penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 dijangka mendorong banyak firma membuat pelarasan dari segi pemotongan kos bukan buruh, faedah sampingan, insurans pekerja dan tanggungan mereka, serta pemindahan kos melalui kenaikan harga barang pengguna.
Bagaimanapun, terdapat firma melabur dalam modal fizikal dan automasi pengeluaran bagi meningkatkan produktiviti, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Justeru, aspek inilah yang boleh diusahakan kerajaan dengan lebih giat lagi bagi mengurangkan kesan negatif berikutan kenaikan gaji minimum.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)