Sesiapapun mengikuti kes Bella, remaja perempuan sindrom down, pasti akan marah kepada penjaga dan pemilik pusat jagaan Rumah Bonda dengan pelbagai tohmahan dan kutukan. Ada mempersoalkan bagaimana perilaku tidak berperikemanusiaan ini boleh berlaku kepada anak istimewa. Tidak kurang juga menuntut hukuman berat dikenakan kepada pelakunya.
Kemudian ada bertanya mengapa tiada tindakan segera diambil kepada pelaku setiap kali kes sebegini berlaku? Adakah perlu menunggu berlaku peristiwa Bella kedua atau ketiga? Mungkin kes seperti Bella ini banyak berlaku, tetapi tiada laporan? Apakah perlu campur tangan institusi beraja atau menteri, baru tindakan akan diambil?
Hakikatnya, orang awam prihatin dan bertanggungjawab perlu berperanan menjadi warganegara sensitif dengan melapor kes penderaan sebegini, tanpa menutup mata atau telinga.
Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab itu kepada Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berperanan sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan golongan itu pada peringkat komuniti semata-mata.
Sekurang-kurangnya tindakan anda mendidik masyarakat agar tidak melakukan penderaan pada golongan rentan, terutama kanak-kanak atau remaja istimewa. Masyarakat sepatutnya prihatin dengan apa berlaku di sekeliling dan sekiranya ada tanda berlaku penderaan, perlu segera melaporkannya.
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Kesedaran masyarakat mengenai punca kes penderaan sama ada mental atau fizikal atau potensi berlaku terhadap kanak-kanak boleh dicegah daripada awal.
Dalam konteks ini, banyak pihak menuding jari dengan menyalahkan JKM atau pengurusan yang membenarkan pengoperasian Rumah Bonda meskipun tidak berdaftar dengan agensi berkenaan.
Seterusnya, timbul persoalan mengapakah orang diamanahkan tidak melaksanakan tugas dengan amanah atau apakah pemilihan penjaga dibuat tanpa melihat latar belakang dan apakah kelayakan pengasuh sebenarnya? Juga persoalan timbul, bagaimanakah JKM membuat pemilihan pengasuh di bawah seliaan jabatan itu sebelum menyerahkan seseorang kanak-kanak?
Umumnya, kriteria asas digunakan dalam memilih pengasuh atau pendidik ialah kelulusan atau kelayakan akademik dan peribadinya. Bagi kelayakan akademik, sudah pasti semua pengasuh atau pendidik boleh memenuhinya, tetapi kriteria kedua, iaitu keperibadian pengasuh atau pendidik sukar diukur dalam tempoh 20 minit ketika ditemu duga.
Isunya di sini pendidik yang diambil tidak ada roh sebagai pendidik, tiada sifat kasih sayang, penyabar dan dedikasi dengan amanah diberikan.
Roh sebagai pendidik sangat perlu terutama apabila bekerja dengan kanak-kanak, khususnya kanak-kanak atau remaja istimewa yang 10 kali lebih mencabar berbanding insan normal.
Justeru, roh pendidik merangkumi ilmu pedagogi atau pendekatan mengajar, kemahiran mengurus tingkah laku, cara memahami emosi dan mendekati kanak-kanak, sekali gus mengajar serta melatih mereka dengan sabar dan menghormati hak golongan itu.
Pengetahuan pedagogi adalah roh dalam pendidikan. Jika pengasuh dan pendidik mempunyai pengetahuan dan kemahiran pedagogi, isu penderaan sama ada fizikal atau mental boleh diselesaikan kerana pengasuh dan pendidik lebih mudah mendekati kanak-kanak.
Sebenarnya, mendepani isu ini adalah dengan melihat diri sebenar penjaga atau pendidik. Apa yang perlu ada pada pendidik ialah jiwa atau roh pendidik itu sendiri.
Bukan sahaja terlatih dengan ilmu pedagogi, pendekatan mengajar, cara menangani emosi dan tingkah laku kanak-kanak, malah paling penting penjaga atau pendidik memerlukan roh pendidik penuh dengan kasih sayang, penyabar dan dedikasi dalam menangani pelbagai situasi.
Sudah sampai masanya, JKM perlu meletakkan sijil pedagogi sebagai prasyarat atau lesen sebagai pengasuh atau pendidik. Malah, syarat itu juga perlu ditetapkan kepada pengusaha sebelum semua individu terbabit memulakan kerjaya dalam bidang pusat jagaan dan didikan kanak-kanak.
Lebih berkesan, sekiranya kursus lanjutan dijadikan sebagai syarat untuk pusat meneruskan operasi atau memperbaharui lesennya seperti yang banyak dipraktikkan di negara luar dengan terdekat ialah Singapura, Indonesia dan Filipina.
Hakikatnya, bukan semua orang berjiwa pengasuh atau pendidik. Jika semua individu boleh menjadi pengasuh atau pendidik dengan mudah tanpa melalui proses seperti mengikuti kursus pedagogi, tindakan di luar jangkaan boleh berlaku.
Perasaan tidak sabar dan tidak profesional bertindak mengikut perasaan serta di luar batasan kemanusiaan, malah lebih teruk melakukan penderaan mental dan fizikal hingga boleh membawa kematian.
Apabila tanggungjawab diberikan kepada bukan pakar dan tugas diserahkan kepada orang tidak layak, penderaan kanak-kanak akan terus berlaku, malah melakar sejarah hitam negara hingga membawa kematian.
Hak kanak-kanak terus diabaikan dan diperjudikan, manakala hak asasi golongan itu diperkotak-katikkan. Walaupun kita ada Akta Kanak-kanak 2001 yang bertujuan melindungi kanak-kanak, pematuhan pengasuh, pendidik atau pengusaha agak diragui, apatah lagi jika tidak ada pemantauan pihak berkuasa.
Dalam konteks undang-undang, kita bukan ada Akta Kanak-Kanak 2001 sahaja, bahkan garis panduan lengkap mengenai perkara perlu dipatuhi pengusaha atau penjaga mahupun pendidik di pusat jagaan kanak-kanak termasuk Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).
Dicadangkan, penekanan kepada kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas perlu diberikan. Setiap penjaga atau pendidik perlu mengikuti kursus golongan berkeperluan khas atau setidak-tidaknya didedahkan dengan pendidikan inklusif yang kandungan kurikulumnya mendedahkan pedagogi atau kaedah mengajar anak istimewa.
Selain itu, pemantauan perlu dibuat dari segi kecekapan pengasuh atau pendidik selepas sekian lama menjadi pengasuh kerana dikhuatiri mereka sudah tidak 'fit' lagi menjadi pengasuh dan pendidik baik.
Penulis adalah Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)