Rabu, 30 March 2022 | 12:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tolak usaha angkat bahasa Melayu tonjol sikap 'pemuja Inggeris' kepercayaan basi

Oleh Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan

bhrencana@bh.com.my

Rencana disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini, pada keseluruhannya mempersoalkan keputusan dan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengangkat bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Sandaran hujah digunakan pula ialah pendapat beberapa orang kononnya pegawai diplomat yang tidak pula disebut namanya.

Keraguan mengenai keupayaan bahasa Melayu atau lebih tepat tidak perlu bahasa kebangsaan digunakan pada peringkat antarabangsa, bukan sikap dan pendirian baharu.

Hujah bahawa dunia kini dunia kosmopolitan dan bahasa Inggeris sudah begitu selesa digunakan sekian lama untuk perhubungan antarabangsa sudah menjadi klise dan 'kepercayaan' basi yang dalam beberapa hal karut.

Saya katakan ia karut kerana di dunia ini, bukan hanya bahasa Inggeris kerap digunakan, tetapi banyak bahasa dunia lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Russia, Belanda, Swiss, Sepanyol, Mandarin dan Arab.

Hujah pertama digunakan penulis itu untuk menolak penggunaan bahasa kebangsaan pada peringkat antarabangsa ialah di mana-mana mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan hanya enam bahasa rasmi PBB disediakan terjemahan serentak. Bagaimanapun, ini sebenarnya hanya isu teknikal.

Penulis sendiri mengatakan kemudahan terjemahan diberikan jika pemakluman awal diberikan dan negara terbabit sanggup membayar kos terjemahan.

Demi maruah negara, adakah kos terjemahan yang menjadi satu bentuk pelaburan negara tidak boleh diperuntukkan? Saya maklum negara menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing mengambil langkah sedemikian.

Bahkan peratusan negara menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing lebih tinggi berbanding peratusan negara menggunakan bahasa Inggeris.

Hujah kedua pula adalah disandarkan kepada pendapat seorang diplomat muda bahawa keputusan mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN, kononnya satu keputusan dibuat secara tergesa-gesa, iaitu hanya sesudah lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara ASEAN.

Diplomat muda itu dan penulis mungkin tidak menyedari bahawa cadangan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN sudah bergema sejak 1980-an dalam kalangan sarjana dan persatuan di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, bahkan Filipina.

Pada Sidang Tahunan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pun cadangan itu saban tahun dijadikan resolusi. Untuk makluman, MABBIM, selain dianggotai Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, turut disertai Singapura serta Thailand sebagai anggota pemerhati.

Begitu juga Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang menjadi majlis merancang dan memantau perkembangan sastera Melayu/Indonesia di rantau ini. Penubuhan MASTERA dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995.

MASTERA diputuskan sebagai majlis serantau mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok, iaitu negara pendiri, negara ahli dan negara pemerhati.

Soal sejak penubuhannya pada 1967 segala dokumen ASEAN adalah dalam bahasa Inggeris tidak menghalang cadangan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Secara realitinya, wujud 300 juta penutur bahasa Melayu di sejumlah besar negara anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand (khasnya di bahagian selatan) dan di bahagian tertentu Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Pandangan bahawa tidak perlu tradisi berbahasa Inggeris dalam ASEAN ditukar menurut perkembangan dan keperluan ialah pandangan dan sikap jumud.

Pendapat bahawa penggunaan bahasa selain bahasa Inggeris akan mengurangkan kecekapan komunikasi peringkat antarabangsa adalah jelas meleset.

Sekian banyak negara menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuarat atau forum antarabangsa dalam bahasa masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain. Adakah negara itu gagal dalam misi antarabangsa mereka?

Saya ada pengalaman sahih kerana dihantar kerajaan bertugas di universiti di China selama lebih lima tahun. Semua mesyuarat dengan wakil negara asing berlangsung dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan diterjemahkan ke dalam bahasa negara tamu seperti bahasa Arab, Sepanyol, Turki, Thai dan Belanda.

Adakah penulis hendak mengatakan China gagal pada peringkat antarabangsa dengan kedudukannya sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia?

Saya juga ada pengalaman di Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan bahkan beberapa negara di Eropah yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Penilaian peribadi bahawa penguasaan bahasa Inggeris sederhana mendorong Perdana Menteri mengusulkan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa ialah pandangan nakal tidak objektif dan kehilangan arah.

Warga Malaysia sepatutnya berbangga mempunyai pemimpin berusaha melonjakkan maruah negara, termasuk melalui bahasa negara.

Pemimpin negara yang bahasa Inggerisnya sehebat penutur jati bahasa Inggeris sekalipun wajar bersifat patriotik dengan mengangkat asas jati diri negara.

Jika bahasa Inggerisnya tidak setara dengan penutur jati bahasa itu, sebenarnya tidak ada sebab untuk kita berasa rendah diri kerana bukan semua pemimpin dunia menguasai bahasa asing dengan cukup baik.

Sesungguhnya, kualiti kepemimpinan utama, termasuk usaha mengangkat maruah negara di mata dunia. Bahasa asing perlu dikuasai dan perlu digunakan di tempatnya yang wajar, tetapi bukan penghalang usaha mengangkat martabat bahasa negara.

Demikian juga, prasangka bahawa usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan pada peringkat antarabangsa hanya menjadi alat politik tidak wajar dijadikan hujah kerana ia adalah buruk sangka tanpa bukti semata-mata.

Semua pihak mesti membantu pemimpin menjayakan cita-cita ini pada saat ruang terbuka. Sikap 'Anglophile' tidak wajar mengaburkan mata hati kita.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X