Ahad, 27 March 2022 | 1:04pm
Pendidikan politik bertujuan membina sikap tepat dalam kalangan pengundi mengenai asas kenegaraan seperti sistem kerajaan serta pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan ciri penting pemimpin. - Foto hiasan
Pendidikan politik bertujuan membina sikap tepat dalam kalangan pengundi mengenai asas kenegaraan seperti sistem kerajaan serta pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan ciri penting pemimpin. - Foto hiasan

Pendidikan politik lahir pengundi matang, bukan ghairah 'berpesta'

Pilihan raya dianggap sebagai kemuncak proses dalam demokrasi. Ini kerana dalam pilihan raya, hak dan kebebasan rakyat dalam demokrasi teruji serta diraikan seperti kebebasan bersuara, hak untuk memilih dan kebebasan berpolitik.

Mutakhir ini, pilihan raya dianggap sebagai pesta demokrasi. Parti politik bertanding mahu menguji kekuatan dan populariti. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor misalnya menyaksikan euforia dalam proses demokrasi melalui pilihan raya apabila wujud persaingan parti politik luar biasa.

Euforia bermaksud gembira secara berlebih-lebihan. Dalam konteks pilihan raya dan demokrasi, situasi euforia berlaku apabila wujud persaingan jumlah parti politik besar.

Situasi euforia ini pernah berlaku selepas kejatuhan Soeharto di Indonesia pada 1998. Selepas keruntuhan rejim Soeharto dikaitkan pemerintahan autokrasi, kebebasan berpolitik menjadi milik rakyat Indonesia.

Parti politik muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Hanya beberapa bulan daripada kejatuhan Soeharto, lebih 200 parti politik ditubuhkan. Kewujudan parti politik ini menggambarkan semangat rakyat Indonesia berkobar-kobar meraikan pesta demokrasi.

Bagaimanapun, hanya 48 parti politik sahaja layak bertanding dalam Pemilihan Umum (PEMILU) pada 1999.

Pilihan raya diadakan bagi memilih pemimpin dan kerajaan secara demokratik. Pemimpin dan kerajaan dipilih rakyat mempunyai legitimasi atau keabsahan memerintah. Oleh itu, kita tidak pernah menyokong mana-mana usaha menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi seperti rampasan kuasa atau menggunakan keganasan.

Meskipun pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan lima tahun sekali, pilihan raya sebenarnya boleh berlaku bila-bila masa seperti pilihan raya kecil (PRK). Selepas PRU Ke-14 (PRU-14) misalnya, 13 PRK dilaksanakan atas faktor kematian dan kehilangan kelayakan wakil rakyat.

Ada juga PRK disebabkan peletakan jawatan wakil rakyat. Paling jelas, Datuk Danyal Balagopal mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Begitu juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar pada 2014. Peristiwa dinamakan Langkah Kajang ini bertujuan menggantikan Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Langkah Kajang gagal meletakkan Anwar sebagai Menteri Besar, malah menjadi pencetus keretakan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila PAS tidak merestui tindakan PKR dianggap tidak bermoral.

Rakyat mempunyai alasan menolak pilihan raya kecil tanpa alasan jitu kerana ia membabitkan kos besar. PRK Port Dickson misalnya menelan belanja RM3.6 juta. Justeru, tindakan mengosongkan kerusi hingga menyebabkan PRK sewajarnya dielakkan kerana dianggap pembaziran.

Kos melaksanakan pilihan raya semakin mahal. Dalam PRU 1999, RM69 juta dibelanjakan tetapi untuk PRU 2018, ia meningkat kepada RM400 juta. Kos menjayakan PRU Ke-15 (PRU-15) dijangka boleh menelan belanja RM750 juta hingga RM800 juta.

Melihat kos pilihan raya meningkat, adalah wajar kita memastikan pilihan raya diadakan benar-benar bebas dan adil, sekali gus memenuhi matlamatnya, iaitu untuk memilih pemimpin dan kerajaan terbaik untuk rakyat.

Ia bertepatan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi di Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir hasil tulisan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan Dr G Manimaran.

Baginda menjelaskan pilihan raya mesti dilaksanakan bebas dan adil. Titah baginda lagi, "Pilihan raya dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat turun mengundi. Pelaksanaan pilihan raya bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi diamalkan sesebuah negara."

Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik membuka penyertaan politik serta hak memilih rakyat semakin meluas. Akses mengundi semakin terbuka apabila dijangkakan 7 juta pengundi muda dan automatik dalam PRU-15.

Impak Undi18 misalnya masih belum dapat dilihat walaupun pelaksanaannya dimulakan dalam PRN Johor. Tahap literasi politik rendah dan kelemahan memahami asas kenegaraan mengakibatkan kurangnya kesedaran pengundi muda terhadap kepentingan mengundi.

Pendidikan politik bertujuan membina sikap tepat dalam kalangan pengundi muda mesti mengambil kira pengetahuan dan kefahaman mengenai asas kenegaraan seperti sistem kerajaan serta pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan ciri-ciri penting pemimpin.

Hanya melalui pendekatan ini akan membuka minda dan mendorong pengundi muda untuk menunaikan tanggungjawab mengundi kerana memahami kenapa perlu mengundi. Undi mereka perlu dilihat sebagai terjemahan kepada pembangunan negara bangsa, bukan sekadar memilih calon di kertas undi.

Tidak dinafikan, PRU-15 akan datang diwarnai pelbagai perkembangan menarik apabila menjadi medan dan gelanggang parti politik beradu kekuatan. Penambahan jumlah pengundi kerana Undi18 dan pengundi automatik umpama ikan di kolam besar bakal dijala parti politik.

Bagi pengundi matang, pilihan raya dianggap hak dan tanggungjawab sebagai warganegara baik. Namun, bagi pengundi baharu kurang kesedaran berpolitik, pilihan raya suatu proses janggal dalam kehidupan mereka. Bagi parti politik pula, pilihan raya umpama 'peperangan' untuk membuktikan siapa kuat dan berkuasa.

Namun, kita harus insafi impak pilihan raya sangat besar kerana ia membawa kepada penubuhan kerajaan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Seperti titah Sultan Nazrin, pilihan raya tidak boleh sama sekali menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga. Justeru, euforia atau gembira berlebih-lebihan dalam pilihan raya perlu dibendung bagi mengelak kalah jadi abu, menang jadi arang.

Ketua Unit Literasi dan Advokasi Politik (ADVOKASI), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X