Khamis, 24 March 2022 | 10:00am
Pandemik COVID-19 membawa cabaran dan perubahan besar dalam sektor pendidikan negara. - Foto hiasan
Pandemik COVID-19 membawa cabaran dan perubahan besar dalam sektor pendidikan negara. - Foto hiasan

Fasa peralihan ke endemik ujian baharu sesi persekolahan 2022

Persekolahan sesi 2022/2023 bermula tanpa permasalahan besar. Murid sekolah rendah dapat terus memulakan tradisi lama dengan hadir secara bersemuka.

Murid sekolah menengah pula meneruskan persekolahan melalui medium pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Faktor utama mereka perlu PdPR dan hanya dibenarkan ke sekolah pada 4 April nanti adalah bagi memastikan perjalanan peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berjalan lancar tanpa gangguan.

Dalam pada itu, ramai ibu bapa yang anak-anak di sekolah rendah dikatakan masih sangsi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang masih lagi dikekang dengan sebahagian prosedur operasi standard (SOP) lama mencegah COVID-19.

Timbul juga persoalan bagi yang di sekolah menengah adakah sesi PdPR yang berlangsung masih berkesan. Kesangsian ini jika ada, mungkin disebabkan mereka 'trauma' dengan pelbagai permasalahan sesi persekolahan bersemuka yang 'tutup dan buka' serta cabaran besar PdPR pada 2020 dan 2021.

Sebenarnya, dalam usaha merapatkan jurang pembelajaran yang tercipta dalam fasa PdPR, semua 7,778 sekolah rendah dan 2,450 sekolah menengah melaksanakan Catch Up Plan (CUP) bagi mengatasi masalah Learning lost dan Learning Gab dalam kalangan murid. Menerusi CUP, semua guru menyediakan pelan untuk mengenal pasti dan menggariskan sejauh mana topik atau kemahiran diajar ketika PdPR sampai kepada murid.

Perlu diingatkan juga apa yang sedang dan bakal berlaku pada 2022 ini tidak sama dengan sejarah, peristiwa dan kejadian 2020 dan 2021.

Negara kita bakal melangkah ke fasa peralihan endemik pada 1 April nanti. Sehubungan itu, sesi persekolahan 2022/2023 dijangka kembali normal dan usaha guru dalam meningkatkan pengaliran ilmu kepada murid melalui sesi PdP dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum dapat dioptimumkan.

Dalam usaha mempelbagaikan medium menuntut ilmu, murid diharap tidak melepaskan peluang pembelajaran di saluran TV Pendidikan.

Selepas 'dibekukan' sejak 10 Jun 2021, aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka di kawasan sekolah membabitkan guru serta murid dibenarkan semula mulai hari pertama persekolahan sesi ini.

Beberapa penambahbaikan dimasukkan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0. Walaupun masih ada garis panduan perlu dipatuhi, namun kebenaran melaksanakan aktiviti kokurikulum ini disambut baik semua pihak.

Matlamat utama pelaksanaan kokurikulum dalam pendidikan adalah untuk membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke arah menyeimbangkan perkembangan rohani, jasmani, intelek dan emosi murid. Kokurikulum dapat menyemai perasaan muhibah, perpaduan, integrasi nasional dan menyemai nilai murni serta mampu meningkatkan tahap disiplin murid.

Pada masa sama, sesi pembukaan sekolah pada minggu pertama turut hangat dan diwarnakan dengan beberapa isu pendidikan lain seperti isu beg berat, ramai guru bersara awal dan kegembiraan 14,000 guru baharu diambil secara one-off serta berperingkat yang mendapat penempatan masing-masing di seluruh negara.

Jumlah itu adalah 75 peratus daripada 18,702 perjawatan guru secara one-off diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani kekurangan guru di seluruh negara terutama di negeri kritikal kekurangan guru seperti Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Penempatan guru baharu dijangka mampu menyelesaikan banyak permasalahan, terutama kekurangan guru dalam opsyen tertentu.

Paling melegakan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) membentangkan tujuh pendekatan dalam usaha menangani isu beg berat murid. Antara pendekatan itu adalah penyediaan lokar, penyusunan jadual waktu persekolahan mengandungi hanya tiga dan empat mata pelajaran setiap hari serta penetapan bilangan buku latihan murid tidak melebihi dua buku saja bagi setiap mata pelajaran.

Turut digariskan ialah murid hanya dibenar menggunakan buku aktiviti disediakan KPM sahaja. Selain itu, KPM juga bertekad menerbitkan buku teks baharu dalam format digital secara berterusan. Tanpa ramai menyedari, KPM memuat naik 692 judul buku teks digital ke dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) untuk diakses murid mempunyai peranti.

Guru pula digalakkan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid seperti pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berteraskan projek atau boleh juga pembelajaran terbeza.

Pada minggu pertama persekolahan, timbul juga laporan sejumlah besar guru bersara awal yang jika tidak dibendung bakal membuatkan kita kehilangan ramai tenaga berkemahiran tinggi dan berpengalaman.

Bagi NUTP, pengaliran keluar tenaga berpengalaman menerusi kaedah bersara pilihan atau lebih dikenali bersara awal bukan sesuatu mengejutkan. Sejak beberapa tahun lalu, trend ini mula berkembang atas pelbagai faktor, majoritinya tertekan dengan beban kerja terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki sebagai guru.

Mereka sebenarnya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas sebenar guru kerana diganggu pelbagai tugasan perkeranian dan terpaksa melayan kepelbagaian sistem dalam talian yang terpaksa mengisi data atau maklumat.

Guru terpaksa berkorban mengeluarkan duit poket sendiri untuk menyediakan komputer riba dan capaian internet semata-mata memastikan tugasan diarahkan pihak atasan dapat disempurnakan.

Tidak terkecuali juga pihak atasan pelbagai lapisan meletakkan pengurusan cemerlang di tempat pertama, sebaliknya pencapaian dan hala tuju murid jatuh ke tangga kedua. Keadaan itu membuatkan profesion berkenaan menjadi semakin hambar kerana perlu memenuhi kehendak orang atasan terlebih dahulu berbanding keperluan murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya, kita tidak mampu menjangkakan apa cabaran besar dalam mengharungi sesi persekolahan 2022 ini, sama seperti kita tidak mampu menjangkakan pelbagai masalah dan cabaran hadir bersama COVID-19.

COVID-19 menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ketidakupayaan murid memanfaatkan medium PdPR lantaran tidak mampu memiliki peranti dan akses internet sepanjang 2020 dan 2021. Apa yang penting, kita semua perlu berganding bersama dan seiringan ke arah membaik pulih setiap kelompangan yang ada.

Penulis adalah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)

Berita Harian X