Khamis, 3 March 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rentetan kes 1MDB jejas imej negara di persada dunia

Ketika negara masih lagi berhadapan dengan penularan COVID-19 dan ketidakstabilan politik yang banyak menjejaskan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat, rakyat dikejutkan semula dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New York minggu lalu.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat ada ketelitian dalam sistem kehakiman Amerika Syarikat (AS) yang sedang membicarakan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

Justeru, perkembangan terbaru berkaitan kes 1MDB ini 'menampar' wajah rakyat Malaysia sekali lagi.

Namun, tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan bertindak terhadap dapatan kes mahkamah di AS adalah bukti pihak berkuasa Malaysia serius menyelesaikan kes ini.

Ternyata kes 1MDB bukan kecil, ia melangkaui batasan undang-undang antarabangsa dan juga melanggar undang-undang negara tertentu daripada pelbagai sudut.

Skandal ini bukan saja mengaibkan individu tertentu, malah status agama Islam turut terpalit. Skandal ini juga menyebabkan maruah negara tercalar dan Malaysia dipandang rendah oleh dunia.

Atas sebab itu, MCW mahu badan perundangan dan kehakiman Malaysia mendahului negara lain menguruskan skandal 1MDB ini supaya dapat menyangkal telahan negara kita terkebelakang dalam mengendalikan kes ini.

Kes 1MDB yang hampir mencecah 10 tahun memberi kesan terhadap imej integriti Malaysia. Laporan polis terhadap 1MDB pada 12 Disember 2014 mula membuka mata pelbagai pihak.

Pasukan khas bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB ditubuhkan pada 6 Mac 2015 dan siasatan secara rasmi dilakukan Bank Negara (BNM) pada 6 Jun 2015.

Isu peletakan jawatan secara mendadak Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan diganti Arul Kandasamy, pegawai bank berpangkalan di Abu Dhabi juga menjadi persoalan permulaan dalam isu ini.

Kes ini semakin panas pada 3 Julai 2015 selepas The Wall Street Journal dan Sarawak Report menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai Tan Sri Abu Kassim ketika itu mula menjalankan siasatan dan mendapati dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukan dari 1MDB.

Kesan penjelasan itu menyebabkan wujud kemusykilan terhadap SPRM kerana dikatakan membabitkan integriti beberapa pegawai kanan SPRM. Akhirnya mereka terpaksa dipindahkan dan dikeluarkan daripada mengendalikan kes berprofil tinggi.

Jika diimbau semula kedudukan Malaysia sebelum skandal 1MDB berlaku, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 naik tiga anak tangga kepada 50 daripada 175 negara. Berdasarkan ukuran skor pula, Malaysia mencatat skor 52 berbanding 50 pada 2013.

Ia tertinggi pernah dicatat Malaysia sejak 2004 sehingga 2014. Selain itu, Malaysia juga negara kedua tahap rasuah paling rendah di belakang Singapura yang berada pada kedudukan ketujuh ketika itu.

Keadaan ini menunjukkan keadaan integriti, tadbir urus dan rasuah negara sebelum bermulanya kemelut 1MDB adalah terkawal, malah menuju ke arah pertumbuhan positif.

Secara dasarnya, kesan skandal 1MDB dirasai rakyat kerana dana awam diguna untuk menyelamatkan 1MDB sedangkan rakyat terpaksa membayar pelbagai cukai dan terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

Kita mahu skandal 1MDB ini ada garisan penamatnya. Selagi Mahkamah Persekutuan belum membuat keputusan terhadap rayuan akhir kes ini, maka pelbagai persepsi dan bahana akibat kes itu terus ditanggung rakyat.

MCW sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah sentiasa memerhati perkembangan kes ini sejak dari awal dan ingin menyatakan dengan jelas rakyat amat terkesan dengan krisis ini.

Sekiranya perbicaraan kes ini memakan masa lebih lama, nama Malaysia akan terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia. Nasib rakyat marhaen juga akan terus menjadi taruhan.

Mewakili rakyat Malaysia, kami merayu kepada kerajaan untuk menggandakan usaha bagi memastikan kes diselesaikan segera dalam tempoh terdekat ini demi maruah negara.

Usaha memperkasakan sistem integriti dan tadbir urus yang baik dalam agensi kerajaan mesti dilaksanakan dengan lebih pantas.

Program pencegahan rasuah dalam kalangan penjawat awam mesti dipertingkatkan kerana jelas kelihatan kes rasuah yang membabitkan pelbagai golongan masih tiada kesudahannya.

Program pendidikan antirasuah dijalankan MCW dan NGO antirasuah lain perlu diberikan kerjasama serta sokongan serius ahli politik kerajaan atau pembangkang untuk memutuskan rantaian rasuah dalam negara.

Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) perlu disokong penuh memandangkan dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14, baginda percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif itu menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.

MCW juga yakin pelaksanaan inisiatif ini secara agresif dan drastik akan memberi impak besar kepada penilaian CPI Malaysia pada masa akan datang.

Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Berita Harian X