Isnin, 29 November 2021 | 11:00am
Kekejaman dan kezaliman rejim Zionis sejak sekian lama menyebabkan rakyat Palestin menderita. - Foto fail/EPA
Kekejaman dan kezaliman rejim Zionis sejak sekian lama menyebabkan rakyat Palestin menderita. - Foto fail/EPA

Solidariti berterusan pastikan hak rakyat Palestin terbela

Hari ini, dunia sekali lagi menyambut Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin. Hari yang signifikan disambut sejak 1978 ini diilhamkan menerusi resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 30/42 B pada 2 Disember 1977.

Selepas lebih 40 tahun disambut masyarakat global, kini wujud keperluan menilai secara mendalam tindakan keganasan dan perkauman yang melanda seluruh masyarakat Palestin sejak 100 tahun lalu, apabila Deklarasi Balfour dikemukakan sebagai muslihat percaturan negara Barat memenangkan kehendak Israel.

Menerusi Deklarasi Balfour yang dirumus dan ditandatangani Lord Arthur James Balfour, Setiausaha Luar Britain ketika itu pada 2 November 1917, Britain menjadi penaja empayar 'negara' Zionis – secara eufemisme dipanggil 'rumah negara Yahudi' - yang akan ditubuhkan di Palestin dengan mengusir penduduk asalnya secara beramai-ramai.

Deklarasi Balfour menandakan kewujudan 'negara' Zionis Israel dan bermulanya rampasan haram, penjajahan dan pendudukan tanah leluhur Palestin. Sejarah keadilan sejagat dirundung kesedihan apabila pengisytiharan tidak bermoral itu disahkan PBB pada 1948.

Dalam bersolidariti dengan rakyat Palestin pada hari ini setiap tahun, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengiktiraf hak mereka untuk menentang pendudukan haram di tanah mereka oleh negara haram Zionis Israel.

Perencanaan pendudukan haram penduduk Israel ini dilakukan secara teliti selama bertahun-tahun, di sebalik kelekaan masyarakat dunia. Agenda ini ternyata menjadi bukti sikap perkauman orang kulit putih seperti diakui pengarang dan aktivis British, David Cronin, dalam karya beliau bertajuk Balfour's Shadow: A Century of British Support for Zionism and Israel (Pluto, 2017).

Ketika menjadi Perdana Menteri Britain antara 1902 hingga 1905, Balfour menegaskan bahawa 'orang Eropah' mesti menikmati lebih keistimewaan daripada 'Orang Asli kulit hitam' di Afrika Selatan. Beliau juga mengatakan orang kulit hitam 'kurang berkemampuan dalam aspek intelek dan moral' berbanding orang kulit putih.

Ternyata tidak wujud walaupun sekelumit keraguan bahawa sikap perkauman adalah teras kepada Deklarasi Balfour. Ini jelas menjadi kerangka asas di tengah dasar 'Negara' Apartheid Zionis Israel yang merupakan isu fundamental melatari kezaliman terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Hari ini, ternyata negara haram Zionis Israel sejak abad yang lalu, dengan sokongan kuasa empayar di Barat, meneruskan kempen sistematik pembersihan etnik Palestin tanpa pernah dihentikan perbuatan mereka. Tindakan rejim berkenaan membabitkan rampasan tanah, pembesaran peneroka, perobohan rumah, pemusnahan infrastruktur penting, penjara haram serta penganiayaan dan pembunuhan bersasar rakyat Palestin.

Lebih 1.7 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza - penjara terbuka terbesar di dunia - dan wilayah lain yang diduduki tertakluk kepada kekejaman harian pendudukan di bawah negara haram Zionis Israel. Dengan keterlibatan sekutu dalam kalangan kuasa Barat, akses kepada air, makanan dan perkhidmatan kesihatan asas ke Gaza dan wilayah lain yang diduduki mudah dan kerap disekat.

Pernyataan solidariti dengan rakyat Palestin bukan sekadar bermakna kita mengutuk ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia terburuk yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Dunia perlu melakukan lebih daripada itu hingga ke tahap menghapuskan ideologi Zionis yang dijadikan alasan mengizinkan kekejaman terhadap penduduk Palestin sehingga ke hari ini.

Solidariti antarabangsa dengan rakyat Palestin menuntut tidak kurang daripada pengasingan sepenuhnya 'negara' Zionis Israel yang diwujudkan oleh pena empayar Lord Balfour.

CENTHRA menyeru semua rakyat Malaysia menyokong kempen global untuk mengasingkan Israel dengan boikot ekonomi, politik dan budaya untuk menamatkan berdekad keganasan dan ketidakadilan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin.

Ini boleh dilakukan menerusi cara melobi secara berterusan oleh ahli Parlimen sama ada pada pihak kerajaan mahupun pembangkang atau yang berpendirian bebas dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menganjurkan kempen pendidikan dan kesedaran bagi mendedahkan sejarah dan tindakan zalim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak lebih seabad yang lalu.

Peranan Kerajaan Malaysia juga seharusnya lebih ke hadapan dalam bersolidariti dengan rakyat Palestin ini. Pada 23 Disember 2016, Malaysia bersama sama tiga negara anggota Majlis Keselamatan PBB lain – New Zealand, Senegal dan Venezuela - mengemukakan Resolusi 2334 yang mengecam penempatan haram Israel di bumi Palestin dan mendesak Israel menghentikan kekejaman terbabit.

Resolusi itu diluluskan dengan keputusan 14-0. Amerika Syarikat (AS) sebagai negara yang sering menggunakan kuasa veto terhadap keputusan Majlis Keselamatan PBB berkenaan Israel (lebih 42 kali) akhirnya mengambil keputusan berkecuali.

Resolusi terbabit, yang juga adalah kali pertama diluluskan bagi mengecam Israel dalam pendudukannya di Palestin diluluskan sejak Resolusi 446 pada 1979, dan mengakibatkan segala pendudukan Israel di bumi Palestin selepas garisan sempadan 1967 dikira haram dan tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Malah, resolusi terbabit juga melatari tindakan sebuah NGO di Malaysia, Yayasan MyAqsa dengan dibantu oleh CENTHRA dalam mengemukakan bukti kepada Kamar Pra Perbicaraan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memulakan penyiasatan formal terhadap tindakan kekejaman Israel sejak awal Mac tahun ini.

Usaha berkenaan perlu diteruskan, di samping inisiatif lain sebagai bukti bahawa solidariti dengan rakyat Palestin bukanlah semata-mata melalui protes jalanan, penulisan dan bersuara menentang sikap hipokrit Israel.

Dengan kedegilan Israel yang berterusan seperti kita saksikan hingga ke hari ini, tindakan melalui proses perundangan antarabangsa seperti dilakukan Yayasan MyAqsa, CENTHRA dan NGO antarabangsa lain harus diperkukuh dan diperluaskan agar tekanan secara sistematik.

Sasarannya supaya dapat diteruskan usaha untuk memaksa badan antarabangsa seperti PBB mengambil langkah berkesan bagi menghentikan kekejaman tentera Zionis Israel.

Selepas lebih 40 tahun bersolidariti dengan rakyat Palestin, kini tiba masanya untuk rakyat Malaysia lebih menyerlahkan kepemimpinan dalam kalangan warga sejagat, dalam melindungi dan memastikan hak rakyat Palestin terus terbela dan mendapat semula hak mereka untuk hidup secara aman, damai dan sejahtera di tanah air mereka yang berdaulat.

Pengasas Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Berita Harian X