Sabtu, 18 Julai 2020 | 10:00am
DEWAN Bahasa dan Pustaka.
DEWAN Bahasa dan Pustaka.

Media perlu bantu perkukuh pembudayaan bahasa Melayu

PERJUANGAN untuk meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan berdaulat di Malaysia - negara tempat lahir bahasa ini - kedengaran sangat aneh dan memalukan.

Meminta bahasa ini diletakkan di tempat yang tinggi sebagai suatu sendaan dan jenaka, walhal itulah hakikatnya, dari sudut sejarah. Kedudukan bahasa Melayu tidak wajar diragukan lagi.

Apabila kedudukan bahasa yang menjadi roh kemerdekaan, kemajuan dan keharmonian tidak berada di tempat yang sewajarnya.

Kongres Persuratan Melayu ketiga pada 1956 mencapai hakikat ini. Selepas itu Perlembagaan Negara dalam Akta 152 ikut mencatatkan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sebagai jiwa dan roh bangsa, terjulang anggun dan unggul. Namun begitu, selepas lebih 60 tahun negara ini merdeka, bahasa Melayu masih terus berjuang untuk meletakkan 'diri' pada kedudukan yang tepat di tanah air sendiri.

Seolah-olah, pencapaiannya jauh tertinggal di belakang berbanding kebanyakan bahasa kebangsaan di negara lain.

Apabila Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengumumkan betapa perlunya melakukan pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 sedia ada, Persatuan Sasterawan Melayu Nusantara (NUMERA) Malaysia sebagai pertubuhan berasaskan seni, budaya dan kesusasteraan Melayu yang aktivitinya adalah bermatlamatkan meletakkan bahasa Melayu sebagai perantara utama di rantau nusantara dan dunia sebagai bahasa antarabangsa, melihat ini adalah suatu keperluan.

Perlu ada suatu penguatkuasaan yang jelas dan mantap seiring dengan kompleksnya pengurusan aktiviti harian rakyat masa kini.

Pindaan terakhir pada 1995 menumpukan kepada pembetulan serta penambahbaikan. Proses ini berlaku selama 25 tahun, suatu angka yang matang untuk sebuah proses pembelajaran.

Proses pembelajaran dan dalam masa yang sama diharapkan menjadi suatu budaya unggul untuk menyokong keharmonian negara dan pembentukan sebuah ketamadunan.

Bukan sekadar kaya pada tingginya per kapita, atau canggihnya teknologi, mahu pun diukur kepada berapa tingginya pencakar langit milik kita.

Tetapi ada sesuatu yang mesti mengisi dan membentuk jadi diri untuk bangsa ini yakni mempunyai identiti dan sahsiah diri di mata dunia.

Pada tahap ini, pembelajaran dan pembetulan terus berlangsung tetapi sudah tiba pada tahap seterusnya iaitu penguatkuasaan bagi memastikan segala perancangan dan kegemilangan bahasa Melayu dapat dicapai dan dikekalkan.

Bahasa Melayu itu unggul menerajui aspek komunikasi utama dan rasmi dalam kalangan warganegara pelbagai kelompok, sektor dan lapisan masyarakat dan rakyat.

Ketika ini bahasa Melayu masih dianggap oleh masyarakat di negara ini sebagai 'bahasa' semata-mata yang diandalkan dengan keperluan kepada ekonomi, sosial dan politik.

Masyarakat masih melihat bahasa Melayu yang sedang dijaga oleh DBP ini sebagai bahasa untuk berinteraksi semata-mata kerana itu kedudukannya sentiasa digugat.

Keperluan untuk berinteraksi semata-mata hanya menyebabkan kedudukan bahasa ini bersaing secara kurang sihat dengan bahasa lain kerana masing-masing mempunyai pilihan dan keperluan tertentu dalam kelompok masing-masing.

Pengekalan keunggulan bahasa Melayu ini dalam kalangan masyarakat pelbagai kelompok dan lapisan di negara ini, memerlukan suatu sistem pemantauan yang berkesan dan praktikal untuk difahami dan disedari, seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian.

Pemantauan adalah untuk menjaga kualiti atau mutu bahasa yang diamalkan dan dipamerkan. Melalui pemantauan akan membantu seluruh warga sedar jika ada berlaku kesilapan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Amalan penggunaan bahasa Melayu yang betul ini harus dimulakan dan ditunjukkan oleh pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh luas serta besar terhadap masyarakat seperti media dan pemimpin pelbagai peringkat.

Perkara ini yang menjadi persoalan utama kini, apabila ikon atau pengaruh besar mulai kendur dalam mempamerkan bahasa Melayu yang baik khususnya dalam hal rasmi dan pengumuman atau pemakluman yang membabitkan kepentingan awam.

Pemikiran segelintir pemimpin, tokoh mahu pun orang awam yang menganggap penggunaan bahasa Melayu yang betul bukan sesuatu yang utama bakal melunturkan tanggapan masyarakat terhadap kepentingan penjagaan aspek ini.

Proses pembudayaan bahasa yang betul mungkin menjadi lebih tegas selepas ini, tetapi jika tidak dilaksanakan sekarang, tidak dapat dibayangkan betapa kerosakan dan pengabaian yang lebih besar berbanding yang terjadi pada hari ini.

Hal ini ketara di mana pembudayaan bahasa Melayu yang betul perlu dimantapkan melalui saluran media.

NUMERA Malaysia percaya usaha ini adalah antara pendekatan yang paling jitu, tepat dan berkesan untuk memastikan bahasa Melayu diletakkan dan dimartabatkan selaras sebagai bahasa kebangsaan, bahasa agung Malaysia.

Sasterawan Negara, Presiden Persatuan Sasterawan Melayu Nusantara (NUMERA), Malaysia

Berita Harian X