Selasa, 7 Julai 2020 | 11:06am
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. - NSTP/Aizuddin Saad
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. - NSTP/Aizuddin Saad

Angkat martabat bahasa Melayu, bukan 'didodoi' untuk ditidurkan

Kesan penjajahan itu panjang sekali. Kuku yang berabad mencengkam tanah air hampir sahaja mematikan segala mengenai tanah terjajah itu.

Jika negara adalah sebuah rumah, bahasa adalah tiang seri. Dalam banyak kes, rempuhan penjajahan sampai meruntuhkan tiang tengah yang menjadi tulang belakang rumah itu.

Brazil dengan populasi hampir 200 juta penduduk berhasil sekali memencilkan bahasa pribumi ribuan suku bangsa yang mendiami jajaran sekitaran belantara Amazon. Negara kelima teramai penduduk di dunia itu menggunakan bahasa Portugis sebagai bahasa rasmi.

Hampir keseluruhan negara Amerika Latin seperti Argentina, Bolivia, Chile dan Paraguay menggunakan bahasa Sepanyol yang berjarak puluhan ribu kilometer dari negeri mereka.

Filipina pula negara yang sangat rencam. Secara kaumnya, menurut Jose Rizal mereka mengidentifikasi sebagai Melayu. Secara etnik pula, mereka memiliki ciri khas kaum tersendiri. Pengaruh Sepanyol dan Inggeris begitu kuat di Filipina.

Kedua-dua bahasa berkenaan memainkan peranan subsidiari yang sering mengetepikan bahasa kebangsaan mereka, iaitu Tagalog yang secara demografik awalnya hanya dituturkan sekitar 30 peratus penduduk.

India, negara dengan kepadatan penduduk kedua tertinggi dunia beratus tahun menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar rasmi sektor awam dan swasta.

Dalam konteks Malaysia, kesan penjajahan itu lumayan. Golongan bangsawan yang menerima asuhan Inggeris didoktrinkan dengan cara berfikir dan gaya hidup Inggeris. Kebanyakan mereka dihantar belajar ke Eropah, kemudian pulang dan memainkan peranan besar sebagai pembuat dasar serta keputusan dalam segmen penting pentadbiran kerajaan.

Kebanyakan mereka melazimi pertuturan seharian dengan berbahasa Inggeris. Setengahnya menjadi pengagum kebudayaan Inggeris, lebih-lebih lagi yang tidak menerima pendidikan tempatan aliran sekolah Melayu atau Islam, mereka terputus dengan alam fikiran peribumi.

Hasilnya, kelompok ini menjadi lisan dan tangan kerajaan memandang rendah segala keupayaan yang bersabit nilai tempatan. Bahasa Melayu dianggap tidak memiliki wibawa dan bakat untuk menampung makna ilmu moden yang sesuai dengan kemaraan zaman.

Ketika Malaya mencapai kemerdekaan, timbul usaha sistematik menamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara. Hal berkenaan dilihat berjaya selama 10 tahun selepas kemerdekaan.

Desakan demi desakan oleh pejuang dan penginsaf kebudayaan peribumi yang menyedari pentingnya jati diri dibangunkan, tidak terpengaruh oleh bahasa yang dicorakkan daripada nilai tamadun lain.

Kemunculan kelompok modenis beraliran Islam setidak-tidaknya membentengi usaha ini. Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Za'aba dengan segala kudrat termampu memikul usaha memodenkan bahasa Melayu bertujuan mengangkat harakatnya sebagai bahasa yang layak memikul taklif sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Sesudah era beliau, kesedaran mewujudkan akta yang melindungi bahasa Melayu sebagai bahasa negara terhasil oleh usaha angkatan pejuang bahasa dan pemimpin sealiran dengannya.

Kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memberi implikasi besar. Seksyen 2 akta berkenaan menetapkan segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara.

Bagaimanapun sebahagian besar seksyen hanya berkisar usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan lebih kuasa untuk mengambil tindakan terhadap tindakan tidak mematuhi.

Pengukuhan disusuli Akta Pendidikan 1996 yang memberi isyarat bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.

Namun, sehingga hari ini kedua-dua akta yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan bagaikan tiada taring jika tidak digubal bagi memberi kuasa mengambil tindakan hukuman kepada pihak berkaitan yang melanggar tatacara penggunaan bahasa kebangsaan.

Keadaan lebih sulit apabila kuasa politik meminimumkan usaha ini. Bagaimanapun keadaannya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap berusaha sekadar dibenarkan untuk memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan diberi lebih pembelaan.

Ironinya, bahasa Melayu masih menggeliat untuk 'menjaga' tanah air sendiri. Yang mendodoi menidurkannya bukan tangan penjajah lagi, tetapi peribumi sendiri.

Beberapa abad lagi ke hadapan jika derap langkah penggubal dasar dan pembuat keputusan masih mengekalkan larian semasa, bahasa Melayu akan terus terperosok secara sistematik.

Ia kebenaran yang pahit. Senada kenyataan dikeluarkan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, pada 28 Jun lalu, beliau menyatakan: "Hampir semua 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu, malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan".

Justeru, pada 27 Jun baru-baru ini, diadakan perbincangan awal Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995).

Tiada lain tujuannya memberi lebih kuasa kepada DBP bukan sahaja 'menggalakkan', tetapi 'mengenakan' tindakan terhadap pihak yang ingkar terhadap pemakaian bahasa Melayu bagi maksud yang dijamin undang-undang.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemegang taruh belia yang penting di Malaysia turut menyertai perbincangan ini.

Selain mengharapkan kuasa hukuman, jawatankuasa mencadangkan 'kuasa bawah sedar' tumbuh secara organik melalui advokasi berterusan, mengubah teras program agar tidak bersifat old school atau ketinggalan zaman, mempelawa penggiat YouTube dan pempengaruh media sosial bersama demi bahasa Melayu yang muda, segar, bertenaga dan prestij.

Penyertaan orang muda akan membentuk pandangan awam terhadap proses advokasi berterusan mengenai kepentingan dan kewibawaan bahasa kebangsaan.

Pasaran lebih luas kuncinya banyak terdapat pada anak muda, pengguna media sosial yang mewakili 65 peratus pengguna laman sesawang menurut statistik dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan Kajian Pengguna Laman Sesawang 2018.

Maka, tidak syak lagi, syor agar ikon kelompok umur belia di negara ini yang lebih menonjol dalam kalangan golongan sebaya dengan mereka dilibatsertakan.

Boleh cuba dibahagikan baton kepada angkatan baharu untuk sama membuat larian, memikul lelah untuk merakyatkan bahasa Melayu sebagai perwakilan utama wajah Malaysia di pentas ekonomi, sains, teknologi, industri tidak hanya garisan penamatnya di sektor awam sahaja.

Kita tahu, sosialisasi rakyat yang rencam dengan pelbagai aliran dan orientasi membentuk cara fikir mereka terhadap nilai hidup. Sesetengah yang menerima pendidikan berasaskan bahasa Inggeris akan terdorong menurut cara berfikir bahasa berkenaan. Tambahan apabila mereka terbuat perbandingan, nyata lebih mudah menerbitkan maksud dalam bahasa asing itu.

Keanjalan bahasa Inggeris menampung istilah baharu yang lebih moden jadi alasan. Nilai kesejagatan yang dirasakan terdapat pada bahasa Inggeris itu hanya mutlak.

Sedangkan jika mereka mengadili sejarah secara objektif bahasa Inggeris itu hanya menjadi bahasa global yang menjadi pengantar sains di Barat selepas abad ke-18.

Sebelum itu Eropah menggunakan bahasa Latin sebagai wadah sains dan teknologi. Tanggungjawab pemikir dan sarjana mereka membangunkan daya upaya bahasa Inggeris untuk menerbitkan sains melalui pelbagai cara, peminjaman istilah, penganjalan struktur nahu dan intensiti penulisan dalam bahasa Inggeris yang meningkat berkali ganda.

Hampir sahaja kita menurut arus ke belakang. Kembali kepada minda terjajah yang berhempas pulas kita bergolok gadai cuba lepaskan.

Penulis tertarik membawakan pandangan anak muda, Zamir Mohyedin. Dalam tulisan beliau mengenai negara terbaik dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan penyelidikan saintifik, hampir semua yang menempati kedudukan 20 teratas menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Begitu juga kedudukan terbaik dalam pemarkahan PISA (ujian pemarkahan sistem pendidikan untuk murid 15 tahun dalam subjek Sains, Matematik dan membaca) masih diboloti negara yang memakai bahasa sendiri.

Saranan MBM teruskan sahaja dengan dasar semasa. Martabatkan bahasa Melayu dan perkukuhkan bahasa Inggeris. MBM menyokong penuh agar DBP diberi kuasa mengambil tindakan terhadap pencemaran dan pelanggaran bahasa Melayu.

DBP tidak seharusnya dilihat sebagai harimau dalam lukisan. Matlamat mencapai agenda 'Kemakmuran Bersama' dan mencapai negara maju harus bersekali dengan penjelmaan wajah sejati Malaysia yang mengangkat harakat bahasanya.

MBM menyokong penuh usaha DBP meminda Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995). Semoga lebih ramai belia tampil membawa semangat Za'aba, Abdullah Munsyi di zaman gelora ini.

Penulis adalah Felo penyelidik Majlis Belia Malaysia

Berita Harian X