Khamis, 18 Jun 2020 | 11:00am
Pelbagai cabaran dihadapi untuk menubuhkan UKM pada 1970 bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pelbagai cabaran dihadapi untuk menubuhkan UKM pada 1970 bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kembalikan kegemilangan bahasa Melayu ke persada dunia

Bahasa adalah khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasakan setiap individu tanpa mengira bangsa dan agama, selagi bergelar warga sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, keyakinan anak bangsa sangat penting untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan sepatutnya. Bahasa Melayu bukan pula hak mutlak Melayu, tetapi milik masyarakat majmuk Malaysia.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 dengan misi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui banyak onak dan duri termasuk tentangan pelbagai pihak kerana bagi mereka, mustahil sebuah universiti kebangsaan yang memartabatkan bahasa kebangsaan berdiri gagah setanding universiti lain.

Namun, pejuang bangsa ulung tidak pernah luntur semangat juang mereka, malah semakin besar pengorbanan saban hari demi melihat anak bangsa maju dan ke hadapan dalam pelbagai bidang ilmu.

Menginjak usia 50 tahun, UKM terus mengharungi pelbagai cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Ketika keyakinan anak Malaysia terhadap keupayaan bahasa Melayu semakin goyah dek pengaruh besar bahasa Inggeris, UKM terus berdiri megah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sebahagian besar aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan.

Meskipun wujud usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, segelintir masyarakat masih gentar akan kewibawaan dan keupayaannya, malah ada pihak terang-terangan mempertikaikan usaha murni itu.

Oleh itu, pelajar disogokkan pelbagai bahan rujukan yang ditulis dalam pelbagai bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Dalam hal bahasa Melayu pula, ia beransur-ansur ditolak ke tepi, ditinggalkan dan seolah-olah dianaktirikan di bumi sendiri.

Cabaran globalisasi masa kini meninggalkan kesan mendalam kepada bahasa Melayu. Kecenderungan ekonomi negara ke arah perindustrian menyebabkan peningkatan kemasukan organisasi multinasional ke Malaysia. Ia mewujudkan dilema dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.

Rakyat dilihat perlu menguasai bahasa Inggeris, tetapi pada masa sama bahasa Melayu harus dipertahan dan dimartabatkan. Keadaan ini akhirnya membawa kepada kekeliruan semua pemegang taruh.

Ia semakin memburuk sementelah sektor ekonomi negara mula dikuasai orang luar dan bangsa asing. Berikutan perubahan landskap ekonomi dan perniagaan global, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu.

Ia juga berlaku disebabkan pembudayaan yang mendalam melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan negara yang panjang dan penerimaan bidang moden yang diasaskan Tamadun Barat.

Adakah benar bahasa Melayu tidak boleh dibawa ke tengah? Adakah benar juga hanya bahasa Inggeris mampu memajukan bangsa dan negara Malaysia? Jika kita benar-benar sayang terhadap lidah rasmi negara ini dengan mempunyai tekad seteguh karang di dasar lautan dan sudi belajar daripada orang lain, bahasa Melayu tidak mustahil akan kembali bersinar di persada antarabangsa.

Mengambil contoh daripada rakan di sebelah timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan kita dapati mereka tidak mengagungkan bahasa Inggeris, namun masih berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda masing-masing.

Masyarakat Jepun juga menggunakan 100 peratus bahasa Jepun dalam semua bidang, termasuk sistem pendidikan mereka.

Di Quebec, Kanada pula bahasa Inggeris digantikan dengan bahasa Perancis yang dituturkan 130 juta penduduk di seluruh dunia.

Sesungguhnya zaman silam membuktikan bahasa Melayu mencapai tahap kesempurnaan yang amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain kehidupan sama ada dalam aspek kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, mahupun urusan ekonomi dan perniagaan.

Hanya mereka yang jahil sejarah silam menidakkan keupayaan bahasa Melayu. Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti berjaya sebagai lingua franca sejak zaman-berzaman.

Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi dan perniagaan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah Kerajaan Sriwijaya.

Pada zaman kesultanan Melayu Melaka dari abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.

Menyorot hakikat ini dengan mata hati dan fikiran yang terbuka, maka adalah tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan.

UKM yang genap usianya 50 tahun pada 18 Mei lalu akan terus memukul genderang peniup semangat dan pembakar obor juang rakyat jelata dan warganya demi melakarkan 1,000 warna dan keindahan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Ia juga bagaikan sirih pulang ke gagang, yang mana UKM berusaha meletakkan bahasa Melayu ke zaman kegemilangannya seperti suatu masa dahulu.

Semoga kewujudan UKM di persada pendidikan akan terus mekar dan menjadi pemangkin kepada kemajuan sejagat.

Dalam mengejar kecemerlangan, adat lama yang ampuh dibuang jangan, budaya baharu dipupuk, dibugar dan disuburkan. Selamat Ulang Tahun Ke-50, UKM!

Penulis adalah Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X