Jumaat, 27 Disember 2019 | 11:00am

Gagal urus wang perangkap generasi Y

Begitu sukarkah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerima kehadiran tulisan Jawi di sekolah mereka? Satu Malaysia gelisah apabila isu itu menjadi polemik dan dipolitikkan.

Antaranya oleh parti politik GERAKAN serta kumpulan aktivis Dong Jiao Zong, yang kononnya mewakili kumpulan pendidikan sekolah Cina di Malaysia. Tindakan GERAKAN membawa isu pembelajaran tulisan Jawi ke mahkamah mencerminkan kecetekan pemikiran, termasuk mereka yang menyokongnya.

Mereka melihat kehadiran tulisan Jawi seolah-olah membawa kehadiran Islam dan Melayu ke SJKC. Apabila fikiran mereka melihat ke arah yang menyesatkan, maka tindakan mereka juga menjadi sesat.

Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh, yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian bahasa Melayu, yang juga bahasa kebangsaan dan tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Malaysia, perlu dihormati. Pembelajaran tulisan Jawi perlu dilihat bagi meningkatkan keilmuan pelajar dan ia menjurus nilai artistik bahasa.

Ia sepatutnya menjadi penutup polemik, sekali gus membawa keharmonian dalam pendidikan bahasa Melayu di Malaysia.

Memetik tulisan Datuk Rejal Arbee: “Kita mesti fahamkan masyarakat Cina dan India bahawa tulisan Jawi adalah tulisan bahasa Melayu asal sejak dahulu lagi.

“Semua perjanjian kita dengan kuasa kuasa Barat sejak dahulu lagi adalah dalam tulisan Jawi. Demikian juga perjanjian lain semuanya dalam tulisan Jawi.

“Al-Quran pula dalam bahasa Arab, sementara Jawi adalah bahasa Melayu yang ditulis menggunakan abjad-abjad bahasa Arab.

“Samalah juga jika tulisan Cina ditulis dalam bahasa Melayu, apa masalahkah? Cumanya Jawi ditulis menggunakan abjad Arab.”

Melihat keadaan pendidikan dan pembentukan kaum yang semakin melebar jurang komunikasi antara kaum, molek jika sekolah kebangsaan di Malaysia boleh menawarkan juga kepada pelajarnya pembelajaran untuk menguasai bahasa ketiga. Antara boleh ditawarkan adalah bahasa Mandarin, Tamil, Arab dan lain-lain yang sesuai dan diminati pelajar.

Sekolah swasta dan antarabangsa sudah membenarkan muridnya mengambil bahasa ketiga, selain bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Sekolah di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom pula menawarkan pelbagai bahasa diminati pelajar dari peringkat rendah hingga menengah.

Pembelajaran pelbagai bahasa bukan bermakna pembuangan jati diri atau maruah bangsa. Memperkenal kepelbagaian bahasa sejak sekolah rendah, memberi peluang lebih cerah kepada pelajar dalam bidang pekerjaan.

Selain itu, pengenalan bahasa ketiga boleh mengurangkan jurang komunikasi antara kaum yang semakin melebar di Malaysia. Ini akan mengelak tohmahan kumpulan tertentu yang melihat pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina bertujuan untuk meMelayukan dan memperkenalkan keIslaman dalam kelompok sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Dengan memperkenalkan bahasa Mandarin, Tamil dan lain-lain di sekolah kebangsaan, membolehkan lebih ramai pelajar bukan Melayu berada di sekolah kebangsaan. Ini juga boleh menolak tanggapan terhadap sekolah kebangsaan yang dianggap bangsa lain sebagai sekolah yang terlalu Melayu dan Islam.

Persepsi negatif terhadap sekolah kebangsaan menyebabkan jurang pendidikan di Malaysia makin melebar.

Tanggapan ini menyebabkan masyarakat Cina menghantar anak mereka ke SJKC dan masyarakat India pula ke SJK Tamil. Ibu bapa berkeupayaan pula menghantar anak ke sekolah swasta atau antarabangsa.

Keadaan ini menyebabkan jurang pemisahan kaum ditanam sejak kecil lagi. Sekolah sepatutnya menjadi landasan perpaduan, pendidikan, jati diri negara, semangat sayangkan negara sejak dari awal sekolah. Kepelbagaian pendidikan diasingkan sejak kecil menggagalkan usaha perpaduan, keharmonian dan jati diri masyarakat Malaysia.

Sudah sampai masanya, pendidikan di Malaysia dirombak dengan menjurus ke arah memacu pendidikan negara kepada perpaduan, tanpa menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Setiap pihak perlu berlapang dada dan menyokong pendidikan ke arah lebih baik dan memberi manfaat kepada bangsa Malaysia, bukannya sekadar Melayu, Cina atau India.

Kecurigaan yang sentiasa bersarang di setiap hati kaum perlu disingkirkan jika kita mahu membangunkan bangsa Malaysia yang harmoni dan dihormati. Setiap kaum mesti mengelak sikap yang berasakan kaumnya lebih baik berbanding kaum lain.

Saranan memperkenalkan bahasa lain di sekolah kebangsaan perlu dilihat dalam konteks perpaduan, peningkatan pendidikan negara. Peneraju bahasa, pentadbir sekolah, pembuat dasar pelajaran perlu melihat cadangan ini dari sudut positif.

Ahli politik dan kumpulan bukan kerajaan pula jangan mudah mempolitikkan isu ini apatah lagi cuba menjadi jaguh kepada kaum tertentu. Tidak perlulah kehadiran bahasa ini dipolitikkan seperti mana bahasa Jawi.

Menjadi kewajipan Menteri Pendidikan untuk melihat isu ini secara terbuka dan serius.

Penulis adalah Felo Pusat Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Berita Harian X