Sabtu, 11 Ogos 2018 | 11:00am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Bagaimana hak istimewa Melayu boleh tergugat

KONSEP persamaan yang dipelopori di bawah slogan ‘Malaysian Malaysia’ ditujukan ke arah pembasmian apa yang dikatakan diskriminasi dan layanan tidak adil hasil daripada penggunaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Namun orang Melayu berasa tidak senang, tergugat dan melihat slogan itu sebagai satu percubaan untuk mempersoal dan mengurangkan kedudukan mereka yang akhirnya membawa kepada pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965.

Yang berjalan lancar ialah proses kerakyatan melalui prinsip ‘jus soli’, manakala syarat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan orang Melayu masih dicabar dan digugat sedangkan perkara itu telah dipersetujui bukan Melayu dan diterapkan dalam perlembagaan, iaitu undang-undang utama Malaysia.

Kritikan dan penentangan mengenai perkara ini muncul semula sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 di mana kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa dan kedudukan istimewa orang Melayu dicabar oleh bukan Melayu.

Ia mencetuskan pergaduhan kaum iaitu Peristiwa 13 Mei dan kesannya, darurat diisytihar, Parlimen digantung dua tahun serta pindaan dilakukan terhadap perlembagaan yang mengehadkan kebebasan bersuara selain penggubalan Akta Hasutan 1948.

Seterusnya, ia dibangkitkan kembali apabila Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) meminta kerajaan menghapuskan hak istimewa Melayu di bawah dasar penyusunan semula masyarakat jika mahu melihat mereka maju dan mampu berdikari.

Ia timbul lagi apabila Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (SUQUI) menuntut agar unsur tradisi itu dilenyapkan, mengundang kemarahan pertubuhan Melayu yang berpendapat hak istimewa bangsa itu dijamin perlembagaan dan tidak wajar disentuh SUQUI.

Perkara sama juga dibangkitkan bekas pemimpin GERAKAN, Tun Dr Lim Keng Yaik yang menggesa parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India berasa kecil hati.

Pindaan perlembagaan

Jika dirujuk Pelembagaan Persekutuan, Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja (MRR), membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Bahasa Kebangsaan dan agama Persekutuan.

Maka, jelas pindaan perlembagaan adalah rumit terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Bahasa Kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kewarganegaraan, ditambah lagi dengan syarat lain, iaitu perlu perkenan MRR.

Justeru, tidak kira parti mana memerintah, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) hatta DAP pun, sukar meminda Perlembagaan berkaitan perkata di atas selagi tidak diperkenankan MRR.

Jika ditelusuri sejarah, ketika proses penggubalan perlembagaan dilakukan, beberapa cadangan diberi pertimbangan untuk disepakati atau apa yang diistilahkan sebagai kontrak sosial.

Dalam proses ini, semangat akomodatif yang tinggi berlaku di antara Melayu dan bukan Melayu berkaitan kepentingan masing-masing atau kontrak sosial. Contohnya, Melayu melonggarkan syarat kerakyatan bagi bukan Melayu, manakala bukan Melayu menerima hakikat kedudukan istimewa Melayu.

Ketika itu, etnik Melayu menerima prinsip jus soli iaitu dengan mengurniakan kerakyatan bagi mereka yang lahir selepas merdeka dan kerakyatan lebih longgar bagi bukan Melayu dilahirkan sebelum merdeka. Prinsip ini memberi hak kerakyatan kepada lebih 800,000 orang Cina.

Bagi sebuah negara demokrasi, kewarganegaraan amat berharga kerana seorang warganegara tidak boleh dibuang negeri, tidak memerlukan permit untuk bekerja, kemudahan mendapat tanah kerajaan, bekerja dalam perkhidmatan awam dan anak mereka layak mendapat tempat dan biasiswa di sekolah dan universiti.

Yang lebih penting, warganegara ada hak mengundi dalam pilihan raya dan semua hak yang sah di sisi undang-undang. Hak kewarganegaraan pula adalah manfaat yang serta merta dinikmati bukan Melayu, sedangkan hak istimewa orang Melayu perlu mengambil masa yang lama untuk dinikmati manfaatnya.

Ini jelas apabila jumlah pengundi bukan Melayu meningkat daripada 15.6 peratus pada 1955 kepada 43.7 peratus pada 1959. Jumlah pengundi Melayu pula berkurangan daripada 84.2 peratus pada 1955 kepada 56.2 peratus pada 1959.

Hasil persetujuan bersama semua etnik, masyarakat Melayu diperuntukkan hak istimewa dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, secara khususnya menyentuh tiga perkara iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan.

Perkhidmatan awam, ekonomi

Dalam perlembagaan dinyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan rizab bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan yang baginda fikirkan perlu.

Namun, bagi menjalankan tanggungjawab, baginda tidak boleh melucutkan sesiapa juga apa-apa jawatan awam yang disandang oleh oleh individu itu.

Hal sama juga bagi semua orang tidak mengira etnik yang menyandang jawatan dalam perkhidmatan awam, mestilah diberi layanan yang adil baik dari segi kenaikan pangkat, gaji dan kebajikan lain.

Adalah rasional merizabkan untuk orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak suatu kadar bilangan dalam perkhidmatan Persekutuan kerana pada zaman penjajah dan awal kemerdekaan, tidak ramai orang Melayu bekerja dengan kerajaan sebagai pegawai.

Rata-rata orang Melayu yang terdiri daripada pesawah, penoreh dan nelayan berada dalam kemiskinan, iaitu 64.8 peratus berbanding bukan Melayu iaitu 26 peratus pada 1970.

Keadaan ini juga menunjukkan majoriti orang Melayu berada dalam kemiskinan, terutama di luar bandar. Kadar kemiskinan ialah 58.6 peratus berbanding bandar iaitu 24.6 peratus.

Kesan daripada peninggalan penjajah inilah, orang Melayu tertinggal sebagai pemerhati di sebalik kegiatan ekonomi dan perubahan yang sedang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Berdasarkan statistik 1970 di atas, maka Perkara 153 digunakan untuk mencapai tujuan ini, antaranya memberi kemudahan lesen perniagaan dan premis perniagaan yang strategik.

Faktor pembahagian kekayaan dan agihan pendapatan yang tidak adil dan tidak seimbang dalam kalangan rakyat paling kuat mempengaruhi hubungan etnik di Malaysia.

Dengan itu, Perkara 153 memperuntukkan bahawa orang Melayu mendapat keistimewaan dalam bidang ekonomi agar jurang perbezaan ekonomi dapat dihapuskan agar bangsa itu tidak terasa terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Hak istimewa pendidikan

Penjajah Inggeris telah meninggalkan sistem pendidikan yang terus mengekalkan orang Melayu dalam keadaan tertindas. Sistem pendidikan Inggeris ketika itu sekadar untuk menjadikan petani Melayu yang lebih baik daripada ibu bapa mereka.

Ini ditambah lagi dengan keadaan sekolah Melayu yang begitu teruk tanpa perabot yang cukup, kekurangan buku teks dan bahan bacaan serta ibu bapa Melayu sudah mula hilang kepercayaan terhadap sekolah Melayu.

Jumlah pelajar ijazah pertama di universiti awam (UA) pada 1970, Bumiputera ialah 40.2 peratus atau 3,084 pelajar berbanding bukan Bumiputera iaitu 59.8 peratus atau 4,593 orang.

Tahun sebelum 1970 jelas menunjukkan orang Melayu jauh ketinggalan dalam kemasukan pelajar ke Universiti Malaya (UM). Orang Melayu juga tertinggal dalam fakulti berteraskan sains berbanding bukan Melayu.

Sebagai contoh, di fakulti kejuruteraan, peratusan orang Melayu dalam sesi 1970/1971 ialah 0.16 peratus berbanding bukan Melayu (Cina) iaitu 9.64 peratus. Ini menunjukkan jurang perbezaan antara etnik dan menjauhkan lagi jurang golongan profesional dalam kalangan etnik.

Keadaan ini tidak begitu baik dalam konteks hubungan etnik di Malaysia kerana terdapat jurang perbezaan golongan profesional antara etnik.

Sebagai contoh, golongan profesional Bumiputera, iaitu arkitek, akauntan, jurutera, doktor, juru ukur dan peguam pada 1970 ialah 4.9 peratus atau 225 orang berbanding bukan Bumiputera iaitu 3,859 orang (84.3 peratus) dan masih ketinggalan pada kadar 38.8 peratus pada 2005.

Ancam perpaduan kaum

Kestabilan politik di Malaysia amat bergantung bagaimana diimbangi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan yang sah bagi etnik lain. Jika keseimbangan ini diganggu-gugat, kestabilan politik akan tergugat dan boleh ancam perpaduan kaum.

Maka, statistik pada 1970 mengenai orang Melayu dalam perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan mewajarkan Perkara 153 digunakan bagi memperbaiki ketidakseimbangan terbabit.

Sebagai contoh, Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah natijah daripada Perkara 153 untuk meramaikan orang Melayu dalam pendidikan tinggi negara, seterusnya memperbaiki jurang golongan profesional antara etnik.

Ternyata kegusaran dalam pemikiran rakyat Malaysia bahawa kedudukan Melayu akan tergugat dan terancam adalah kurang tepat dan bersifat persepsi semata-mata kerana mustahil ia dimansuhkan dalam perlembagaan melalui undi dua pertiga di Parlimen.

Diandaikan kerajaan memerintah mempunyai undi majoriti dua pertiga juga, peruntukan hak istimewa orang Melayu tetap sukar untuk dipinda atau dihapuskan kerana perlu mendapat perkenan MRR.

Namun, dari segi pelaksanaan dan operasi, ia boleh berlaku seperti sistem meritokrasi menggantikan keistimewaan kemasukan orang Melayu ke UA, selain kuota 10 peratus untuk bukan Melayu di kolej matrikulasi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Begitu juga tender terbuka berdasarkan merit yang juga menyalahi falsafah Perkara 153 di bawah peruntukan ekonomi. Jelas, hujah hak orang Melayu tidak tergugat adalah benar apabila dikaitkan dengan pemindaan dan pemansuhan perkara berkaitannya dalam perlembagaan. Hujah ia boleh tergugat juga benar jika melihat dari aspek pelaksanaan dan pengoperasian.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X