Selasa, 3 Julai 2018 | 6:40am
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . - Foto BERNAMA
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . - Foto BERNAMA

Jalan berliku menanti UMNO, Zahid Hamidi

ADAKAH kekalahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan UMNO Sabtu lalu menyebabkan kedudukan parti itu makin tertekan?

Kecuali Mas yang terus umum keluar parti, Khairy atau KJ dan Tengku Razaleigh atau Ku Li kekal setia, tetapi yang jelas ketiga-tiganya menyatakan kekecewaan dengan keputusan pemilihan.

Tanpa menyebutnya secara jelas, tetapi gambaran yang diberikan seperti mereka 'bosan' dengan sikap ahli UMNO yang tewas dengan suapan dan permainan politik wang dalam parti, selain dibelenggu 'kawalan warlords'

Dengan tekad memulihkan UMNO dan membawa perubahan dalam parti, mereka bertanding memegang jawatan bagi meneruskan kelangsungan perjuangan dan memenangkan semula parti pada PRU-15.

Malangnya, mereka yang masing-masing menang kerusi parlimen pada PRU-14 tidak berupaya mengekang gejala budaya negatif dalam parti yang diakui antara punca kekalahan teruk pada 9 Mei lalu.

Ku Li mahu 'bersara', KJ pula menolak tawaran Presiden baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melantiknya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Mas bertindak di luar dugaan sehingga meninggalkan UMNO kerana mahu menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah sebagai wakil rakyat bebas, tanpa perlu bernaung di bawah UMNO atau BN.

Mungkin disebalik melihat UMNO tidak ada masa depan selepas tewas PRU-14 dan tiada perubahan dalam UMNO, Mas tidak mahu terikat dengan parti itu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kelak.

KJ mahu tumpu Rembau

KJ pula memberikan alasan mahu menumpukan perhatian kepada tugas Timbalan Ketua Bahagian Rembau dan Ahli Parlimen kawasan itu, tetapi setia kepada UMNO.

Ia bercanggah dengan hasrat asal beliau mahu memulihkan UMNO dengan tumpuan memenangkan semula parti, selain menjadi pembangkang yang garang dalam Parlimen.

Beliau pasti kecewa kerana hasratnya memimpin UMNO sebagai presiden gagal, lantas menolak tawaran Ahmad Zahid melantiknya sebagai Setiausaha Agung BN.

Seorang pegawainya memberitahu jawatan yang ditawarkan itu tidak bermakna untuk beliau.

Tanpa menyebut jika ada jawatan lain yang beliau mahukan, pegawai itu hanya berkata jawatan yang ditawarkan 'tak best.'

Walaupun Ahmad Zahid memaklumkan manifesto dua calon presiden yang kalah akan dilaksanakan, KJ dan Ku Li seperti tidak berminat bekerja di bawah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Kalau KJ sedia bekerja bersama Ahmad Zahid, pasti beliau tidak bertanding presiden, sebaliknya kekal dengan hasrat awal merebut jawatan naib presiden yang lebih mudah untuk dimenangi.

Namun, apabila Ku Li mengumumkan masuk gelanggang, KJ mengubah pendirian untuk sama-sama bertarung pada saat akhir hari penutup pencalonan.

Beliau mungkin melihat undi pecah kepada tiga mencerahkan peluangnya untuk menjadi presiden ketujuh UMNO, sekali gus membolehkannya melaksanakan manifesto dan perancangannya.

KJ pernah berkata, beliau bukan bertanding untuk memenangkan orang lain, sebaliknya bertarung untuk menang. Ini bukti beliau tidak mahu berketuakan Zahid atau Ku Li, tetapi mahu menjadi ketua.

Karier politik sampai penghujung

Bagi Ku Li pula, kekalahan kedua dalam usaha menjadi presiden menjadikan karier politiknya sudah sampai ke penghujung dengan catatan rekod tertinggi dalam UMNO setakat jawatan Naib Presiden.

Sebenarnya ini kali ketiga beliau tewas merebut jawatan utama selepas kecundang di tangan Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Perdana Menteri dan presiden pada 1981.

Pada 1987 beliau sekali lagi tewas tipis 47 undi, kali ini di tangan Dr Mahathir untuk jawatan presiden sehingga membuat percubaan 'terakhir' pada Sabtu lepas.

Selepas keputusan kelmarin, ramai yang membuat komen dan menyatakan kekecewaan terhadap UMNO. Ahli dan penyokong parti bimbang dengan pengaruh warlords yang masih kukuh, menyebabkan UMNO masih di takuk lama.

Mereka ragu-ragu dengan kemampuan Ahmad Zahid dan barisan kepemimpinan beliau yang majoritinya muka lama serta ramai pelaku dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak yang kurang wibawa untuk memulih dan merubah nasib parti.

Nampaknya Ahmad Zahid terpaksa melalui jalan berliku untuk bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai lima tahun 'belajar' mentadbir dan menguruskan negara, sekali gus membuktikan ia patut menjadi pilihan rakyat.

Jika beliau gagal menarik balik sokongan rakyat, maka hujung terowong UMNO akan terus malap tanpa cahaya.

Berita Harian X