Selasa, 1 Mei 2018 | 6:21am

Pertembungan dua pemimpin menjelang 9 Mei

BEBERAPA peristiwa yang berlaku sebelum ini mempengaruhi strategi parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Malaysia, 9 Mei ini, sekali gus menyaksikan pertembungan sengit di antara dua pemimpin.

Keadaan itu akan memaksa lebih banyak pendedahan mengenai hubungan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak yang juga anak Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Najib dikatakan sudah bersedia untuk melepaskan diri daripada 'bayangan' Dr Mahathir dan meneruskan visi transformasinya untuk memajukan Malaysia.

Hubungan kedua-dua pemimpin itu bermula ketika Dr Mahathir dibawa masuk semula ke dalam UMNO, oleh Tun Abdul Razak pada 1971, selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman.

Dr Mahathir yakin dengan menjadi mentor kepada Najib, beliau sudah menyelesaikan hutangnya kepada Tun Abdul Razak yang menerimanya kembali ke dalam UMNO, selain tidak mengganggu Najib yang mengendalikan perjalanan politiknya dengan baik.

Asas Najib dalam politik lebih kukuh, iaitu beliau ialah anak Perdana Menteri kedua dan juga anak saudara kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Permulaan kerjaya Najib dalam politik bermula seawal usia 23 tahun dan beliau sudah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet.

Najib juga dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 1982 hingga 1986 dan kemudian berkhidmat dalam pelbagai portfolio lain, termasuk Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan serta Menteri Belia dan Sukan.

Hubungan Dr Mahathir-Najib mula tegang pada 2009 apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir berusaha merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO dan kalah dengan Khairy Jamaluddin. Meskipun berdepan kekalahan, Mukhriz belum berputus asa.

Menarik sokongan

Mukhriz, yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 2013, kemudiannya turut mengimpikan jawatan Naib Presiden UMNO.

Beliau kemudiannya sekali lagi berdepan kekalahan dengan sepupu Najib, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan masih bertegas untuk dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi sebelum ditolak kerana Najib sebagai Perdana Menteri, lebih yakin Mukhriz perlu membuktikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Kedah.

Susulan penolakan itu, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Penasihat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada Disember 2013 dengan alasan masalah kesihatan.

Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat pada hari pertama mesyuarat Majlis Tertinggi dan sehari selepas pemilihan UMNO. Ia cara Dr Mahathir menunjukkan kekecewaan terhadap keputusan Najib.

Meskipun menyatakan kebimbangan terhadap tahap kesihatan, Dr Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi PROTON Holdings Bhd pada Mei 2014.

PROTON pada ketika itu berdepan kerugian dan memerlukan geran kerajaan sehingga RM3 bilion sebagai suntikan dana kepada syarikat itu, namun permohonan geran itu ditolak.

Pada Ogos tahun sama, Dr Mahathir kemudian menarik sokongannya terhadap Najib.

Dr Mahathir sentiasa yakin beliau akan menang dan disebabkan itu beliau sanggup berbuat apa saja dan menggunakan taktik kotor untuk memenuhi prinsipnya.

Dr Mahathir sanggup mengatakan apa saja yang ingin didengari rakyat semata-mata untuk menang kerana tidak mahu kalah dengan protegenya.

Ramai juga yang percaya ketidakpuasan Dr Mahathir disebabkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Najib dan persepsi yang mengatakan beliau lebih mengutamakan produk import, berbanding tempatan dengan tindakannya tidak menyokong DRB-Hicom.

Transformasi Malaysia

Najib bukan sengaja menjarakkan diri daripada bekas mentornya tetapi beliau perlu membuat peran

cangan transformasi, selain memperbetulkan masalah yang sudah berlaku sebelum ini.

Najib enggan mengulangi kembali kesilapan yang dibuat pada zaman kepemimpinan Dr Mahathir, khususnya mengenai penswastaan aset kerajaan kepada kroni yang tidak layak.

Najib ialah mangsa daripada keikhlasannya untuk mentransformasi Malaysia. Jika beliau memenuhi tuntutan Dr Mahathir, ia bermakna status quo dan tidak akan ada transformasi.

Dr Mahathir tersilap perkiraan dan mengandaikan Najib seorang individu yang mudah dijatuhkan ketika pemimpin itu sedang berusaha memenuhi visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, maju dan inklusif.

Dalam keadaan Najib memiliki sokongan kuat dalam UMNO, Dr Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain bertindak pantas dengan mencari tapak kuasa baharu, sehingga membawa kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang, yang sebelum ini menjadi musuhnya.

Mereka kembali bekerjasama dengan musuh. Ironinya, pakatan kini berubah fikiran daripada ingin menjatuhkan Dr Mahathir dengan alasan menyelamatkan Malaysia, kepada membawa masuk bekas Perdana Menteri itu untuk menjadikannya kembali berkuasa bagi menyelamatkan negara ini.

Berdasarkan ucapan manifesto beliau, Dr Mahathir juga tidak mempedulikan kepentingan masa depan negara. Paparan video di Youtube menunjukkan, beliau sebenarnya menyebut mengenai manifesto itu hanya tiga kali, sementara nama Najib disebut sebanyak 120 kali.

Kemudiannya, ketika ditanya mengenai manifesto itu, Dr Mahathir juga tidak tahu apa yang dijanjikan, malah mengakui manifesto itu tidak realistik seperti menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta tol.

Bagi Dr Mahathir, ia sekadar 'alat' untuk menentang dan memalukan Najib, semata-mata memenuhi keperluan beliau untuk membalas dendam.

Jika Najib memenuhi setiap tuntutan Dr Mahathir dan menyokong hasrat Mukhriz, maka tidak akan ada sebarang serangan balas itu.

Berdasarkan aspek politik dan ekonomi, tunduk kepada tuntutan Dr Mahathir menjadikan Malaysia terus mengalami pengagihan pendapatan tidak seimbang serta mewujudkan jurang lebih besar antara golongan kaya dan miskin.

Sedangkan apa yang Najib mahukan ialah Malaysia menjadi lebih inklusif, dengan rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak turut menikmati pembangunan sama seperti di Semenanjung.

Sebelum ini, Dr Mahathir juga tidak menyokong bantuan wang tunai daripada kerajaan, iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelaksanaan gaji minimum, sedangkan dua inisiatif itu untuk membantu menjadikan Malaysia lebih seimbang terutama dalam meningkatkan pendapatan isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40).

Justeru, pada PRU yang diadakan pada 9 Mei ini, semua penganalisis dan laporan bank termasuk media asing menjangka BN akan kembali berkuasa.

Pakatan Rakyat, iaitu gabungan politik terdiri daripada PKR, DAP dan PAS dilihat lebih kukuh pada PRU sebelum ini disebabkan sokongan kuat PAS, iaitu parti politik kedua terbesar di negara ini.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat tumbang pada PRU-13 selepas DAP dan PAS gagal bersependapat dalam pelaksanaan undang-undang syariah.

Ia membawa kepada pembentukan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mendengar maklum balas akar umbi, beliau percaya Dr Mahathir akan gagal membangkitkan 'tsunami Melayu' seperti yang diharapkan pakatan pembangkang.

Maklum balas itu juga jelas menunjukkan ramai yang terkejut dengan tindakan pakatan yang kini bekerjasama dengan musuh mereka. Mungkin akan ada tindak balas di atas tindakan mereka itu kerana mengkhianati kepercayaan serta prinsip perjuangan parti sebelum ini.

Dalam keadaan itu, tidak mungkin Dr Mahathir serta sekutunya akan memenangi pilihan raya akan datang dan mereka juga tidak akan membiarkan Dr Mahathir melaksanakan perancangannya.

Saya hanya bimbang Dr Mahathir dan penyokong akan kecewa kerana mereka mungkin dikhianati, disebabkan PKR sebelum ini sudah menyatakan akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat tuduhan terhadap Dr Mahathir, sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Dari aspek ekonomi pula, penganalisis bank menyatakan kemenangan BN pada PRU kali ini akan meneruskan pertumbuhan dan rangsangan positif terhadap ekonomi negara untuk terus bergerak ke depan.

Bagaimanapun, jika pakatan pembangkang menang, ia bermakna pengaliran keluar dana, kejatuhan nilai ringgit dan ketidakupayaan Malaysia untuk mencapai sasarannya, ia berlaku jika pakatan pembangkang memenuhi janji dan melaksanakan manifesto mereka.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN)

Berita Harian X