Khamis, 6 Jun 2024 | 1:21pm
Shah bersama antara 25 eBikes Lazada pada majlis pelancaran kerjasama dengan syarikat eDagang Lazada, baru-baru ini. (Foto Aziah Azmee/BH)
Shah bersama antara 25 eBikes Lazada pada majlis pelancaran kerjasama dengan syarikat eDagang Lazada, baru-baru ini. (Foto Aziah Azmee/BH)

Gentari, Lazada bekerjasama pacu usaha terap mobiliti hijau

Petaling Jaya: Gentari Sdn Bhd (Gentari) memuji langkah kerajaan memacu pencapaian Pelan Hala Tuju Gabungan Tenaga Nasional melalui inisiatif yang menggalakkan lebih banyak kapasiti tenaga boleh diperbaharui dibangunkan dalam negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli, berkata kerajaan, melalui Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) membenarkan pembekal tenaga bebas untuk menjual elektrik terus kepada penggunaa.

"Kami melihatnya sebagai langkah positif kerana ia akan membantu mempercepatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negara ini dan menunggu butiran lanjut mengenai mekanisme apabila ia tersedia.

"Ini akan membantu memenuhi keperluan syarikat seperti Lazada, sebagai contoh, untuk menyahkarbon pengangkutan itu lebih jauh," katanya

Shah berkata, pada masa ini apa yang dilihat adalah perkembangan yang besar dalam sektor automotif dari segi penggunaan kenderaan elektrik dan perkembangan infrastruktur mengecas perlu dipercepatkan lagi.

Gentari melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd memperluaskan lagi usahanya untuk memacu penggunaan mobiliti hijau melalui penyelesaian kenderaan elektrik (EV).

Shah berkata, menerusi inisiatif terbaru syarikat itu, Gentari Green Mobility menawarkan pajakan kenderaan elektrik, termasuk kenderaan elektrik seperti dua roda, tiga roda dan empat roda.

"Kami juga mempunyai banyak jenis kenderaan komersial berat seperti van, trak dan kami memajakkan kenderaan ini kepada syarikat melalui persefahaman antara syarikat (B2B) yang berhasrat menyahkarbonkan kenderaan mereka," katanya kepada media ketika majlis pelancaran mengumumkan kerjasamanya dengan syarikat eDagang Lazada.

Shah berkata, perkhidmatan ditawarkan Gentari meliputi infrastruktur seperti titik pengecasan, stesen pengecasan dan stesen pertukaran bateri yang baharu di negara ini.

"Kami juga menyediakan platform digital yang membolehkan perniagaan menguruskan keperluan pengecasan kenderaan mereka," katanya.

Perkukuh perniagaan

Menurutnya, Gentari semakin mengukuhkan perniagaan di Malaysia. 

Pada majlis itu, Gentari mengumumkan kerjasamanya dengan syarikat eDagang Lazada untuk merintis elektrifikasi operasi logistiknya dengan pengenalan 25 eBikes untuk urusan penghantaran.

"Untuk membantu mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan, Gentari memperkenalkan kenderaan dua roda elektrik sebagai sebahagian daripada tawaran Kenderaan-sebagai-Perkhidmatan kami, yang disasarkan untuk memudahkan perniagaan beralih kepada EV.

"Kami teruja bekerjasama dengan Lazada dalam menyahkarbonkan operasi armada logistik mereka," katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 13 juta motosikal di negara ini dan 100 ribu daripadanya ialah untuk tujuan penghantaran barangan.

"Apabila kita bercakap mengenai kenderaan elektrik, peralihan bukan hanya untuk pemandu empat roda, tetapi merangkumi segmen lain seperti penunggang motosikal juga.

"Peralihan mobiliti hijau bukan sahaja untuk perniagaan tetapi juga membolehkan ia menjadi inklusif kepada segmen ekonomi gig dan penunggang motosikal," katanya.

Dengan visi menjadi rakan kongsi penyelesaian tenaga bersih Asia Pasifik yang paling bernilai, Gentari komited untuk memastikan keselamatan, kebolehpercayaan, kemudahan dan nilai untuk pelanggannya.

Pada masa ini, Gentari mempunyai rangkaian stesen pengecas EV berlesen terbesar di Malaysia dan dengan matlamat untuk menyediakan sambungan pengecasan setiap 100 kilometer di seluruh negara.

Gentari menyokong peralihan negara kepada pengangkutan mampan dengan keyakinan rangkaian yang lebih besar.

"Gentari mempunyai lebih 400 titik pengecasan Gentari EV, termasuk 120 pengecas pantas DC, menjadikan kami pengendali pengecas pantas terbesar di seluruh negara.

"Dengan pengecas yang tersebar di 105 lokasi, kami menyediakan penyelesaian pengecasan yang boleh dipercayai dan cekap,memastikan penyepaduan EV yang lancar ke dalam operasi harian untuk perniagaan dan individu," katanya.

Berita Harian X