Khamis, 6 Jun 2024 | 8:33am

Penggunaan gajet keterlaluan jejas mental kanak-kanak

TELEFON pintar sudah menjadi komponen penting dalam kehidupan moden. Ia bukan sahaja alat untuk berkomunikasi, ia juga sumber hiburan dan pendidikan.

Walaupun manfaatnya jelas, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan oleh kanak-kanak boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.

Peribahasa bagai api dalam sekam jelas menggambarkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak. Penggunaan berlebihan dan ketagihan adalah impak utama yang akan terjadi jika tidak dipantau.

Hal ini boleh berlaku apabila kanak-kanak menggunakan telefon bimbit untuk bermain permainan, menonton video, melayari media sosial. Ia menjadikan kanak-kanak kekurangan interaksi sosial bersama keluarga dan rakan, sekali gus mengurangkan kemahiran dalam berkomunikasi.

Ia juga boleh menjadi asbab pembelajaran terganggu, misalnya oleh kerana pelbagai notifikasi dan aplikasi media sosial yang ada, fokus pembelajaran mereka akan terjejas.

Ganggu corak tidur, jejas kesihatan

Telefon mudah alih yang digunakan pada waktu malam boleh mengganggu corak tidur, sekali gus menjejaskan tumpuan dan prestasi mereka di sekolah. Hal ini akan mengurangkan masa mereka untuk belajar, membuat tugasan atau terbabit dalam aktiviti akademik yang lain.

Jika dilihat dari segi kesihatan pula, penggunaan telefon bimbit yang keterlaluan boleh menjejaskan mereka dari segi fizikal mahupun mental. Terdedah kepada media sosial dan aplikasi lain boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan atau perbandingan sosial yang negatif, memberi kesan kepada kesihatan mental kanak-kanak. Ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti, sakit leher dan masalah penglihatan.

Di samping itu, jenayah siber kini tertumpu pada kanak-kanak dan remaja kerana mereka lebih mudah diumpan dan ditipu. Malah, mereka turut terdedah dengan buli di alam siber.

Jadi, ibu bapa harus memantau penggunaan telefon bimbit anak mereka. Pendidikan berterusan juga perlu diberikan supaya mereka tahu cara menggunakannya dengan lebih berhemah dan selamat.

Norazliza Alding, Sandakan, Sabah

Berita Harian X