Selasa, 7 Mei 2024 | 11:20am
Lapangan terbang aset strategik negara. - NSTP/FOTO HIASAN
Lapangan terbang aset strategik negara. - NSTP/FOTO HIASAN

Segera naik taraf, tambah baik kemudahan lapangan terbang negara

Sekitar dua bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 mahu agar projek penyelenggaraan dan penambahbaikan lapangan terbang perlu disegerakan bagi menerima pelancong dari luar negara.

Sambil mengingatkan bahawa kemudahan terbabit perlu efisien bagi mengelakkan kesesakan, beliau pada masa sama menggesa agar projek naik taraf aerotren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu disiapkan dengan cepat, bukannya dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Membaca laporan media mengenai kenyataan Perdana Menteri pada Februari lalu itu, saya sangat berharap lapangan terbang kita menjadi seperti apa dimahukan beliau, efisien dalam operasi dan selesa untuk penumpang yang ribuan jumlahnya saban hari atau puluhan ribu semasa musim perayaan seperti baru-baru ini.

Saya antara puluhan ribu penumpang yang pulang berhari raya di kampung pertengahan April lalu, menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Rasa teruja mahu pulang berjumpa ibu bapa dan saudara mara di Sabah berubah kecewa melihat keadaan di lapangan terbang sesak dan mencetuskan suasana tidak selesa dengan kemudahan yang ada pula tidak mencapai standard yang sepatutnya ada di pintu keluar masuk utama negara.

Ada juga rakan-rakan yang mengadu khidmat pengangkutan e-hailing sukar diperoleh pada waktu tertentu, lalu terpaksa beratur panjang menunggu teksi yang sesetengahnya dalam keadaan kurang memuaskan, termasuk juga teksi kelas premium.

Pandangan peribadi saya, lapangan terbang kita tidak seperti dahulu lagi, ada banyak yang perlu ditambah baik, dari sekecil-kecil isu teksi sehinggalah masalah pendingin hawa dan keadaan tandas.

Malah, isu tandas berbau, pendingin hawa dan kerusi tidak mencukupi di KKIA turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

Di KLIA pula, khidmat aerotren antara bangunan utama dan bangunan satelit sudah lama digantung, iaitu sejak Mac tahun lalu kerana kerap rosak, sekali gus menyaksikan penumpang terpaksa beratur lama untuk menaiki bas sebagai ganti.

Laporan media pada Mac lalu memetik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan khidmat aerotren dijangka dapat beroperasi semula menjelang penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya Mac 2025.

Lapangan terbang aset strategik negara

Sementara menunggu perkidmatan itu beroperasi semula dan sementara menanti apa yang dimahukan Perdana Menteri menjadi nyata, tidak semestinya pihak bertanggungjawab sekadar memeluk tubuh dan menunggu sahaja tanpa berbuat apa-apa.

Khidmat teksi dan bas contohnya, andai belum ditambah baik, boleh dimulakan segera. Pastikan kedua-dua perkhidmatan pengangkutan itu pada tahap terbaik dan rasanya reformasi yang diperlukan bagi tujuan itu tidaklah begitu sukar.

Perlu diingat, lapangan terbang adalah aset strategik negara, imej Malaysia boleh terjejas jika kualiti perkhidmatan tidak diendah. Bagaimana mahu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur luar apabila kemudahan di pintu keluar masuk utama itu seperti di negara dunia ketiga?

Pastinya, kita tidak mahu kedudukan KLIA terus merudum selepas turun daripada kedudukan 68 kepada 71 dalam senarai Lapangan Terbang Terbaik Dunia Skytrax 2024, hasil tinjauan pendapat dikumpul antara Ogos 2023 hingga Mac 2024 daripada pengembara 100 negara.

Pastinya juga, kita tidak mahu lebih jauh ditinggalkan negara jiran yang lapangan terbangnya di Jakarta melonjak 15 anak tangga daripada 43 kepada 28, apatah lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura yang saban tahun bersaing merebut gelaran terbaik.

Baru-baru ini, akhbar The Straits Times melaporkan bahawa jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi suku pertama tahun ini telah melebihi tahap prapandemik.

Kira-kira 16.5 juta penumpang menggunakan lapangan terbang terbabit dari Januari hingga Mac tahun ini atau peningkatan 0.5 peratus daripada apa yang dikendalikan oleh lapangan terbang itu pada suku pertama 2019.

Bagaimana kita mahu bersaing dengan negara jiran itu jika lapangan terbang kita masih bergelut dengan masalah asas seperti tandas dan pendingin hawa? Di mana maruah kita?

Saya berharap pihak bertanggungjawab berhenti memberi alasan dan segera memperbetulkan keadaan. Jika tidak mampu melaksanakan perubahan, boleh dapatkan bantuan daripada individu atau organisasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Ahmad Tarmizi Rahman

Kepong, Kuala Lumpur

Berita Harian X