Sabtu, 20 April 2024 | 9:17am
Foto hiasan
Foto hiasan

Juru X-ray beri sumbangan penting dalam bidang perubatan

Di sebalik topik perbincangan membina kerjaya, sering kali kita terlepas pandang kepada satu kelompok individu yang tidak kurang hebatnya, bekerja dengan penuh dedikasi di sebalik cahaya gelombang, juru X-ray. Mereka adalah sekumpulan individu yang tidak terpisah daripada sistem kesihatan, tetapi malangnya, sumbangan dan kepakaran mereka jarang sekali didendangkan.

Secara umum banyak mitos yang melingkari kerjaya ini misalnya tanggapan kononnya juru X-ray hanyalah 'pencetak gambar' atau 'penjaga butang' instrumen perubatan.

Namun, realitinya lebih kompleks. Mereka adalah individu yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai anatomi manusia, teknologi radiografi, subjek fizik radiasi dan prinsip keselamatan radiasi. Mereka juga sebahagian pasukan perubatan yang menghasilkan diagnosis tepat sesuatu penyakit dengan menggunakan pelbagai instrumen berteknologi tinggi dan terkini.

Dalam situasi pesakit mengalami kemalangan, mereka akan dihantar ke unit kecemasan hospital atau klinik terdekat terlebih dahulu. Di situ pesakit akan melalui penilaian kecemasan di unit radiologi sebelum doktor dapat memberikan rawatan yang tepat.

Pakar kecemasan harus mengenal pasti sekiranya pesakit patah tulang, sama ada berlaku keretakan atau pendarahan organ dalaman. Maka, hasil pemeriksaan juru X-ray melalui beberapa instrumen berkaitan akan membantu doktor membuat diagnosis lebih tepat untuk rawatan sesuai.

Jadi mereka bukan 'penekan butang' semata-mata, sebaliknya berpengetahuan tinggi dalam teori fizik, mahir mengendalikan instrumen dan juga diagnosis penyakit yang dihidapi berdasarkan imej diagnostik yang terhasil.

Namun, kurangnya pengetahuan dan penghargaan terhadap bidang ini menyebabkan profesion juru X-ray kurang jadi pilihan. Sedangkan kerjaya itu adalah tulang belakang sistem kesihatan. Tanpa mereka proses diagnostik akan tergugat dan mengakibatkan rawatan sukar dipastikan.

Bimbang terdedah sinar radiasi

Kerjaya ini juga dihantui stigma, iaitu kebimbangan umum terhadap pendedahan sinar radiasi. Meskipun perkembangan teknologi yang pesat sudah mampu meminimumkan risiko, namun ketakutan akan kesan sampingan radiasi masih menghantui ramai orang.

Antara kebimbangan umum adalah risiko mandul yang sebenarnya adalah mitos sedangkan kemungkinan itu sangat kecil jika ada pemahaman dan pelaksanaan prosedur kerja yang betul.

Selain itu, dalam kalangan pelajar sudah ada tanggapan kononnya Fizik dan Anatomi adalah subjek 'membunuh' dan sukar. Tanggapan begini sudah dimomokkan sejak di bangku sekolah rendah memberikan kesan kepada aliran Sains.

Dalam bidang pengimejan perubatan, subjek Fizik yang perlu dikuasai hanyalah pada peringkat asas. Pada peringkat diploma pula pelajar akan mempelajari subjek Fizik Radiasi. Subjek ini pada dasarnya sangat menarik kerana kita akan tahu bagaimana gelombang X itu dihasilkan dan seterusnya penghasilan bentuk imej yang banyak diguna pakai dalam bidang perubatan.

Momokan 'takut tiada kerja' jika memilih bidang ini seharusnya bukan lagi isu utama yang harus diperbesarkan. Ini kerana ramai lulusan bidang ini bertugas di pelbagai hospital, institusi berkaitan' malah ada bertugas di luar negara.

Justeru, penting kita membuang stigma, mitos dan ketakutan tidak bersandarkan fakta. Hanya dengan pemahaman yang mendalam mengenai tugas juru X-ray dalam sistem kesihatan, kita dapat menghargai sumbangan yang mereka berikan.

Maka dari itu, mari kita bersama-sama mengangkat status juru X-ray sebagai wira moden yang patut dikenang dan dihormati.

Penulis adalah Pelajar PhD

Berita Harian X