Khamis, 18 April 2024 | 1:09pm
Foto hiasan. - Foto BERNAMA
Foto hiasan. - Foto BERNAMA

Utamakan keselamatan, kualiti makanan elak keracunan

Di Malaysia, kejadian keracunan makanan sepanjang Syawal dilaporkan meningkat sebanyak 11 peratus pada 2023, iaitu sebanyak 36 kejadian berbanding 32 kejadian pada 2022.

Antara faktor utama penyumbang kepada kes keracunan makanan itu adalah berlakunya pencemaran silang, pengabaian suhu memasak atau suhu penyimpanan dan teknik masakan yang tidak betul. Ia juga boleh disebabkan oleh faktor dihidangkan dalam tempoh lama.

Bagi kes keracunan makanan yang berlaku pada Syawal tiga tahun ke belakang dikesan berpunca daripada ayam yang terdedah kepada kuman Salmonella spp diikuti Bacillus cereus dan Staphylococcus aureus.

Justeru, dalam kemeriahan menyambut hari raya yang masih hangat sudah semestinya ia akan dilengkapkan dengan hidangan lazat dan menyelerakan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memberi keutamaan kepada keselamatan hidangan bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap perhati dan pilih apabila hendak membeli makanan siap mahupun bahan mentah. Pastikan dalam membeli makanan, utamakan produk yang mempunyai logo keselamatan, iaitu label MeSTI. Bagi mereka yang ingin makan di restoran mahupun gerai makanan pula, pilih restoran atau gerai makanan yang mempunyai logo pengiktirafan BeSS. Bagi yang bercadang ingin mengadakan majlis rumah terbuka pula, pilih katerer yang dipercayai yang mempunyai pengiktirafan Trust MyCatering.

Pada masa sama, masyarakat juga disarankan untuk mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati juadah raya yang dihidangkan. Lihat bagi memastikan keadaan fizikal makanan tiada bendasing seperti ulat atau rambut dan tidak berlendir, berbuih atau berkulat. Hidu untuk memastikan makanan tidak berbau masam, basi atau busuk, manakala rasa sedikit terlebih dahulu makanan sebelum makan bagi memastikan ia tidak masam atau basi.

Makanan cepat basi 

Pada keadaan cuaca semasa yang melanda negara, makanan akan menjadi cepat basi kerana pertumbuhan bakteria yang tinggi dan cepat apabila suhu panas.

Justeru bagi mereka yang sibuk menyediakan juadah hari raya untuk seisi keluarga, amalkan tips keselamatan makanan di rumah, iaitu amalkan kebersihan diri dan cuci tangan sebelum mengendali makanan; pilih bahan mentah yang segar; cuci bahan mentah dengan bersih; masak makanan dengan sempurna; guna peralatan yang bersih dan tidak sumbing; tutup makanan dengan sempurna; pastikan tempoh hidangan tidak melebihi empat jam daripada makanan dimasak; elakkan pemanasan berulang; jangan simpan makanan dalam peti sejuk lebih daripada tiga hari dan buang segera sisa makanan

Bagi Kementerian Kesihatan (KKM), Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menetapkan agenda utama keselamatan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan bagi memastikan setiap rakyat mendapat makanan yang selamat dan berkualiti. Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya digubal untuk melindungi kesihatan pengguna.

Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan setiap pengendali makanan untuk mengikuti program Latihan Pengendali Makanan (Peraturan 30) bagi mendedahkan mereka kepada kaedah pengendalian makanan yang selamat.

Selain itu, pengendali makanan juga diwajibkan mendapatkan vaksinasi antitifoid (Peraturan 31) bagi memastikan bebas penyakit bawaan makanan.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh PKKM untuk melindungi orang awam daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan. Ini termasuk pemerkasaan industri makanan dan pengguna dalam pembudayaan keselamatan dan kualiti makanan.

Melalui cogan kata "Keselamatan Makanan Tanggungjawab Bersama' yang dibawa oleh PKKM, kementerian sudah mewujudkan pelbagai inisiatif dalam mendidik masyarakat untuk membudayakan keselamatan makanan dalam kesihatan seharian sebagai usaha bagi mengurangkan risiko keracunan dan pencemaran makanan.

Pembudayaan keselamatan makanan melalui kempen Budaya 3M sudah dimulakan pada 2021. Budaya 3M atau memasak, memilih dan melaksana kendiri adalah penerapan amalan kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan kepada masyarakat, pengguna dan pengendali makanan. Ia menjadi kunci utama dalam mengelakkan keracunan serta penyakit bawaan makanan.

Penulis adalah Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia

Berita Harian X