Selasa, 16 April 2024 | 10:05am

Guna ilmu geopolitik nilai sesuatu isu antarabangsa dengan berasas

ISU politik antarabangsa kerap menjadi perbualan dan perdebatan. Hal ini kerana pelbagai kaedah boleh digunakan untuk memahaminya. Walau bagaimanapun, dalam era keterbukaan maklumat, ramai orang awam dilihat suka menerima segala informasi tanpa tapisan. Misalnya, ada yang mencela sesebuah negara kerana tindakan yang seolah-olah tidak mahu memberi bantuan kepada negara yang bergolak.

Sebagai contoh, negara Malaysia sendiri pernah dikritik oleh segelintir masyarakat apabila tidak menghantar bantuan ketenteraan ke Palestin. Ini termasuk juga negara Arab Saudi yang dikritik apabila seolah-olah tidak mahu menghulurkan bantuan kepada Palestin. Bagi mereka yang mempunyai ilmu hubungan antarabangsa, ia satu kritikan yang tidak berasas.

Namun kritikan ini adalah biasa bagi mereka yang kurang pendedahan hubungan antarabangsa. Oleh itu, pentingnya bagi masyarakat untuk memahami satu bidang yang dinamakan geopolitik.

Geopolitik adalah bidang pengajian yang penting untuk memahami dinamik politik antarabangsa. Ia menyediakan satu struktur berasaskan fakta yang sistematik bagi memahami hubungan antarabangsa dengan menganalisa pengaruh geografi terhadap kuasa politik sesebuah negara di peringkat antarabangsa.

Memandangkan politik antarabangsa adalah satu bidang yang kompleks di mana pelbagai faktor seperti kuasa ekonomi, ketenteraan dan budaya berinteraksi. Geopolitik membantu menganalisis kerumitan ini daripada pelbagai perspektif, membolehkan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai isu antarabangsa.

Ini menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai konflik, dasar luar dan kerjasama antara negara melalui kajian geografi politik, ekonomi, sejarah dan budaya.

Sebagai contoh, apabila negara Arab Saudi dikritik kerana tidak mahu menghantar bantuan langsung termasuk ketenteraan kepada Palestin. Kita perlu faham bahawa Arab Saudi sendiri terbabit dengan pergolakan yang berlaku di Asia Barat.

Malah, Arab Saudi sudah menerima jumlah pelarian yang tinggi dari negara jiran yang bergolak dan juga warga asing. Pada 2022, jumlah warga asing di Arab Saudi sudah mencecah 13 juta daripada 32 juta populasi di negara itu. Ditambah pula dengan keadaan Arab Saudi yang sedang dalam proses pembangunan pelan The Line iaitu satu projek mega yang terbesar di dunia buat masa ini.

Faktor Arab Saudi tak bantu Palestin

Mengambil kira kepentingan negara itu dan hubungan antarabangsa bersama kuasa dunia yang lain seperti China dan Amerika Syarikat menjadi faktor mengapa Arab Saudi tidak membantu Palestin secara langsung.

Justeru, kita dapat lihat bahawa terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira apabila membincangkan soal politik antarabangsa. Jadi dengan ilmu geopolitik, maka pemahaman kita akan menjadi lebih menyeluruh dan kritikan yang diberi akan menjadi satu analisis yang berasas.

Oleh itu, ilmu geopolitik perlu diguna pakai bagi memahami politik antarabangsa memandangkan ia berdasarkan analisis hubungan antarabangsa yang menyeluruh. Kita seharusnya sedar bahawa sesuatu ilmu itu perlu ada asasnya sebelum ia boleh diterima dan diguna pakai.

Pemahaman mengenai dinamik kekuasaan, konflik dan kerjasama antara negara dapat membantu masyarakat untuk menilai sesuatu isu antarabangsa dengan berasas. Jadi sebagai langkah awal, usaha untuk mencari ilmu itu perlu dilakukan melalui rujukan yang sahih dan mengutamakan pendekatan ilmiah dalam memahami serta memberi tindak balas terhadap isu politik antarabangsa. Dari padi yang jernih, mana mungkin mengalir air yang keruh.

Ahmad Zarif Zulkiflee, Hulu Bernam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X