Selasa, 26 March 2024 | 10:22am

Guru muda perlu tingkat penguasaan digital

DALAM menjayakan aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD), peranan pendidik terutama guru muda amat signifikan. Ini kerana golongan pendidik berusia 40 tahun ke bawah itu sering dikaitkan sebagai kelompok lebih mudah menerima dan membuat perubahan kepada amalan pengajaran berbanding guru senior.

Lebih-lebih lagi, ketidaktentuan global seperti pandemik memberi cabaran dan peluang mempercepat aplikasi serta adaptasi teknologi digital dalam pendidikan. Malah, tinjauan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati guru muda di rantau ini optimis terhadap kesan teknologi terhadap pengajaran, sekali gus menunjukkan penyesuaian dalam menghadapi ketidakpastian dan cabaran semasa wabak dengan membiasakan urusan kerja dan sekolah dengan teknologi digital.

Natijahnya, ia membantu mereka menjangkau lebih ramai pelajar secara serentak di luar bilik darjah fizikal. Ini bermakna ia membantu mereka meningkatkan kompetensi digital secara berterusan.

Namun, kumpulan rentan diselubungi masalah kekurangan akses kepada internet dan literasi digital dilaporkan menghadapi masa lebih mencabar serta sering tercicir.

Pada dasarnya, kita memerlukan sistem pendidikan lebih komprehensif pada pelbagai peringkat dan lebih ramai profesional untuk menambah baik pengalaman pengguna.

Tahap Kompetensi Digital Guru diukur Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2021 mendapati hanya 6,442 daripada 297,018 guru atau 2.2 peratus sahaja berada pada tahap lanjutan.

Ini menunjukkan penguasaan pendidik meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan teknologi digital berada pada tahap kritikal. Jadi, pengupayaan pendidik dan pemimpin pendidikan adalah bermakna bagi melahirkan generasi fasih digital.

Sebagai kesinambungannya, guru muda boleh menampilkan teladan dalam ekosistem digital seperti menerapkan komponen digital dalam kaedah perancangan bahkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), memanfaatkan pedagogi inovatif dan melaksanakan kajian tindakan berteraskan gamifikasi.

Sinonim dengan itu, guru muda bertindak sebagai ejen pemangkin untuk semua menguasai kemahiran digital, di samping membangunkan profesionalisme guru dan integrasi sosial.

Penekanan aspek pendidikan digital selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Ke-4 (SDG4), iaitu mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan matlamat ke-10, iaitu mengurangkan ketidaksamaan.

Pada pengamatan penulis, guru muda mempunyai lebih banyak ruang untuk belajar dan belajar semula daripada cabaran COVID-19. Mereka hanya perlu diberi peluang dan sokongan untuk tampil lebih tangkas menyesuaikan diri, bertindak dalam pendekatan lebih bersepadu dengan mengambil kira kesalinghubungan melalui teknologi digital dan menjadikan sesuatu mustahil kepada kemungkinan melalui inovasi.

Namun, guru muda perlu memperkasa diri sebagai pendidik kompeten digital bagi mewujudkan iklim pembelajaran bersesuaian dengan abad ke-21. Mereka perlu komited menghasilkan kandungan digital berkualiti.

Contohnya, guru boleh mengoptimumkan penggunaan laman sosial seperti TikTok, YouTube dan Facebook sebagai wahana berkongsi karya keilmuan di samping membina rangkaian di luar sempadan.

Ini penting bagi memastikan pendidik bergiat aktif, menganjur dan mengambil bahagian dalam wacana intelektual, kolokium kesarjanaan serta simposium.

Melalui pembabitan dalam persidangan dalam talian atau webinar, kita dapat memupuk etika sejahtera dan menggalakkan rasa kewarganegaraan digital.

Sharran Loganadzan, Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang

Berita Harian X