Khamis, 21 March 2024 | 10:46am

Literasi media mampu cegah penyebaran berita palsu

PENGGUNA media sosial semakin meningkat kebelakangan ini dengan platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok antara yang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Laporan Digital 2023 Global Overview Report melalui kerjasama Melwater dan We Are Social, mendedahkan sebanyak 26.8 juta penduduk Malaysia aktif di media sosial.

Peningkatan drastik penggunaan media sosial, melahirkan golongan yang digelar sebagai pencipta kandungan (content creator) atau pempengaruh (influencer). Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk pendidik, agamawan selain selebriti atau golongan profesional.

Namun, berapa ramai pempengaruh mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kandungan yang dipaparkan di laman sosial mereka? Jadi, adalah penting untuk pengguna menjadi lebih kritis dalam menilai kandungan dan hantaran daripada seorang pempengaruh.

Penting bagi pengguna untuk tidak hanya menerima begitu saja apa yang mereka lihat atau dengar, sebaliknya perlu memeriksa kebenaran dan kredibiliti maklumat berkenaan. Menerusi cara ini, pengguna dapat membantu mencegah penyebaran berita palsu dan memastikan hanya mengikuti pempengaruh yang boleh dipercayai serta bertanggungjawab terhadap kandungan media sosial mereka.

Selain itu, pengguna media sosial juga boleh menambah baik cara menggunakan media sosial. Mereka perlu bersikap teliti dalam memilih pempengaruh bertanggungjawab, sekali gus menjadikan kita pengguna media sosial yang mempromosikan perdebatan atau perbincangan sihat lagi konstruktif.

Semua pihak berperanan besar

Peranan itu tidak hanya terletak kepada pempengaruh semata-mata, namun juga pengguna. Selain itu, terdapat beberapa cara lain juga boleh memastikan kita lebih bertanggungjawab iaitu menguasai literasi media, khususnya mengenai platform media sosial.

Literasi media merujuk keupayaan masyarakat dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat, turut berkait rapat dengan kematangan mereka mengendalikan teknologi komunikasi siber.

Pendidikan literasi media harus dimulakan dari awal, contohnya pada peringkat sekolah. Kurikulum pendidikan harus menerokai pembelajaran mengenai bagaimana untuk mengenal pasti berita palsu, memahami perspektif berbeza dan mengembangkan pemikiran kritis dalam mempertimbangkan maklumat yang diterima.

Selain pendidikan formal di sekolah, pendidikan secara tidak formal seperti perpustakaan dan media sosial juga dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi media.

Mendidik masyarakat mengenai literasi media di Malaysia adalah langkah penting untuk mengembangkan pemahaman mengenai maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber, terutama media sosial. Ini boleh dilakukan melalui program pendidikan formal dan tidak formal, termasuk latihan dalam menilai dan mengenali berita palsu, analisis kritis terhadap media dan mempromosikan kegiatan membaca kritis. Peningkatan literasi media membolehkan masyarakat lebih bijak dan mampu untuk menyaring maklumat yang relevan serta mengambil keputusan lebih baik dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, peliharalah akhlak dan jati diri dengan menjadikan sumber, idola, mahupun pempengaruh di media sosial sebagai cerminan peribadi kita. Jangan pula suatu hari nanti kita merasai kesan negatif daripada apa yang kita amalkan dan mula menuding jari kepada orang lain seperti peribahasa 'buruk muka, cermin dibelah', walhal kitalah yang patut menilai pempengaruh dan kandungan di media sosial dari awal.

Nuruladilah Mohamed dan Nurul Amilin Razawi, Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Terengganu

Berita Harian X