Selasa, 12 March 2024 | 8:42am

Perkasa peranan sekolah pupuk minat pelajar

SEKOLAH adalah institusi ilmu yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga. Sekolah membantu seseorang itu berjaya dalam hidup selagi dia mahu menggunakan ilmu diperoleh. Namun, hari ini kaitan sekolah sebagai pusat ilmu yang mampu memajukan manusia tidak lagi menjadi kefahaman sebahagian generasi muda.

Perubahan semasa menyaksikan hampir segala aspek kehidupan kita digerakkan oleh teknologi dan kecerdasan buatan. Walaupun penghasilan segala macam teknologi itu adalah berasaskan ilmu, namun bagi pengguna pula, mereka seakan-akan tidak melihat kaitan ilmu dengan kecanggihan aturan hidup zaman ini.

Hal ini menyebabkan mereka mula beranggapan menuntut ilmu bukan lagi syarat utama untuk berjaya. Malah, kita juga tahu selain faktor kemiskinan ada anak muda meninggalkan sekolah kerana mahu menjadi pempengaruh sosial.

Keinginan itu disebabkan tanggapan mereka kononnya menjadi pempengaruh sosial menjana habuan lebih banyak berbanding lulusan universiti. Mereka percaya wang boleh dijana dengan mudah menerusi konten yang dibuat dalam media sosial.

Isu ini amat kritikal jika dibiarkan kerana kualiti pendidikan di Malaysia akan jatuh dan merosot. Jadi ia harus ditangani sebelum hal ini menjadi barah yang sukar untuk sembuh.

Sebenarnya, ada pelbagai komponen yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap sekolah atau kepentingan menuntut ilmu. Selain persoalan silibus yang seharusnya setanding dengan usia dan kemampuan murid, ia juga perlu menekankan kepada keperluan dan perkembangan semasa. Hal ini bagi memastikan negara mampu mempersiapkan barisan pemimpin muda yang akan memacu pembangunan dan kepemimpinan negara.

Tempat terbaik kenal bakat, kemampuan

Dalam hal ini, sekolah juga perlu dilihat sebagai tempat pertama untuk menjadikan seseorang itu manusia yang diingininya. Maksudnya, sekolah adalah tempat terbaik untuk individu mengenal bakat dan kemampuannya. Ia boleh diperoleh menerusi pembabitan dalam aktiviti kokurikulum. Misalnya, ada pelbagai jenis badan beruniform, kelab persatuan dan sukan permainan yang boleh diceburi. Selain mencuba perkara baharu, ia juga kaedah terbaik membina persahabatan dan mengasah bakat kepimpinan.

Begitu juga jika seseorang itu berpeluang menjadi pengawas sekolah, mereka dididik untuk menjadi manusia yang patuh peraturan, sekali gus mengasah daya kepemimpinan. Jika dipandang dari sudut lain, pelajar juga boleh memantapkan semangat kerjasama dan saling membantu dalam menyiapkan tugasan berkumpulan. Malah, tugasan berkumpulan juga dapat melatih pelajar berfikir secara kreatif bagi menyelesaikannya.

Hari ini jika kita lihat sekolah juga gemar menjemput tokoh yang dianggap mampu memotivasikan murid. Namun, sangat baik jika mereka menjemput alumni sekolah itu sendiri untuk berkongsi kejayaan. Tentu sahaja cerita dan pengalaman alumni itu lebih dekat dengan murid dan mampu mendorong mereka untuk berjaya.

Kejayaan dan pendidikan harus menjadi hal yang sinonim kerana dalam banyak kes, ia menjadi kunci masa hadapan lebih cerah. Kejayaan walaupun tidak semuanya perlu diukur dengan kelulusan akademik, tetapi harus bermula dengan adanya ilmu. Selagi kita diberikan peluang menuntut ilmu, maka gunalah ia dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana, tidak semua orang di muka bumi ini berpeluang berbuat demikian.

Gunakan peluang bersekolah sebaiknya, tidak kira apapun cita-cita anda. Wang mungkin boleh membeli material, tetapi tidak boleh membeli ilmu dan budi pekerti. Ilmu mampu mengubah anda ke arah kebaikan tetapi wang walaupun boleh digunakan untuk membantu sesama manusia, namun ada kalanya ia turut merosakkan diri sendiri.

Nisreen Raihana Abdul Kahar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X