Jumaat, 8 March 2024 | 9:00am

Minum air cukup, rancang aktiviti harian elak risiko strok haba

BARU-BARU ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di 14 kawasan utara Semenanjung. Agensi itu turut memaklumkan suhu maksimum harian di kawasan berkenaan boleh mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius, sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Jangkaan MetMalaysia, kita juga akan menghadapi suhu yang lebih tinggi dan kekeringan melampau. Ini berikutan kurangnya taburan hujan dalam tempoh yang panjang berikutan fasa akhir Monsun Timur Laut.

Suhu yang kian meningkat ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Antara isu kesihatan yang tidak asing adalah gejala kelesuan haba atau lebih dikenali sebagai heat exhaustion dan strok haba atau heatstroke.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang melihat hal ini secara remeh sedangkan kelesuan haba boleh berlaku apabila tubuh kehilangan terlalu banyak cecair dan garam melalui peluh. Tanda-tanda yang boleh dilihat termasuk rasa letih dan lemah, suhu badan yang tinggi antara 37 hingga 40 darjah Celsius, pening atau sakit kepala, berpeluh, loya, muntah, jantung berdegup dengan laju dan kulit terasa sejuk juga lembap.

Strok haba adalah keadaan yang lebih serius kerana tubuh kita tidak dapat mengawal suhu dengan baik berikutan pendedahan pada kadar sangat tinggi. Hal ini juga boleh berlaku apabila seseorang berada terlalu lama di tempat yang mengalami cuaca panas dan lembap atau ketika melakukan aktiviti fizikal di bawah cahaya matahari terik.

Strok haba juga boleh menyebabkan berlaku kerosakan organ seterusnya mampu mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan cepat. Strok haba juga boleh menjejaskan otak, jantung, saluran darah, buah pinggang dan kulit.

Otak misalnya, mungkin mengalami kekeliruan, gangguan kesedaran atau bahkan koma. Suhu badan yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau angin ahmar, malah boleh menyebabkan kegagalan jantung atau kematian.

Namun hal yang paling biasa adalah berlaku dehidrasi. Seperti juga strok haba, dehidrasi boleh merosakkan fungsi normal buah pinggang dan menyebabkan ia gagal berfungsi. Bagi mengelak dehidrasi, minumlah air secukupnya sepanjang hari. Ketika suhu meningkat, tubuh kita cenderung mengeluarkan lebih banyak cairan melalui peluh sebagai mekanisme penyejukan badan.

Galak ambil minuman isotonik

Justeru, penting untuk kita menggantikan cairan yang hilang dengan minum air secara teratur. Selain air kosong, minuman isotonik juga dapat mengembalikan keseimbangan elektrolit dalam tubuh yang hilang. Elektrolit seperti natrium, kalium, dan klorida adalah penting untuk fungsi normal tubuh. Pengambilan air minuman elektrolit adalah digalakkan bagi menggantikan jumlah yang hilang. Namun, elakkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula yang berlebihan.

Selain itu, pemilihan pakaian yang sesuai juga memainkan peranan penting untuk menghadapi cuaca panas dengan lebih selesa. Pakaian yang longgar, diperbuat daripada bahan ringan seperti kapas atau linen dan berwarna terang membantu mengurangkan rasa panas serta membolehkan pengedaran udara dengan lebih baik. Gunakan juga aksesori seperti topi lebar dan kaca mata hitam.

Seterusnya, rancang aktiviti harian anda dengan bijak. Elakkan melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu yang paling panas, iaitu antara jam 10 pagi hingga empat petang. Pada waktu itu, suhu mencapai puncaknya dan ini dapat meningkatkan risiko mengalami strok haba. Sebaliknya, lakukan aktiviti luar rumah seperti bersenam dan berjoging pada waktu pagi dan malam kerana suhu yang lebih rendah dan sejuk. Pada waktu yang panas terik, cari tempat yang teduh hal ini bagi mengelakkan tubuh daripada mengalami dehidrasi dan kelesuan.

Namun, apa yang penting adalah pastikan tubuh kita mendapat rehat mencukupi. Jangan abaikan keperluan tubuh untuk mendapatkan rehat kerana tidur berkualiti dapat menguatkan sistem imunisasi tubuh. Perhatikan juga gejala kesihatan yang mungkin muncul akibat cuaca panas seperti sakit kepala, loya, muntah atau lain-lain dan segera ambil tindakan.

Nur Elysha Farhana, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X