Khamis, 22 Februari 2024 | 9:16am
Cabaran dihadapi masyarakat luar bandara dalah kebergantungan kepada sektor tradisional seperti perikanan, pertanian dan perhutanan. - Foto hiasan
Cabaran dihadapi masyarakat luar bandara dalah kebergantungan kepada sektor tradisional seperti perikanan, pertanian dan perhutanan. - Foto hiasan

Intervensi bersasar rapat jurang ekonomi bandar, luar bandar

SUDAH banyak usaha dilakukan oleh kerajaan dalam menangani jurang ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar. Usaha itu turut merangkumi pelbagai dasar dan inisiatif bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.

Antara inisiatif itu ialah Dasar Pembangunan Luar Bandar yang bertujuan untuk meningkatkan infrastruktur, meluaskan capaian kepada kemudahan asas dan menggalakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan program khusus untuk masyarakat luar bandar bertujuan memodenkan sektor pertanian, pembangunan keusahawanan dan latihan kemahiran.

Memperkasakan komuniti luar bandar adalah isu penting kerana ia berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan yang mampu memberikan impak terhadap pembangunan dan kesejahteraan sosial negara secara keseluruhannya.

Secara umum, kawasan luar bandar di Malaysia sering dicirikan oleh tahap infrastruktur yang lebih rendah, capaian terhad kepada perkhidmatan asas dan tahap pendapatan lebih sedikit berbanding kawasan bandar.

Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk menangani perbezaan antara kawasan luar bandar dan bandar dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang serta inklusif.

Cabaran dihadapi oleh masyarakat kawasan luar bandar di Malaysia adalah kebergantungan kepada sektor tradisional seperti pertanian, perhutanan dan perikanan. Walaupun sektor ini memainkan peranan penting dalam menyediakan mata pencarian bagi masyarakat luar bandar, mereka juga terdedah kepada pelbagai cabaran seperti harga komoditi yang turun naik, perubahan iklim, dan kekurangan kemajuan teknologi.

Di samping itu, masyarakat luar bandar juga turut menghadapi isu seperti capaian terhad kepada pasaran, perkhidmatan kewangan dan infrastruktur yang menghalang potensi ekonomi mereka untuk terus berkembang.

Kekurangan infrastruktur, inovasi kreatif

Selain itu, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan di kawasan luar bandar di Malaysia turut berpunca daripada kekurangan infrastruktur, misalnya jaringan jalan raya, elektrik dan bekalan air. Infrastruktur yang tidak mencukupi bukan sahaja menghalang pembangunan ekonomi luar bandar, malah menyekat capaian kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Tambahan pula, capaian yang terhad kepada perkhidmatan kewangan dan kemudahan kredit mengekang keupayaan usahawan luar bandar untuk melabur dalam perniagaan mereka serta mengembangkan operasi perniagaan.

Pada masa sama, kekurangan penggunaan teknologi yang canggih dan inovasi kreatif di kawasan luar bandar turut menghalang potensi pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

Dalam hal ini usaha yang sedia dibuat seharusnya dipacu dengan lebih laju bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.

Antara tumpuan utama adalah membangunkan infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada usaha lain termasuk memperkasa komuniti luar bandar dari segi pendidikan atau ekonomi.

Hal ini kemudian akan membuka potensi ekonomi kawasan luar bandar secara lebih seimbang dan inklusif. Justeru, adalah penting bagi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk bekerjasama dalam melaksanakan intervensi bersasar bertujuan meningkatkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan kehidupan penduduk luar bandar.

Hanya menerusi usaha bersepadu serta pelaburan mampan, Malaysia dapat merapatkan jurang ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar serta mewujudkan sebuah negara yang lebih saksama dan makmur.

Nur Kamilah Sukri, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X