Sabtu, 17 Februari 2024 | 1:41pm
Foto hiasan. - Foto BERNAMA
Foto hiasan. - Foto BERNAMA

Rancang aktiviti sihat, bermanfaat untuk anak pada cuti sekolah

Kita sering memperkatakan mengenai kesan kemajuan teknologi semasa kepada anak. Berbanding kehidupan kita dahulu sebagai kanak-kanak, hari ini keadaan sudah jauh berbeza.

Kemajuan teknologi semasa mempengaruhi tabiat dan gaya hidup kanak-kanak, sekali gus turut memberikan cabaran yang bukan calang-calang kepada ibu bapa dalam membentuk gaya hidup sihat untuk anak.

Sedaya upaya setiap ibu bapa pada zaman ini mahu mempertahankan gaya hidup sihat kepada anak. Maksudnya menjalani rutin secara normal, belajar, beriadah dan mengulang kaji pelajaran tanpa pelbagai gangguan yang mempengaruhi keupayaan akademik mereka.

Bagaimanapun hari ini peranti elektronik, permainan video dan pelbagai lagi gajet sudah memasuki ruang hidup mereka seawal usia. Semua itu nampaknya sudah menggantikan aktiviti menyeronokkan kanak-kanak dan remaja, seperti bermain di taman permainan, bersantai bersama keluarga pada hujung minggu dan berbagai aktiviti berfaedah lain.

Namun, adakah kita sebagai ibu bapa perlu menyerah kerana tidak mampu bersaing dengan teknologi? Tidak, sebaliknya ibu bapa seharusnya memainkan peranan dengan mengehadkan penggunaan gajet dalam kehidupan anak dan berusaha menjadikan kehidupan aktif sebagai amalan sekeluarga.

Anak ini ibarat kain putih, kita sebagai ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan mereka. Zaman ini membesarkan anak remaja bukan seperti zaman kita dahulu, jadi dengan cara membabitkan mereka dalam aktiviti sihat secara tidak langsung kita sedang menanamkan nilai murni untuk melahirkan generasi berguna pada masa hadapan.

Dewasa ini, kebimbangan ibu bapa terhadap anak yang kurang berminat terbabit dalam aktiviti fizikal dan lebih suka 'berhibernasi' di dalam bilik dengan gajet mereka, diakui sebagai isu yang perlu diberi perhatian.

Ini bukan sahaja akan memberi kesan terhadap masa depan mereka tetapi juga menimbulkan kebimbangan yang lebih besar kerana kualiti hidup dan kesihatan juga turut terjejas. Anak perlu dididik dengan membabitkan mereka dalam aktiviti berfaedah supaya tidak terjebak dengan pelbagai masalah sosial yang boleh mempengaruhi mereka menerusi seribu satu macam aplikasi dalam talian.

Musim cuti sekolah yang panjang ini seharusnya disambut anak dengan gembira kerana mereka bebas melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Namun, kita sebagai ibu bapa juga cubalah untuk merangka perancangan yang tersendiri bagi mengisi hari-hari anak. Bukan senang hendak menyuruh anak buat aktiviti yang kita aturkan.

Biasanya, mereka hanya akan bermain jika ibu bapa turut serta. Apabila ibu bapa sudah ketandusan idea untuk berkunjung ke mana lagi pada hujung minggu, meluangkan masa bersama anak di rumah sebenarnya boleh menjadi hal yang menyeronokkan. Malah, mereka juga boleh berjimat cermat. Tidak semestinya hendak tawan hati anak perlukan modal yang besar.

Lahir generasi cemerlang

Ibu bapa seharusnya menunjukkan kreativiti yang lebih dalam merancang dan menentukan suasana pembelajaran yang berkesan bagi anak, dengan harapan ia mampu membantu untuk melahirkan generasi cemerlang pada masa akan datang. Terdapat banyak kebaikan apabila kita membabitkan anak dalam aktiviti yang bermanfaat, termasuklah mengawal mereka daripada terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat.

Ini bukan sahaja sebagai cara untuk mendidik mereka tetapi juga membina keyakinan diri dan menanam nilai murni. Aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang adalah dengan menziarahi keluarga atau saudara-mara masing-masing. Kesibukan ibu bapa dalam dunia kerja sering kali menyebabkan anak hari ini tidak mengenali saudara atau sepupu mereka yang memiliki pertalian darah. Sedangkan kalau diimbas zaman kanak-kanak kita dahulu, hubungan saudara, sama ada jauh atau dekat dianggap kukuh dan saling mengenali satu sama lain.

Di samping itu, kita dapat membantu anak membentuk hubungan komunikasi dengan komuniti yang memiliki minat sama. Membabitkan diri dalam aktiviti bersama anak juga membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi mereka, selain dari membantu anak menjadi lebih berdisiplin dan pandai menguruskan diri. Hal ini memberi persediaan yang lebih lengkap kepada mereka sebelum memasuki alam persekolahan.

Mendidik anak di zaman yang serba mencabar ini memang tidak mudah. Ibu bapa terpaksa memikirkan banyak hal dan timbang tara untuk memastikan anak berada dalam keadaan yang baik dari segi fizikal dan mental. Memastikan emosi anak terjaga dengan baik juga adalah antara perkara wajib yang perlu diberi tumpuan oleh ibu bapa.

Semuanya dilakukan demi memastikan kesihatan mental mereka tidak terjejas. Ibu bapa perlu memeriksa semula rutin harian anak dan memastikan aktiviti fizikal dan mental mereka seimbang. Jangan biarkan anak sentiasa terfokus pada pembelajaran tanpa menyeimbangkan dengan aktiviti fizikal.

Penulis adalah Fatimah Zakiah Shaharuddin, Pensyarah, Universiti Sultan Azlan Shah

Berita Harian X