Jumaat, 16 Februari 2024 | 10:00am
Foto hiasan. - Foto BERNAMA
Foto hiasan. - Foto BERNAMA

Empat cara elak boros berbelanja ketika perayaan

Berbanding negara lain, Malaysia dengan rakyat berbilang kaum dan agama meraikan pelbagai jenis perayaan. Walaupun ada empat perayaan penting yang diraikan sebagai cuti umum di peringkat kebangsaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas namun kita mempunyai pelbagai lagi perayaan yang juga disambut sebagai cuti umum di beberapa negeri. Antaranya kita turut meraikan Gawai, Kaamatan juga Wesak juga Ponggal.

Perayaan begini wajar kita raikan sebagai sebuah negara tetapi dalam masa sama, amalan sifat berjimat cermat jangan dilupa. Untuk tahun 2024 ini, amalan berhemah ini lebih dituntut. Selain disebabkan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan kalendar perayaan kita juga agak dekat.

Misalnya, usai menyambut tahun baharu 2024 kita menyambut Tahun Baharu Cina pada 10 Februari lalu. Menjelang 9 Mac nanti penggal persekolahan pula akan bermula dan beberapa hari selepas itu kita akan meraikan Ramadan. Tentu saja selepas tamat Ramadan, kita akan merayakan Syawal.

Selain menyambutnya ada sebahagian kita mengambil peluang bercuti. Semua ini menuntut sejumlah kos yang agak tinggi. Jadi pastikan kita berbelanja dengan berhemah dan elakkan pembaziran.

Elak pemborosan melampau

Berbelanja lebih untuk membeli keperluan perayaan itu tidak menjadi kesalahan, namun ia perlulah dikawal bagi mengelak berlakunya pemborosan yang melampau. Oleh itu, kita haruslah merancang dalam melakukan apa juga perbelanjaan khususnya ketika musim perayaan.

Pepatah Melayu ada menyebut, "cermat semasa banyak, jimat semasa sikit". Pepatah ini amat sesuai dijadikan sebagai panduan dan ingatan kepada kita supaya berhati-hati dalam berbelanja. Fikir terlebih dahulu supaya tidak terbeban selepas musim perayaan.

Terdapat beberapa cara yang berkesan bagi mengelak berlaku pemborosan antaranya menyenaraikan terlebih dahulu keperluan yang hendak dibeli. Cara ini walaupun dilihat agak keterbelakang tetapi ia dapat mengelakkan seseorang dari membeli barang di luar daripada senarai yang hendak dibeli.

Kedua, dahulukan barang keperluan berbanding kehendak. Hal ini menyebabkan seseorang tidak membeli suatu barang yang bukan diperlukan. Contohnya, semasa musim Hari Raya Aidilfitri, sama ada membeli ketupat atau menukar langsir lama yang masih elok digunakan.

Ketiga, pilih barangan yang mampu dimiliki pada harga berpatutan. Contohnya, setiap musim perayaan kebiasaannya pasar raya akan menawarkan diskaun yang murah untuk barangan tertentu. Maka, ketika itu perlulah bijak dengan memilih barang lebih murah walaupun jenis yang sama.

Keempat, menyediakan simpanan hasil daripada pendapatan. Pendapatan yang diperoleh disimpan terlebih dahulu dan lebihan daripada simpanan barulah digunakan untuk berbelanja. Simpanan itu boleh digunakan untuk waktu kecemasan dan langsaikan hutang.

Boros dalam berbelanja ketika menjelang musim perayaan mengakibatkan seseorang berhadapan masalah kewangan selepas perayaan selesai. Hal ini rentetan daripada melakukan perbelanjaan luar jangka dan melampau sehingga tidak sedar duit sudah banyak dihabiskan.

Lagi parah apabila hasil pendapatan sudah dihabiskan berbelanja ditambah pula dengan hutang. Hutang menyebabkan seseorang menambah bebanan kewangan. Maka, perbelanjaan setiap bulan akan melebihi pendapatan mereka.

Individu mestilah lebih berdikari dengan mengamalkan budaya berjimat-cermat khususnya dalam berbelanja. Jadikan musim perayaan kali ini lebih bermakna dengan mengamalkan budaya berjimat-cermat dan berhemah dalam berbelanja. Bersikap sederhana dalam meraikan detik gembira bersama keluarga tersayang tanpa bebanan hutang dan masalah kewangan. Mensyukuri nikmat perayaan dengan berjimat cermat.

Berita Harian X