Rabu, 14 Februari 2024 | 8:49am
Peperiksaan dapat mengukur penguasaan pelajar terhadap sesuatu subjek. - Foto hiasan
Peperiksaan dapat mengukur penguasaan pelajar terhadap sesuatu subjek. - Foto hiasan

Peperiksaan beri motivasi pelajar tingkat prestasi diri

ADAKAH sistem pendidikan kita bersedia untuk menghadapi generasi tanpa peperiksaan? Hal ini menjadi persoalan kerana kebanyakan kita kecewa dengan sikap segelintir pelajar generasi 'pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)' ketika menjawab soalan peperiksaan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. Lebih teruk, terdapat pula pempengaruh yang tidak bertanggungjawab mempromosikan 'Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu tiada nilai'.

Secara umum hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengubah paradigma pendidikan negara daripada berorientasikan peperiksaan kepada penilaian bilik darjah sememangnya wajar disambut baik. Walaupun begitu, langkah berkenaan perlu disusuli dengan pelan pendidikan yang lebih jelas, tidak terlalu idealistik dan abstrak. Ukuran itu perlu bersifat realistik supaya pelajar, guru dan ibu bapa sedar hasil usaha kendiri anak-anak mereka.

Ubah stigma peperiksaan membebankan

Stigma bahawa peperiksaan itu membebankan perlu diubah secara holistik. Tidak dinafikan tekanan peperiksaan itu wujud, tetapi ia seharusnya menjadi motivasi kepada pelajar mengejar keputusan yang terbaik. Semestinya generasi Baby Boomers, X dan Y lebih mengetahui kepentingannya sebab mereka pun terlahir daripada sistem peperiksaan. Adakah mereka hasil yang gagal? Hanya diri sendiri mengetahui.

Mungkin ada yang tidak sedar peperiksaan terdiri daripada fasa sebelum, semasa dan selepas. Fasa sebelum peperiksaan adalah tempoh masa pelajar akan membuat persediaan rapi untuk memastikan mereka boleh menjawab soalan dengan baik. Hakikatnya, pelajar akan lebih memberi tumpuan jika ada sebab untuk berbuat sedemikian.

Fasa semasa peperiksaan pula ialah peluang pelajar memberikan yang terbaik selepas mereka berhempas pulas mengulang kaji. Akhir sekali, fasa selepas ialah waktu mereka bertawakal dan bermuhasabah sebelum keputusan diumumkan.

Kronologi ini sinonim dengan prinsip doa, usaha dan tawakal yang diajar sejak sekolah rendah. Maka ujian sebegini ialah cara kita mempraktikkannya.

Malang sekali, disebabkan pemansuhan UPSR dan PT3, generasi sekarang terlalu lambat untuk merasai keperluan ketiga-tiga fasa ini. Bagi mereka tempoh 'bulan madu tanpa peperiksaan' bermula sejak sekolah rendah sehinggalah mereka masuk ke Tingkatan Empat. Mungkin ada pihak terlupa bidalan orang lama, iaitu melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Semoga pembuat dasar juga tidak akan mengabaikan hal ini dan tidak pula menjadi seperti sudah terhantuk baru terngadah. Sekalipun begitu, jika kita ingin mengembalikan peperiksaan ini janganlah kita mengulang kesilapan lama. Markah, gred dan kedudukan bukan untuk membezakan pelajar, tetapi mengukur kefahaman dan penguasaan mereka terhadap sesuatu subjek.

Mohamad Zaharin Hikmal Hamdan, Kuala Lumpur

Berita Harian X