Selasa, 13 Februari 2024 | 9:10am
KISAS perlu diseimbangkan dengan penawaran kelas aliran agama dan sains dalam usaha melahirkan ulama dan cendekiawan Islam. - Foto hiasan
KISAS perlu diseimbangkan dengan penawaran kelas aliran agama dan sains dalam usaha melahirkan ulama dan cendekiawan Islam. - Foto hiasan

Kekalkan misi KISAS lahir generasi bertakwa, berintelektual tinggi

HARI ini dasar pendidikan negara memfokuskan aliran pendidikan berasaskan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Hal ini menyaksikan sekolah agama yang dianggap elit juga mula beralih arah untuk memastikan pelajar cemerlang masuk ke aliran sains.

Bahkan lebih daripada itu, beberapa sekolah utama di negara ini baik dalam kalangan sekolah berasrama penuh (SBP) berteraskan agama mahupun sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) yang dianggap elit dikhabarkan akan mula beralih arah kepada kelas sains agama sepenuhnya.

Apa yang menjadi kegusaran adalah, apabila semua pelajar cemerlang di sekolah agama dihalakan untuk belajar dalam bidang sains sepenuhnya, bagaimana pula persediaan kita untuk menghasilkan tokoh agama yang memimpin masyarakat pada masa akan datang?

Sedangkan daripada aliran agama ikhtisas inilah lahir ahli ekonomi, peguam, penganalisis pelaburan juga pakar rujuk kewangan Islam, syariah, mufti dan sebagainya.

Rata-rata ilmuwan dan pemikir Islam kini sebahagiannya adalah lepasan Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang (KISAS) yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Kolej Islam Malaya (KIM) juga Kolej Islam Klang (KIK).

Dalam konteks KISAS ia dimulakan berasaskan wakaf. Sekitar 1955 Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj mewakafkan Istana Jemaah baginda untuk menjadi tapak rasmi KISAS.

Dari sinilah lahirnya ilmuwan Islam seiring dengan doktor perubatan, jurutera dan sebagainya. Namun, pada masa kini kelas aliran agama semakin mengecil berbanding kelas aliran sains. Lebih menyedihkan bermula 2025, dikhabarkan kelas ikhtisas agama akan dimansuhkan dan aliran STEM atau sains agama sahaja diperkenalkan.

Tanpa menafikan kepentingan sains dan teknologi, sewajarnya sekolah elit seperti KISAS perlu mempunyai kelas yang seimbang. Misalnya 60 peratus kelas aliran sains dan 40 lagi aliran agama bukan sekadar jurusan agama biasa, tetapi mungkin boleh diperkenalkan aliran agama dini.

Daripada kelas aliran agama dini inilah, berkesinambungan untuk menyambung pengajian pada peringkat sijil tinggi agama (STAM). Kelas STAM juga membuka peluang kepada pelajar cemerlang dari sekolah agama seluruh negara untuk mendapat 'celupan' di sini selepas tamat Tingkatan Lima di sekolah masing-masing.

Wadah lahirkan ilmuwan Islam

Hal ini bagi memastikan, KISAS terus menjadi wadah melahirkan ilmuwan Islam yang boleh mengisi sektor penting negara pada masa depan seperti yang berlaku pada hari ini. Kita boleh melihat antara tokoh agama yang cemerlang dan mengisi sektor utama negara seperti Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan ramai lagi tokoh agama yang mewajahkan pentadbiran hal ehwal agama mahupun dunia kewangan Islam pada masa kini.

Selari dengan hasrat pewakaf yang mahu memastikan KISAS melahirkan ulama dan cendekiawan Islam, sewajarnya keseimbangan penawaran kelas daripada aliran agama dan juga sains dilakukan.

Jika sekolah elit lain boleh mengekalkan aliran perakaunan seimbang dengan kelas sains di sekolah masing-masing bagi tujuan melahirkan pelapis korporat utama negara, tidak salah keseimbangan ini juga dikekalkan di KISAS.

Besar harapan kita dapat sama-sama menjaga legasi kolej Islam dalam melahirkan golongan agamawan tidak terhenti sehingga hari ini, tetapi kekal sampai bila-bila.

Susulan itu, Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS) diharapkan dapat berbincang bersama-sama pihak pentadbir dan juga Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan KISAS mengekalkan identitinya dan juga menjaga hasrat asal sekolah berkenaan ditubuhkan sesuai dengan hasrat pewakaf.

Kita memerlukan keseimbangan dalam membangunkan negara, baik daripada golongan saintis mahupun kelompok berasaskan sastera dan juga agama. Semuanya saling lengkap melengkapi dalam membangunkan negara.

Dr Mohd Faisal Mustaffa, Sarjana Tamu Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X