Ahad, 11 Februari 2024 | 8:07am
Pembayaran guna kod QR lebih selamat, mudah. - Foto hiasan
Pembayaran guna kod QR lebih selamat, mudah. - Foto hiasan

Pembayaran guna kod QR lebih selamat, mudah

TEKNIK pembayaran serba baharu yang dipanggil pembayaran kod QR mula dikenali dan digunakan selari dengan pertumbuhan teknologi komunikasi serta populariti aplikasi laman dagang.

Sejak itu, kaedah pembayaran ini digunakan secara global dan menjadi pilihan orang ramai. Apatah lagi ketika pasca pandemik COVID-19, sebahagian kita masih berhati-hati dalam setiap urusan bagi mengelakkan jangkitan wabak itu yang belum reda sepenuhnya.

Justeru, urusan pembelian tanpa memerlukan kaedah konvensional menjadi popular. Hanya menerusi aplikasi di dalam telefon kita mampu melakukan pengimbasan imej, menjadikan proses itu sepenuhnya digital dan tanpa sentuhan.

Hal ini juga sebenarnya memudahkan urusan kerana transaksi menjadi lebih pantas. Malah, ia mengelak berlaku kesilapan daftar tunai yang disebabkan oleh kesilapan manusia. Penggunaan QR juga mengelakkan berlakunya penipuan wang atau kegiatan jenayah lain seperti rompakan mahu pun pukau.

Anda tidak boleh terlalu mempercayai sesiapa pada hari ini, sama ada pelanggan atau kakitangan. Pekerja anda sendiri berpotensi mengambil kesempatan daripada butiran yang boleh didapati pada kad kredit. Begitu juga terdapat kemungkinan pelanggan boleh membayar dengan wang palsu.

Sebaliknya, jika menggunakan kod QR, pelanggan tidak boleh mengambil risiko potensi bukti kelayakan kad kredit mereka dicuri. Tambahan pula, anda tidak boleh dibayar dengan wang palsu dengan pembayaran digital.

Kesimpulannya, dengan imbas kod QR memberikan pengalaman yang baik kepada semua orang, terutama dalam membuat pembelian, jimat masa dan tenaga kerana tidak perlu pergi ke bank untuk mengeluarkan duit untuk urusan jual beli.

Namun, kita juga perlu berhati-hati misalnya memastikan nombor akaun dan pemiliknya yang betul. Ia tentu sahaja bagi mengelak penipuan akaun disebabkan sikap kita yang kurang berhati-hati.

Sarifah Hamizah Syed Hamid, Universiti Malaysia Terengganu


Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke [email protected]

Berita Harian X