Selasa, 6 Februari 2024 | 8:59am
Pelaburan dalam pendidikan juga cenderung untuk meningkatkan inovasi dan daya saing negara di pasaran global. - Foto hiasan
Pelaburan dalam pendidikan juga cenderung untuk meningkatkan inovasi dan daya saing negara di pasaran global. - Foto hiasan

Ilmu jadi benteng manfaatkan perkongsian di media sosial

PERTUMBUHAN ekonomi sangat berkait rapat dengan pendidikan. Hal ini disebabkan tahap pendidikan yang tinggi membantu meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Pelaburan dalam pendidikan juga cenderung untuk meningkatkan inovasi dan daya saing negara di pasaran global. Modal manusia yang dihasilkan melalui pendidikan adalah aset penting kepada sesebuah negara.

Malah, kita juga maklum pendidikan membantu meningkatkan produktiviti kerana ia menambahkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja. Sumber tenaga manusia yang terdidik boleh menarik pelaburan dan menjadi bahagian dalam ekonomi dunia sekali gus membuka peluang ekonomi negara yang lebih baik.

Namun apakah yang berlaku hari ini? Anak muda ramai kurang berminat dengan pendidikan. Kita sering membaca dan mendengar mengenai generasi muda di sekolah menengah dan rendah yang tidak lagi berminat mendapat pendidikan.

Mereka dilaporkan lebih berminat mencari wang tanpa melalui sistem pendidikan dengan bercita-cita menjadi pempengaruh media sosial.

Hal ini perlu dirisaukan kerana ia akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang. Mereka perlu dimaklumkan bahawa apabila berlaku peningkatan dalam pendidikan, ia sebenarnya membuka peluang yang lebih besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Negara dengan tingkat pendidikan yang tinggi lebih cenderung untuk menjadi semakin kompetitif di pasaran antarabangsa. Hal ini kerana kekuatan mereka adalah sumber tenaga manusia yang mahir dan berpengetahuan sekali gus berkeupayaan tinggi untuk menarik pelaburan asing serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Dari segi kerajaan kita melihat hal pendidikan ini sudah lama dipertingkatkan. Malah, pelbagai langkah, dasar dan kaedah dibuat bagi meningkatkan akses dan kualiti pendidikan di negara ini.

Beberapa contoh pelaburan kerajaan Malaysia dalam pendidikan yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi ialah melaksanakan program seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Tinggi Kebangsaan.

Malah, jumlah yang sangat besar diagihkan kepada sektor pendidikan setiap tahun. Anggaran ini termasuk pembiayaan untuk operasi sekolah, pembangunan infrastruktur pendidikan, gaji guru, dan program pendidikan khusus.

Tingkat pencapaian pendidikan

Ia juga termasuk program pembangunan infrastruktur teknologi di sekolah dan universiti. Selain itu, mengadakan program untuk meningkatkan capaian pendidikan seperti program biasiswa, pinjaman pengajian dan pelbagai bantuan kewangan lain sudah lama diperkenalkan. Langkah ini adalah untuk membantu lebih ramai pelajar menyambung pengajian ke universiti.

Namun, hal ini tidak akan ke mana-mana jika kelompok sasaran tidak lagi berminat untuk meneruskan pendidikan. Justeru, semua pihak perlu berperanan untuk menyediakan maklumat yang jelas dan mudah diakses mengenai program pendidikan, peluang kerjaya dan faedah melanjutkan pelajaran.

Selain itu semangat dan motivasi menyambung pengajian ini juga perlu dimulakan dari rumah, misalnya ibu bapa membudayakan anak-anak dengan ilmu. Memang agak mencabar untuk kita melawan gelombang teknologi semasa yang memperlihatkan kehidupan senang-lenang tanpa perlu belajar.

Namun realitinya, berapa ramaikah yang sebenarnya berjaya. Tanpa ilmu, kerjaya yang digelar sebagai pempengaruh hanya akan menambah kerosakan kepada masyarakat.

Justeru, kita perlu mendekatkan pelajar dengan ilmu. Bantu mereka untuk mendapatkan maklumat kursus atau pembelajaran yang ingin diketahui. Misalnya, menganjurkan program orientasi dan pameran pendidikan untuk memberi pelajar berpeluang untuk mengenal pasti lebih dekat dengan persekitaran akademik, fakulti dan kemudahan di universiti.

Selain itu, menghadirkan penasihat dengan mengadakan program bimbingan yang kukuh untuk membantu pelajar memilih jalur pendidikan sesuai dengan minat, bakat dan matlamat kerjaya.

Akhir sekali, memupuk dan mendorong budaya pembelajaran seumur hidup, pendidikan harus dilihat sebagai suatu proses yang berterusan dan tidak terhad kepada beberapa peringkat dalam hidup seseorang.

Setelah itu jika mereka mahu menjadi pempengaruh tidak ada salahnya kerana kehebatan ilmu akan menjadi benteng terbaik untuk memastikan perkongsian di media sosial itu bermanfaat.

Nurin Nazurah Roslan, Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X