Sabtu, 3 Februari 2024 | 8:43am
Kegiatan beriadah dan amalan gaya hidup sihat lahir masyarakat cergas. - Foto hiasan
Kegiatan beriadah dan amalan gaya hidup sihat lahir masyarakat cergas. - Foto hiasan

Amal pemakanan, gaya hidup sihat elak risiko penyakit kronik

RUTIN kehidupan manusia hari ini sudah jauh berubah berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Kebanyakan kita kini 'terperangkap' dalam kesibukan kerja yang menuntut penyelesaian segera sehingga bukan sahaja menjejaskan masa bersama keluarga, tetapi juga waktu untuk makan dan minum dengan sempurna.

Lantaran disebabkan kesibukan itu bukan sangat asing apabila ramai daripada kita memilih makanan segera untuk mengisi kelaparan.

Kecenderungan memilih makanan segera menyebabkan ia menjadi sangat laris, malah ada yang dijual di restoran besar. Hal sedemikian adalah petanda makanan segera sudah mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak di negara ini.

Kecenderungan itu menjadikan pengambilan makan segera seakan sudah menjadi gaya hidup. Malah ia bukan berlaku sehari dua, tetapi sudah puluhan tahun.

Anehnya semua orang tahu apakah kesan pengambilan makanan segera yang terlalu kerap. Kita tahu ia juga menjadi punca sebahagian masyarakat berhadapan dengan masalah kesihatan antaranya obesiti.

Hal ini tentu sahaja kerana ramuannya banyak mengandungi gula, garam, bahan pengawet dan tinggi kalori yang boleh menjadi penyebab kepada masalah kesihatan manusia.

Bagaimanapun, semua keburukan itu tidak dipedulikan. Kita masih selesa memilih makanan segera kerana kewujudan rangkaian restoran seumpamanya yang berada di mana-mana. Jika dulu ia hanya boleh ditemui di bandar, tetapi kini sudah berada di kawasan pinggir bandar dengan jarak ada kalanya hanya berselang tiga atau empat kilometer sahaja.

Selain itu, pilihan set makanan yang pelbagai berbanding makanan di rumah dan harga mampu milik ditambah dengan faktor kesibukan bekerja, menyebabkan sebahagian kita kekal memilih menu sebegitu.

Tamat waktu pejabat, kita mahu berehat dan tidak lagi ingin memikirkan urusan dapur menyebabkan makanan segera jadi pilihan. Jika tidak membelinya sendiri, terdapat banyak khidmat memesan dan menghantar makanan ada dalam aplikasi telefon mudah alih. Tinggal pilih dan bayar sahaja.

Risiko hidap pelbagai penyakit kronik

Hal ini menyebabkan risiko kita untuk berhadapan penyakit kronik amat tinggi. Bukan sekadar darah tinggi atau kencing manis, kandungan kolesterol dan kadar gula pada kadar amat tinggi dalam makanan segera juga akan mengganggu fungsi tubuh dengan merembes bahan yang tidak diperlukan badan.

Paling jelas, kekerapan pengambilan makanan segera akan menyumbang kepada masalah kegemukan. Berdasarkan kajian sebelum ini, Malaysia adalah antara negara yang berada di kedudukan tertinggi bagi masalah obesiti.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.

Angka ini tentu sahaja boleh difahami kerana sebahagian besar kita suka makan, tetapi malas bersenam. Apabila amalan gaya hidup yang sihat dan pemakanan seimbang tidak dipraktikkan, maka kadar kesihatan masyarakat akan merosot.

Selain makanan segera, kita juga berhadapan isu lambakan snek makanan ringan yang tidak berkhasiat menjadi pilihan kanak-kanak.

Meskipun banyak sekolah di Malaysia melarang penjualan makanan sebegitu di premisnya, namun masih ada penjaja jalanan yang menjual menu sebegitu di luar pagar sekolah.

Hal ini tentu sahaja tidak membantu usaha untuk mendidik kanak-kanak untuk menikmati menu sihat.

Kata pepatah, kita apa yang kita makan. Jadi beringatlah sebelum terkena. Amalkan gaya hidup sihat untuk pelaburan masa hadapan.

Nurul Syazwana Mat Kassim, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X