Sabtu, 27 Januari 2024 | 9:55am
- Foto hiasan mahkamah
- Foto hiasan mahkamah

Perjelas alasan gugur pertuduhan tingkat keyakinan orang ramai

PATUTKAH Peguam Negara menjelaskan sebab untuk menggugurkan pertuduhan dalam kes berprofil tinggi?

Persoalan ini harus dijawab dalam dua konteks yang berbeza iaitu daripada konsep undang-undang dan manfaat untuk orang awam.

Ya, undang-undang tidak memerlukan Peguam Negara menjelaskan alasannya, tetapi adakah itu sesuatu yang baik untuk kepentingan orang ramai?

Undang-undang merujuk kepada satu set peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk mengekalkan ketenteraman dan melindungi hak rakyat. Sebaliknya, kebaikan awam merujuk kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Walaupun undang-undang direka untuk melindungi hak individu, ia mungkin tidak sentiasa sejajar dengan kebaikan awam. Sebagai contoh, sebuah syarikat mungkin dibenarkan secara sah untuk melakukan tindakan yang boleh mempengaruhi kualiti alam sekitar. Namun, kebenaran itu tidak memberi kelebihan kepada kepentingan awam kerana ia akan membahayakan alam sekitar dan kesihatan orang yang tinggal di kawasan itu.

Begitu juga, undang-undang yang membenarkan diskriminasi terhadap sekumpulan orang tertentu tidak akan menjadi kepentingan awam kerana ia akan melanggar prinsip kesaksamaan dan keadilan.

Adalah penting untuk mencapai keseimbangan antara kedua-duanya untuk memastikan hak individu dilindungi di samping mempromosikan kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

Menawarkan alasan yang jelas untuk menarik balik pertuduhan menggalakkan ketelusan dalam sistem perundangan. Ia membolehkan orang ramai memahami proses membuat keputusan dan memastikan pejabat Peguam Negara bertanggungjawab atas tindakannya.

Apabila pertuduhan digugurkan tanpa penjelasan, ia boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan. Penjelasan kepada orang awam akan menjadi alasan yang dapat membantu mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti prosiding undang-undang.

Apabila wujudnya justifikasi atau sebab yang dinyatakan secara terbuka ia boleh menjadi contoh terhadap kes serupa untuk diadili pada masa hadapan. Ia turut dapat membantu mewujudkan rangka kerja konsisten untuk membuat keputusan sedemikian dan mengelakkan tindakan yang sewenang-wenangnya.

Galak keadilan, kesaksamaan

Menyediakan sebab dan alasan akan memastikan semua pihak yang terbabit termasuk tertuduh, mangsa dan orang ramai, lebih memahami mengapa pertuduhan digugurkan. Ia menggalakkan keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang.

Apabila kita tahu bahawa penarikan undang-udang memerlukan justifikasi yang wajar, hal ini dapat mengelakkan ia dicemari dan dimanipulasi. Pendakwa raya mungkin berfikir dua kali sebelum memulakan kes tanpa bukti pendakwaan yang secukupnya.

Alasan di sebalik menarik balik pendakwaan akan membantu menjelaskan piawaian undang-undang dan akan memenuhi kriteria yang digunakan oleh pejabat Peguam Negara. Penjelasan ini boleh membimbing prosiding undang-undang masa depan.

Dalam kes membabitkan pertuduhan yang difailkan secara silap misalnya, memberikan alasan membolehkan pengakuan kesilapan dan tindakan pembetulan. Ini akan membantu membetulkan sebarang ketidakadilan yang berlaku kepada tertuduh.

Menjelaskan rasional di sebalik penarikan pendakwaan boleh menjadi peluang pendidikan kepada orang ramai dan membantu mereka memahami kerumitan serta cabaran yang wujud dalam sistem perundangan.

Alasan yang diutarakan secara terbuka boleh merangsang wacana awam secara membina dengan perbincangan mengenai perkara berkaitan undang-undang, disamping menggalakkan pemahaman lebih baik mengenai proses undang-undang dan implikasinya.

Pada dasarnya, memberikan alasan untuk menarik balik pertuduhan selepas ia dikemukakan adalah aspek asas sistem perundangan yang adil dan bertanggungjawab. Ia memastikan bahawa keputusan dibuat berdasarkan undang-undang, bukti dan keadilan, bukannya faktor sewenang-wenangnya atau perkara yang tidak berasas.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis Sosial

Berita Harian X