Jumaat, 12 Januari 2024 | 9:59am

Syor hukuman lebih berat penceroboh data

HARI ini melanggar hak privasi orang lain seakan sudah menjadi kebiasaan walaupun ada undang-undang khas diperuntukkan menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang ketara dalam kes membabitkan pelanggaran privasi membabitkan kecurian dan penyalahgunaan data.

Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia pada 2022 turut menunjukkan berlakunya isu pendedahan maklumat sulit dan kesalahan siber dengan anggaran sebanyak 22 juta maklumat rakyat Malaysia diceroboh dan dikhuatiri dijual kepada pihak ketiga.

Sejak kita melangkah ke milenium baharu, kebangkitan media sosial sudah mengubah kaedah manusia berkomunikasi dan mengumpulkan data. Apatah lagi dengan pertambahan jumlah pengguna, lebih banyak data dapat dikumpulkan sekaligus menimbulkan kebimbangan mengenai kerahsiaan dan hak privasi.

Isu privasi digital adalah kebimbangan mendesak berkait dengan pengurusan dan perlindungan data peribadi individu dalam landskap digital yang sentiasa berkembang. Kes penyalahgunaan data yang kini semakin meningkat, dan pelanggaran privasi berpotensi untuk mendatangkan keburukan kepada individu.

Antaranya ia boleh menyebabkan berlakunya kecurian identiti yang seterusnya boleh mengakibatkan kerugian kewangan serius. Apabila maklumat peribadi seseorang disalah guna atau diceroboh, ia boleh mengancam keselamatan dan privasinya.

Ia juga boleh menggugat kepercayaan pengguna terhadap platform dalam talian. Apabila pengguna berasa bahawa data peribadi mereka tidak dilindungi dengan baik, ia boleh menyebabkan merosakkan ekosistem digital secara keseluruhan.

Penekanan keselamatan siber

Dalam masa sama, taktik penjenayah dalam mendapatkan data peribadi semakin berkembang. Justeru melindungi data peribadi bukan lagi harus dipertanggungjawabkan kepada individu sahaja. Sebaliknya sesebuah negara seperti Malaysia mesti menggubal dasar dengan menekankan keselamatan siber.

Hal ini perlu dikemaskan dengan pelaksanaan hukuman yang berat bagi menghalang berlakunya pencerobohan data. Apabila aspek ini diberi tumpuan, ia akan membuka jalan untuk landskap digital yang lebih selamat.

Apabila dunia meneroka lebih dalam ke era digital, kepentingan melindungi diri di dalam alam maya menjadi antara aspek terpenting. Walaupun kemajuan seperti kecerdasan buatan menjanjikan masa depan lebih cerah, keperluan dalam tindakan yang lebih ketat untuk memastikan masalah dan isu berkaitan privasi digital dapat dielakkan.

Oleh itu, ia bukan sahaja tanggungjawab syarikat gergasi teknologi atau kerajaan sahaja. Pada masa sama setiap individu juga perlu berganding bahu menjaga integriti privasi digital.

Nurul Fatihah Effendy dan Siti Daleela Mohd Wahid, UiTM Cawangan Melaka

Berita Harian X