Khamis, 11 Januari 2024 | 10:03am
Kebahagiaan dalam keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu dan ayah. - Foto hiasan
Kebahagiaan dalam keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu dan ayah. - Foto hiasan

Bijak, matang urus konflik rumah tangga faktor keluarga harmoni

PERKAHWINAN adalah hubungan sosial membabitkan dua individu yang kontra sifatnya di bawah satu bumbung yang sama. Perkahwinan mahu atau tidak dilingkari pelbagai kepercayaan, sentimen budaya dan masyarakat di sebuah negara.

Penyatuan dua jiwa ini penting dalam usaha membangunkan ummah, justeru jika berlaku konflik antara pasangan, ia bukan hanya menekan mereka tetapi juga anak-anak malah dalam sesetengah kes ahli keluarga terdekat.

Justeru, kebahagiaan dalam keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu dan ayah. Ayah haruslah mempunyai personaliti juga peribadi yang baik dan matang dalam mengurus keluarga kerana dialah tunjang kepada sebuah negara.

Selagi mampu, konflik rumah tangga perlu diselesaikan dengan bijak dan matang namun jika ia perlu membawa kepada perceraian, seharusnya ia ditangani dengan lebih rasional. Di Malaysia, kes perceraian didapati bertambah sebanyak 43.1 peratus iaitu bermula dari 43,936 kes pada 2021 meningkat kepada 62,890 dengan majoritinya membabitkan individu yang berusia 30 hingga 34 tahun hari ini.

Terdapat banyak faktor yang boleh menjadi sebab kepada perceraian. Namun, antara faktor yang tidak boleh ditolak adalah berkaitan kurangnya komunikasi antara pasangan. Bukan hal biasa untuk melihat suami atau isteri acuh tidak acuh dengan perubahan sikap pasangan masing-masing.

Adakala luahan berkaitan kepenatan di rumah, tugasan di pejabat atau hal-hal lain berkaitan rumah tangga misalnya isu zuriat, nafkah, hubungan antara ipar duai tidak diambil peduli. Hal sebegini tentu saja menjadi duri dalam daging yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Hari ini juga kita melihat kecenderungan berkahwin muda. Meskipun ia adalah hal baik namun kurangnya ilmu agama juga keibubapaan selain ditambah dengan fikiran yang belum matang dan ekonomi tidak kukuh sangat mudah merobohkan ketahanan mental mereka. Walaupun asasnya, perkahwinan itu dibuat untuk tujuan baik tapi tanpa ilmu dan faktor kewangan ia juga boleh menjadi punca berlakunya perpisahan. Apatah lagi jika berlaku campur tangan mentua yang masih mahu mengongkong kehidupan anak.

Tanggungjawab jadi keutamaan

Hidup berumahtangga tidak hanya perlu cinta. Pada satu tahap, cinta sudah berada di belakang tetapi tanggungjawab menduduki tempat pertama. Namun apabila ia terganggu dengan faktor seperti di atas dan paling besar isu ekonomi, ia cepat mengubah tumpuan pasangan.

Ekonomi keluarga adalah isu besar apatah lagi hari ini ramai orang berhadapan pelbagai masalah kewangan. Bagi mereka kurang bernasib baik, kehidupan menjadi ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sehingga ada yang membuat keputusan untuk berpisah kerana tekanan yang tidak lagi boleh dikawal.

Namun ada pasangan yang murah rezekinya tetapi diuji pula dengan kecurangan pasangan. Ada juga yang dimadukan di luar pengetahuan. Islam membenarkan poligami apatah lagi jika si suami mampu, namun ia bukan hak yang boleh dibuat secara sebelah pihak dengan menafikan kebajikan isteri pertama dan anak-anak.

Poligami mempunyai kebaikan dan keburukannya bergantung kepada bagaimana si suami menanganinya. Benar, jika dilakukan oleh lelaki jujur dan rasional, poligami akan membantu kehidupan dan kebajikan wanita, selain ia dapat menambahkan lagi zuriat.

Sayangnya dalam kebanyakan kes poligami, si lelaki tidak mampu secara ekonomi, perkahwinan dibuat secara sembunyi, sekali gus menimbulkan perbalahan dan konflik berpanjangan. Hal ini menjejaskan kebajikan isteri sedia ada dan menafikan hak anak-anak, selain dalam masa sama menekan jiwa mangsa.

Secara natijahnya semua faktor yang membawa kepada konflik seperti kurang empati terhadap pasangan, tidak cukup ilmu agama, masalah kewangan dan isu poligami ini boleh dikatakan punca kepada berlakunya kes perceraian antara pasangan. Ini kerana jika masalah dapat diatasi dengan berhemah ia dapat dikawal dan mengelakkan sehingga berlakunya perceraian.

Alia Nurdini Muhammad, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X